BATIK

“PEMAKAIAN kain batik sarung mempunyai hubung kait secara langsung dengan si pemakainya dan bukanlah mengikut sesuka hati, sahaja,” kata Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin

Menurutnya, dari segi teknik pemakaian rata-rata golongan wanita mahupun lelaki tidak tahu malah tidak pernah langsung mengambil tahu bahawa memakai kain batik itu ada adab dan caranya.

“Kain batik sarung itu dibahagikan kepada beberapa bahagian dan salah satu bahagian dinamakan kepala kain. Kedudukan kepala kain itu sebenarnya melambangkan status perkahwinan kepada si pemakai.

“Jika seseorang wanita itu memakai kain batik dengan kedudukan kepala kainnya di hadapan melambangkan si pemakai belum berkahwin (anak dara). Ini sesuai dengan kata-kata teromba (perbilangan adat) iaitu ‘kok kepala kain di depan, dipakai berpatut patut, itu lambang anak dara’,” katanya ketika ditemui di Kampung Gachong, Senaling, Kuala Pilah.

Menurutnya, jika kepala kain dipakai di belakang, itu bermaksud si pemakai sudah kahwin dan dia tidak boleh diganggu malah perlu dijaga adab dan batasannya.

“Bila kepala kain dipakai sebelah kanan pula, itu lambang si pemakai adalah balu. Manakala, khususnya dalam Adat Perpatih, si pemakai juga adalah di kalangan ibu soko (ketua adat) atau suaminya adalah pemimpin adat.

Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin dan isterinya Datin Paduka Siti Hajar Raihan menunjukkan kedudukkan kepala kain batik di sebelah kanan melambangkan sipemakai adalah seorang balu atau dikalangan pemimpin adat (ibu soko). FOTO Amran Yahya

“Seandainya kepala kain dipakai sebelah kiri, ia melambangkan si pemakai adalah janda (dicerai suami). Dalam situasi ini, si pemakai berpeluang untuk didekati tetapi haruslah dengan sopan dan beradab. Ia bukanlah bertujuan merendahkan martabat si pemakai tetapi memudahkan kita untuk membantu dan menjaga maruahnya,” katanya.

Mohd Rosli berkata, orang terdahulu sudah menyusun dan mengatur tatacara kehidupan masyarakat Melayu termasuk cara-cara berpakaian bagi memudahkan untuk mengenali dengan mudah identiti si pemakai.

“Sebaliknya, masyarakat sekarang sudah terbiasa memakai kain batik dengan kedudukan kepala kain di belakang dan bagi mereka amat janggal sekiranya kepala kain itu dipakai di bahagian hadapan, kiri atau kanan,” katanya.

Disediakan oleh Amran Yahya untuk Harian Metro. Sumber asal di sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *