MAHFUZAH

Anugerah Tokoh Sayyidatina Hajar Al-Qibtiyah (Inovatif) pada tahun ini telah diberikan kepada pemilik nama Mahfuzah binti Abdullah. Anak kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga ini telah diputerikan pada 14 Ogos 1969. Setelah mendapat pendidikan awal di Maahad Muhammadi Perempuan, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Mohd Alkhamis Rabat di Morocco dalam jurusan Bahasa Arab. Tidak cukup dengan segulung ijazah, beliau kemudiannya mendapatkan Diploma Pendidikan Bahasa Arab Pendidikan Islam di UIA.

Beliau dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu lima lelaki dan seorang perempuan yang sekarang sedang menuntut di universiti dalam dan luar negara serta dua di peringkat menengah. Menggalas amanah sebagai seorang pendidik yang mengajar Bahasa Arab sejak 28 tahun yang lalu, beliau telah mengajar di lebih daripada 10 buah sekolah di Sabah, Selangor dan Kelantan. Terkini, beliau adalah
tenaga pengajar di SMKA Naim Lilbanat. Beliau telah mencipta kaedah pembelajaran pengajaran Bahasa Arab yang dipanggil Kaedah Mok Wonderpets. Beliau giat memprosikan kaedah pembelajaran ini melalui channel Mok Wonderpets di Youtube, dan pelbagai platform media sosial. Beliau telah membentangkan kaedah pengajaran pembelajaran Bahasa Arab ini di dalam dan luar negara termasuk di Persidangan USSESCO 2023, di Korea, di universiti-universiti tempatan dan IPG.


Disebabkan kecemerlangan beliau dalam mengajar Bahasa Arab ini, beliau telah disunting sebagai Penyampai Didik TV Bahasa Arab Menengah Rendah. Beliau juga dijemput sebagai penceramah Pengajaran Pembelajaran Bahasa Arab berkesan kepada 200 orang guru dari 98 buah sekolah YIK pada tahun tahun 2019 dan 2023, dan juga penceramah kepada guru-guru PASTI. Selain itu, beliau turut mengajar bahasa ibadat ini kepada golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak di Kg. Kutan. Beliau
telah menubuhkan Markaz Wahdatul Haq di Kota Bharu semata-mata untuk mengembangkan Bahasa Arab di Kelantan.


Sepanjang penglibatan Ustazah Mahfuzah dalam dunia pendidikan, beliau telah banyak mendapat pengiktirafan yang membanggakan di peringkat kebangsaan dan negeri. Antara pencapaian beliau adalah Ikon Teknologi Malaysia dan Anugerah Guru Bestari 2019 Peringkat Kebangsaan, Top 30
Juara Digital Kebangsaan 2020, Anugerah Khas Guru Inovasi Pembelajaran Peringkat Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2020, Anugerah Guru Inovatif Bahasa Peringkat Negeri Kelantan 2020, dan
banyak lagi. Lebih membanggakan, beliau tidak hanya membawa namanya seorang, tapi turut membawa anak-anak didiknya berjaya ke pertandingan peringkat antarabangsa dan kebangsaan, antaranya ialah
mendapat johan dari 27 kumpulan 13 negara dalam pertandingan E-ICON World Contest Awards, mendapat pingat gangsa dalam Invention, Inovation and Design Exposition (IIDEX) 2018 dengan projek Arabic Explosion Box, pingat gangsa dengan projek Magic Arabic English with Fatirin Najah And Mok Wonderpets di Kelantan International Learning and Innovation Exhibition (KILIEx) 2019 dan banyak lagi.


Semoga dengan penganugerahan Tokoh Sayyidatina Hajar Al-Qibtiyah ini, Ustazah Mahfuzah akan beroleh semangat dan kekentalan Sayyidatina Hajar yang tidak pernah menyerah kalah dan sentiasa berinovasi tinggi dalam berusaha untuk mendapatkan sesuatu terutamanya usaha untuk
mengenalkan Bahasa Al-Quran ini kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *