Tahun ini menyaksikan anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid diberikan kepada seorang tokoh akademik dan pendidik yang diiktiraf di Malaysia, Profesor Dr Nik Meriam Nik Sulaiman. Bukan hanya dikenali sebagai seorang pakar dalam bidang pendidikan dan sains, beliau juga merupakan seorang penggerak masyarakat yang aktif. Kecemerlangan beliau dalam akademik, diiringi dengan semangat dedikasi untuk membantu masyarakat, menjadikannya contoh teladan kepada generasi muda.
Dilahirkan di Tanah Serendah Sekebun Bunga, Nik Meriam memulakan perjalanan akademiknya di Sekolah Zainab, Kota Bharu. Berbekalkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat menengah di Kolej Tunku Khursiah, Seremban.
Seperti tiada noktah dalam cintanya kepada ilmu, beliau meneruskan pelajaran di Leederville Technical College, Perth, Australia di peringkat matrikulasi, kemudian ke University of New South Wales untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dalam Bacelor Kejuruteraan Kimia dan seterusnya Ijazah Sarjana dalam Sains Gunaan (Kawalan Pencemaran Persekitaran) di universiti yang sama. Selepas itu, beliau beralih ke United Kingdom untuk meneruskan pelajaran di peringkat kedoktoran dan berjaya memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di University of Birmingham pada 1982.
Kerjayanya bermula pada 1983 di Universiti Malaya sebagai pensyarah sekembalinya dari United Kingdom, di Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan. Berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang penyelidikan, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Penyelidikan dan Perundingan Universiti Malaya serta Ketua Kluster Penyelidikan (Sustainability and Environment), juga di universiti yang sama.
Nik Meriam terserlah sebagai ahli penyelidik dan ahli sains kejuruteraan dalam bidang pengawalan persekitaran yang memfokuskan kepada partilculates seperti contoh pencemaran yang dibawa oleh angin. Sebagai seorang akademik, beliau telah menghasilkan banyak penerbitan dalam bentuk buku dan makalah dalam jurnal akademik, antaranya termasuklah buku berjudul Cleaner Technology, Course Module for Malaysian University, Glossary on Petroleum Industry dan banyak lagi.
Nik Meriam mempunyai minat yang mendalam terhadap penyelidikan alam sekitar dan giat menjalankan kajian untuk mengubah strategi kelestarian kepada tindakan yang fokus kepada industri pemprosesan di Malaysia.
Menceburkan diri dalam bidang yang bukan calang-calang untuk dikuasai, anak Kelantan ini telah mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama di Malaysia yang menjadi jurutera kimia. Pada tahun 1999, Nik Meriam juga terpilih sebagai salah seorang empat saintis Malaysia yang pertama sampai di Antartika untuk menjalankan kajian berkaitan kimia. Kecemerlangan terus dilakar oleh beliau apabila menjadi Penyandang Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Universiti Malaya dari tahun 2010 hingga 2014. Tidak mudah untuk mendapatkan pengiktirafan ini dan di negara ini hanya terdapat kurang daripada 30 profesor yang dilantik sebagai penyandang kursi di universiti tempatan mahupun luar negara.
Selain itu, pencapaian beliau terus membanggakan apabila terpilih sebagai penerima anugerah Top Research Scientist dari Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2015. Pada tahun 2019, beliau telah dilantik sebagai Felo ASM dan kemudian dipilih sebagai Ahli Majlis ASM pada 2024. Nik Meriam juga terlibat sebagai konsultan dalam pelbagai projek, misalnya Projek Demonstrasi Pelaksanaan Cleaner Production Melalui Cleaner Production Virtual Center, Jabatan Alam Sekitar (2009-2019) dan Projek Pembersihan dan Rawatan Air Sungai Pinang, Pualu Pinang, (2000-2007), Jabatan Pengairan dan Saliran.
Nik Meriam mengharumkan nama negara apabila pencapaiannya dalam penyelidikan diiktiraf di dalam dan luar negara. Melalui kerja-kerja penyelidikannya, beliau berjaya memperoleh pelbagai anugerah dan memenangi pingat pelbagai warna, antaranya adalah Gold Medal Award di ITEX Geneva pada 2005, for Reserarch Project on Ultrafication for Concentration of Natural Rubber Latex; Silver Medal Award di Ekspo Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (2005), PECIPTA pada 2009, BioMalaysia 2009, dan MTE 2007 dan banyak lagi.
Tidak cukup dengan itu, terdapat beberapa hasil penyelidikan dan ciptaan beliau yang telah dipatenkan, antaranya adalah A Method of Recovering Rubber from Skim Natural Rubber Latex. Selain pengiktirafan dan anugerah di pelbagai peringkat dalam dan luar negara, Nik Meriam juga pernah disenaraikan dalam buku “Tokoh Wanita Kelantan, Jilid 1” yang diterbitkan UMK, dan juga disenaraikan dalam Britishpedia “Successful People in Malaysia” yang diterbitkan oleh British Publishing House.
Cuba mencontohi perjuangan Ummul Mukminin pertama Sayyidatina Khadijah yang sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan agama dan umat, Nik Meriam mendedikasikan segala jenis kajian, penyelidikan, ciptaan dan ilmu yang dikongsi ini untuk manfaat serta pembangunan masyarakat. Semoga wanita berjiwa kental ini terus maju jaya dan semua terutamanya wanita Kelantan dapat menjadikan kisah beliau sebagai inspirasi kejayaan.
Sumber gambar : FB Page HSK