Mustajabnya Doa Wanita

Wanita-wanita Muslim pada zaman dahulu telah banyak berkorban untuk agama islam. Mereka berjuang di jalan Allah dengan penuh keberanian dan tidak kenal lelah.

Gambar Hiasan : Pinterest

Firman Allah dalam surah Al-Imran Ayat 195

Maksudnya:

Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki mahupun perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah (keturunan) dari sebahagian yang lain. Maka orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sebagai pahala dari Allah. Dan di sisi Allah ada pahala yang baik.”

Tadabur ayat 195 surah al-Imran

  1. Surah al-Imran adalah satu-satu surah yang namanya diambil dari keluarga Ali Imran (Ahli keluarga Imran).
  2. Rentetan daripada ayat 190 sehingga 194 semuanya terkandung senarai doa-doa.
  3. Terdiri dari orang-orang yang beriman, bijak dan berakal yang melazimi doa.
  4. Terdapat 3 kategori doa. Pertama, mereka mengakui kehebatan Allah S.W.T dengan memuji-muji Allah dan menyebut-nyebut kurniaan serta nikmat Allah. Kedua, mereka takut akan azab seksa apatah lagi kemurkaan dari Allah S.W.T. Akhir sekali, mereka pohon supaya diberikan kekuatan dalam mentaati Allah S.W.T di dunia ini.
  5. Allah S.W.T sedang menjawab sesuatu persoalan
  6. Ummul mukminin kita yang bernama Saidatina Ummu Salamah r.a menyatakan kepada Rasulullah S.A.W tentang tidak pernah mendengar ayat-ayat berkenaan hijrah wanita.
  7. Amal-amal baik rupanya terdiri daripada pengorbanan sebagaimana umat islam yang terawal memeluk islam yang terpaksa berhadapan dengan tentera mushrikin Quraisy sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang.
  8. Allah akan kurniakan balasan yang baik bukan setakat syurga, tetapi mengalir di bawahnya sungai-sungai. Di sisi Allah ada pahala yang baik.
  9. Jangan ada dalam kalangan kita sikap bersangka buruk pada Allah kerana Allah tidak pernah menganiaya hambaNya. Jangan anggap keburukan dan kesusahan yang kita lalui sebagai hukuman daripada Allah S.W.T.
Gambar Hiasan : Pinterest

Apakah yang dimaksudkan dengan Itqan atau tekun di jalan Allah

Ketekunan merupakan satu sifat bukan setakat faham, bahkan kita juga boleh menjiwainya. Ehsan adalah satu jiwa yang hidup dan menghayati makna tekun. Rasulullah S.A.W berpesan, ehsan ini apabila kita melakukan ibadah seolah-olah kamu melihat Allah. Sekiranya kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Allah melihat kamu.

Jadi, ketekunan itu akan tercapai apabila kita boleh menjelmakan bahawa kita diperhatikan oleh Allah S.W.T. Ketekunan juga bermaksud apabila kita berusaha membuatkan sesuatu amalan dalam kaedah dan juga struktur yang paling baik dan indah.

Adakah doa wanita ini benar mustajab ataupun ada kategori tertentu?

Ibu seorang Wanita. Bila berucap kadang-kadang boleh tembus dan mudah makbul. Bila ibu mendoakan perlu dilihat berberapa perkara:

Gambar Hiasan : Google

Hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah bersabda, “Hendaklah seseorang muslim memanjatkan doa kepada Allah selama mana tidak ada pada doa tersebut dosa dan memutuskan silaturahim antara kerabat melainkan Allah akan memberikan kepadanya 3 perkara. Pertama, Allah segera makbulkan doanya, Allah simpan doanya untuk dimakbulkan di akhirat dan Allah gantikan pula dengan sesuatu yang lebih baik.

Apa juga yang datang dan terbit dari hati kecil kita yang kusyuk dengan penuh menjiwai, itu boleh jadi doa. Paling baik sebelum bercakap, berehatlah dahulu bagi mengelakkan kita daripada melontarkan kata-kata yang tidak disenangi.

Hadis Imam Muslim

Maksudnya: Jangan kalian mendoakan keburukan untuk diri kalian atau anak-anak kalian atau harta kalian. Jangan sampai kalian menempati di satu waktu yang pada waktu itu apabila diminta, Allah S.W.T kabulkan doa kalian.

Takut apabila kita bercakap dari lubuk hati kita bertepatan dengan saat mustajabnya doa. Jadi, di situlah akan terkabul.

Sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.

Gambar Hiasan : Pinterest

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

Hendaklah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta bagi seorang lelaki adalah wanita solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan. Apabila dia memberi arahan kepadanya, wanita itu taat. Dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya. (H.R Abu Daud)

Antara salah satu doa yang mustajab tidak kira lelaki ataupun perempuan adalah dalam kalangan orang yang dianayai, dizalimi, tidak diberikan nafkah dan sebagainya.

Cuma disarankan jangan mendoakan bentuk doa yang tidak baik semata-mata agar diberikan balasan setimpal. Sebab di sebalik doa di belakang saudara kita yang tidak mengetahuinya, akan ada malaikat yang datang mendekati kita mengaminkan doa kita. Ya Allah makbulkanlah dan kepadamu seperti itu. Maksudnya doa itu akan dikembalikan kepada kita.

Berdoalah agar si dia yang zalim diberikan petunjuk, hidayah kepadanya. Apa yang lebih penting, doakan untuk diri kita kerana dikhuatiri kita silap mentafsir sesuatu perkara.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Rujukan : Ustazah Isfadiah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *