Hari Sayyidatina Khadijah 2024 telah berlangsung dengan jayanya pada 28, 29 dan 30 Oktober 2024 serta berjaya menghimpunkan 2,000 orang wanita dari seluruh Kelantan.
Hari Pertama: Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4
Pada pagi Isnin, 28 Oktober, matahari pagi menyimbah sinarnya lembut ke Kota Bharu, mencipta suasana yang damai dan penuh harapan. Para wanita, dengan pakaian kemas dan langkah yakin, mula memenuhi lobi Hotel The Grand Renai. Bukan sahaja dari Kelantan malah dari Terengganu, Kedah serta Perlis, semuanya bersatu atas satu tujuan iaitu menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4 sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah. Bagi mereka, ini bukan sekadar perhimpunan biasa.
Dewan hotel dipenuhi oleh wanita bersemangat yang ingin menyumbang dalam kepakaran bidang masing-masing. Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4 dimulakan dengan ucapan daripada beberapa tetamu kehormat. Panel-panel yang cukup hebat dalam dunia kepimpinan antaranya ialah YB Rohani Ibrahim (Kelantan), YB Hj Maliaman Kassim (Terengganu), YB Dato’ Ustazah Hjh Siti Ashah Ghazali (Kedah) dan YB Wan Badariah Wan Saad (Perlis). Mereka antara orang-orang yang berpengaruh dalam negeri masing-masing, berkongsi pengalaman dan inspirasi dalam kepimpinan yang berlandaskan iman.
Hari pertama ini menyaksikan pelbagai kisah inspirasi yang membuka mata para hadirin bahawa dalam apa jua bidang, wanita mampu menjadi pemimpin jika jiwa mereka penuh dengan kekuatan dan keikhlasan.
Hari Kedua: Bangkit Kerana Allah dan Pink Oktober
Pada hari kedua, suasana sedikit berbeza. Kali ini, sambutan disesuaikan dengan tema Pink Oktober, Bulan Kesedaran Kanser Payudara. Para peserta teruja mengenakan pakaian merah jambu sebagai tanda sokongan. Turut diedarkan juga reben pink sebagai simbolik kesedaran Kanser Payudara.
Forum “Bangkit Kerana Allah”, para panelis wanita yang dijemput berkongsi kisah perjuangan mereka sendiri antaranya ialah Ustazah Noraini Mat Din, Puan Noruzwaty Zulkipli, dan Prof. Dr. Arsenina Ab Razak
Salah seorang panelis, seorang pejuang kanser payudara, berkongsi pengalaman getirnya. “Ada masa saya hampir putus asa dan datang perasaan yang bercampur baur tapi saya mampu lalui semuanya sehingga ke hari ini. Kemudian saya ingat balik tanpa bantuan Allah memang kita tak akan mampu hadapi.” Matanya redup tetapi senyumannya penuh ketenangan.
Para hadirin terdiam, sebak dan terinspirasi. Sungguh, dalam setiap ujian, pasti ada hikmah. Forum ini mengingatkan mereka bahawa kekuatan sebenar datang dari Allah, dan setiap cabaran adalah peluang untuk memperkukuh keimanan dan jiwa.
Hari Ketiga: Agar Dirimu Semulia Khadijah
Tibalah hari yang ditunggu-tunggu, hari ketiga dan hari terakhir. Pada pagi itu, suasana di dewan begitu hening, tenang tetapi penuh semangat. Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah dimulakan dengan Daurah Wanita bertajuk “Agar Dirimu Semulia Khadijah” yang dipimpin oleh Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa. Dalam sesi ini, beliau menceritakan tentang peribadi Sayyidatina Khadijah – wanita yang bukan sahaja kaya dengan harta tetapi juga kaya dengan akhlak dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW.
Ustazah Norhafizah menceritakan kisah bagaimana Sayyidatina Khadijah menyokong Rasulullah ketika Baginda dalam keadaan tertekan, memberi beliau kekuatan, dan menenangkan hatinya.
Wanita, walaupun kalian tidak memegang pedang atau berperang di medan, kalian punya kekuatan yang dahsyat dalam bentuk kesabaran dan sokongan. Jadilah seperti Khadijah, yang penuh kelembutan tetapi kuat di dalam. Khadijah diraikan sebagai model akhlak dan ketaqwaan, dihormati dalam Islam kerana sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhammad.
Dalam ceramahnya, Ustazah Hafizah Musa menyentuh bagaimana Khadijah berjaya mengekalkan maruah dan kehormatannya walaupun sibuk sebagai usahawan yang berjaya. Di tengah masyarakat yang penuh cabaran, Khadijah berdiri sebagai seorang wanita terhormat, tegas dengan prinsip, namun lembut dan penuh kasih sayang. Beliau menjadi isteri yang amat dikasihi Nabi Muhammad SAW sehingga kasih sayang itu kekal segar di hati baginda walaupun selepas pemergiannya. Kasih mendalam Nabi pada Khadijah hingga menimbulkan rasa cemburu di kalangan isteri-isteri lain, mencerminkan betapa istimewanya Khadijah di hati Rasulullah.
Khadijah adalah wanita yang sangat istimewa, sehinggakan Nabi Muhammad SAW sering menyebut namanya dengan penuh kerinduan dan menghormati memori beliau. Hubungan ini adalah bukti cinta, kesetiaan, dan pengorbanan Khadijah, yang membawa erti besar dalam hidup Rasulullah SAW, bahkan menimbulkan sedikit cemburu di kalangan isteri-isteri Nabi yang lain.
Ceramah ini mengaitkan Siti Khadijah dengan wanita-wanita mulia lain dalam sejarah Islam seperti Maryam, Asiah, dan Fatimah. Keempat-empat wanita ini adalah yang dijanjikan syurga kerana sifat mulia mereka dan keimanan yang tinggi. Khadijah dikenang sebagai salah seorang wanita paling agung, dan statusnya ini menjadi lambang kejayaan hakiki bagi seorang wanita muslimah.
Ustazah Hafizah menekankan bahawa kejayaan sebenar seorang mukmin terletak pada ketaqwaan dan belas kasihan. Siti Khadijah tidak menjalankan perniagaan hanya untuk kekayaan dunia, sebaliknya untuk mencari keredhaan Allah. Setiap hartanya diinfakkan demi Islam, tanpa mengharapkan ganjaran duniawi. Pesanan ini sangat kuat — kita diajar agar tidak hidup untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya hidup dengan tujuan dakwah dan bakti kepada ummah.
Setiap wanita yang hadir dalam ceramah ini terasa suatu panggilan dalam hati mereka, panggilan untuk menjadi lebih baik, lebih ikhlas dan lebih kuat. Bagi mereka, Siti Khadijah bukan lagi sekadar satu nama dalam sejarah, tetapi seorang tokoh yang hidup di hati mereka sebagai inspirasi utama dalam menjalani kehidupan. Dengan mencontohi Siti Khadijah, kita semua diajak menjadi wanita yang cekal, penuh sifat kasih, dan berdiri teguh dalam ketaqwaan.
Kemuncak: Pelancaran Emas untuk Palestin
Sebelum majlis ditutup, sebuah inisiatif dilancarkan – Emas untuk Palestin. Sebuah video ditayangkan dan dipersembahkan sebuah persembahan pentomen daripada pelajar KIAS memperlihatkan penderitaan masyarakat Palestin yang kian tertindas. Tiba-tiba dewan menjadi sunyi, dan ramai yang menitiskan air mata.
Ketika pelancaran ini, setiap yang hadir memahami maknanya: lebih dari sekadar sambutan, lebih dari sekadar perhimpunan. Ia adalah peringatan bahawa umat Islam di seluruh dunia adalah satu tubuh. Mereka bangkit, menyokong, menyumbang demi saudara-saudara di Palestin. Mereka tahu bahawa walaupun mereka jauh, mereka mampu memberi impak. Mereka berazam untuk terus membantu, kerana di dalam hati setiap wanita ini, tertanam sifat penyayang dan peduli – sifat-sifat yang dimiliki oleh Sayyidatina Khadijah.
Dengan penuh rasa syukur dan semangat baru, para wanita melangkah keluar dari dewan. Mereka datang untuk meraikan Sayyidatina Khadijah, tetapi mereka pulang dengan lebih dari sekadar ilmu dan inspirasi. Mereka pulang dengan semangat yang baharu – semangat untuk menjadi wanita yang kuat, berjiwa besar, dan berdedikasi di jalan Allah, sepertimana Sayyidatina Khadijah yang menjadi obor harapan dan teladan buat mereka semua.