Persediaan Wanita Menghadapi Ketibaan EL NINO

Baru-baru ini ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, beberapa perkara penting dibincangkan ekoran Malaysia bakal berdepan fenomena perubahan cuaca EL NINO. Sudah pastinya di peringkat kerajaan perlu bersedia dgn pelbagai kemungkinan terutamanya bagi menangani krisis makanan, kesihatan, air dan lain-lain.

Kalau di Kelantan, sebelum ini telah berjalan program bagi memastikan bekalan makanan asasi terutamanya yang memerlukan mencukupi seperti projek al It’am, Dapur Hijau, dan lain-lain.

Saya berpandangan sebagai rakyat khususnya wanita, kira juga perlu mengambil langkah-langkah persediaan dan mendidik ahli keluarga supaya turut bersama-sama memahami situasi yg bakal dihadapi

Kali ini, kita sepatutnya lebih cakna kerana berdepan 3 krisis sekaligus iaitu FENOMENA EL NINO, KEGAWATAN EKONOMI dan situasi pendemik.

Wanita sebagai ibu dan pengurus keluarga perlu cakna dengan situasi sebegini untuk melakukan persiapan seawal mungkin bagi menghadapi pelbagai kemungkinan. Apabila Elnino melanda kita akan menghadapi kekurangan bekalan air, cuaca yang sangat panas, jerebu yang teruk dan peningkatan harga beras.

Ini bukan kali pertama El Nino melanda negara kita, pengalaman pada tahun-tahun lalu menjadi panduan kepada saya untuk membuat persediaan keluarga lebih awal pada tahun ini.

Saya akan kongsikan 8 tips wanita berdepan dengan elnino.

1) Mengawal perbelanjaan, berjimat cermat serta banyak membuat simpanan. Kalau boleh tangguhkan perkara yang kurang penting, lebih baik ditangguhkan dahulu dan fokus pada membanyakkan simpanan.

2) Belajar membuat stok untuk bekalan kelangsungan hidup sekurang-kurangnya 6 bulan ke atas seperti makanan, air untuk minum dan mencuci, perubatan dan seumpamanya. Boleh rujuk “support group” yang ada di media sosial untuk belajar kaedah membuat stok beras, tepung dan lain-lain dalam tempoh yg lama.

Orang dulu-dulu sentiasa ada kaedah “preppers” berdepan krisis tapi kita sekarang seakan terlupa dengan amalan nenek moyang kita.

Apabila El nino melanda, bekalan air akan terjejas teruk kerana paras air di beberapa empangan akan merosot ke tahap yang kritikal. Seperti sebelum ini di Selangor terpaksa menjalankan catuan air selama tiga bulan. Oleh itu, sebagai ibu kita dah boleh cari tong air besar untuk mengisi simpanan stok air minuman.

3) Belajar memasak dan menyediakan makanan dengan kreatif dan dalam pelbagai keadaan sama ada ketika harga melambung, ketiadaan air atau dibuang kerja dan lain-lain. Boleh mula belajar “membalang makanan”, Menyediakan stok “frozen food”. Sebagai seorang ibu kita mesti kreatif dalam menyediakan menu-menu yang tidak perlu dimasak dengan air atau makanan yang boleh dipanaskan dengan “microwave oven”. Kita boleh menyusun jadual memasak makanan untuk disejuk beku bagi kegunaan semasa elnino.

4) Jangan lupa untuk menyediakan peralatan mencuci seperti lampin dan “wet tissue” untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Barangan ini amat berguna dalam keadaan bekalan air yang tidak mencukupi untuk membersihkan tandas terutama para ibu yang mempunyai anak kecil yang ramai.

5) Perhatikan saluran paip di rumah dan pejabat. Sekiranya berlaku kebocoran paip, baikilah segera. Ini boleh mengelakkan non-revenue water (air tidak terhasil).

6) Biasakan anak-anak berjimat cermat dalam penggunaan air seperti singkatkan waktu mandi. Selain itu, sebagai ibu kita juga perlu mengajar anak-anak memahami cara bertayammum sebagai persiapan sekiranya air yang ada hanya cukup untuk keperluan mendesak sahaja. Begitu juga penjimatan eletrik dan belajar kitar semula barangan yang boleh digunakan

7) Wajib membuat persediaan kesihatan, bersenam, menjaga pemakanan, bekalan ubat-ubatan dan pemakanan tambahan kerana dalam fenomena ini, tahap kesihatan dijangka menjadi kritikal, kemasukan pesakit ke hospital akan bertambah dan Malaysia pernah isytihar darurat kesihatan sebelum ini.

8) Akhir sekali inilah yang saya rasa paling penting iaitu setiap keluarga perlu menghidupkan program munajat, solat hajat, ibadat bersama bagi memohon petunjuk dam perlindungam daripada Allah. Kita boleh membuat pelbagai persediaan tetapi sesungguhnya TIADA DAYA DAN KEKUATAN MELAINKAN SEMUANYA MILIK ALLAH.

Minda wanita
Oleh: Ustazah Asmak Husin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *