35

Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita atau isteri di belakangnya yang mendokong dan sentiasa membantu dalam keadaan senang mahupun susah. Sebagaimana ketokohan Siti Zubaidah isteri Khalifah Harun Ar-Rasyid yang menjadi tonggak kepada suaminya yang merupakan pemimpin utama masyarakat Islam pada waktu itu, Datin Bentara Kanan Datin Hajah Siti Zabidah binti Hamid juga sentiasa menjadi pendamping setia suaminya.

Sebagai isteri kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Siti Zabidah bukan sahaja dikenali sebagai seorang isteri pemimpin tetapi juga sebagai seorang aktivis sosial dan pendidik yang komited kepada kemajuan masyarakat.

Beliau dilahirkan di Kg. Alor Pasir, Wakaf Bharu pada 2 Februari 1960 dalam keluarga yang mementingkan pendidikan agama dan merupakan anak bongsu dari tiga orang adik-beradik. Memulakan pengajian awal di Sek Keb Wakaf Bharu, beliau meneruskan pendidikan menengah di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Arab Falahiah, Maahad Muhammadi Jalan Merbau dan Kolej Islam Kelang (yang sekarang dikenal sebagai KISAS). Beliau sangat mencintai ilmu dan menjadikan buku sebagai teman sejati tidak mengira masa dan tempat. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada usia yang masih muda dalam tahun pertama pengajian, Siti Zabidah bertemu jodoh dengan Ustaz Ahmad Yakob yang pada ketika itu bertugas sebagai guru agama. Bermula dari saat itu, tanggungjawab beliau sebagai isteri dan juga pelajar diimbangi sebaik mungkin. Dikurniakan anak pada tahun kedua dan keempat pengajian, beliau yang semakin sibuk sebagai isteri dan ibu tidak mengabaikan amanahnya sebagai pelajar, bahkan berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang. Beliau kemudiannya menabur bakti sebagai seorang guru agama bermula dari 1985 sehingga bersara pada tahun 2013.

Hasil perkongsian hidup bersama dengan Ustaz Ahmad Yakob selama 44 tahun, mereka dikurniakan dua belas orang anak iaitu 7 perempuan dan 5 lelaki serta lebih 20 orang cucu.

Menyedari akan kepentingan didikan agama dalam keluarga, kesemua anak mereka diberi pendidikan agama secukupnya dan mereka juga dihantar ke sekolah agama. Kini, kesemuanya telah menamatkan pengajian sama ada di dalam dan luar negara dalam bidang masing-masing.

Sewaktu Ustaz Ahmad Yakob mula-mula dipilih menjadi wakil rakyat, Siti Zabidah sedar kini beliau harus berkorban untuk meminjamkan suami untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak mengira waktu. Tanggungjawab mendidik anak-anak jika sebelum ini dipikul bersama suami, kini digalas sebaiknya dengan sokongan dan bantuan daripada keluarga dan juga suami yang semakin sibuk. Apabila suami beliau ditaklifkan pula untuk memegang amanah sebagai Menteri Besar Kelantan, beliau yang sentiasa mendokong dan menyokong perjuangan suami, bersara sepenuhnya sebagai guru untuk memenuhi keperluan sebagai seorang isteri pemimpin tertinggi. Beliau turut turun menyantuni rakyat dan masyarakat tidak mengira tempat dan masa, menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai sayap kiri perjuangan suami.

Mengambil inspirasi dari Siti Zubaidah isteri Harun Al-Rasyid yang prihatin kepada umat dan telah mengambil pelbagai inisiatif sosial termasuk membina mata air yang dikenali sebagai Mata Air Zubaidah, Datin Siti Zabidah juga mempunyai sifat kepimpinan dan keprihatinan yang tinggi terhadap masyarakat.  Sungguhpun semakin sibuk, beliau yang sangat mencintai ilmu dan sedar tentang pentingnya pendidikan agama terhadap masyarakat, tetap menyempatkan dirinya untuk mengajar di masjid-masjid sekitar. Tanggungjawab itu terus dijalankan sehingga kini, walau kini tubuh tidak sekuat dulu.

Setiap minggu, beliau sentiasa memenuhi jemputan mengajar kuliah agama di masjid tidak kurang dari 3 kali seminggu. Seusai kuliah, beliau biasanya terus menyantuni masyarakat sekitar jika ada keperluan ziarah atau undangan yang perlu dipenuhi. Sikap merendah diri dan senang didampingi ini juga menyebabkan rumahnya sentiasa dikunjungi rakyat dengan pelbagai keperluan. Siti Zabidah membuktikan bahawa wanita mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan masyarakat, dan mampu memberi impak yang besar terhadap kehidupan orang lain.

Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain. Negeri Kelantan bertuah mempunyai sosok tubuh seorang isteri kepada pemimpin yang bukan sahaja merendah diri, tetapi juga berjiwa rakyat dan sentiasa cuba untuk menaburkan manfaat buat semua orang. Melalui sumbangan dan dedikasi yang ditunjukkan, beliau telah membuktikan bahawa wanita bukan sahaja boleh menjadi pendokong suami, tetapi juga pemimpin dalam masyarakat. Maka selayaknya beliau diberi anugerah Tokoh Siti Zubaidah pada tahun ini.

Sumber gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *