Tokoh Khidmat Kebajikan

“Hati Emas”, itulah gelaran yang paling layak diberikan bagi menggambarkan keperibadian insan hebat ini. Nik Mas binti Mahmood atau lebih mesra disapa sebagai “Kak Nik’ merupakan ibu tunggal yang berasal dari Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh Kelantan. Hasil perkahwinannya bersama suami, beliau telah dikurniakan 4 orang cahaya mata lelaki yang kini sudah mempunyai kerjaya dan keluarga masing-masing. Hanya berbekalkan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Puan Nik Mas telah membuka mata masyarakat bahawa syarat untuk berjaya bukanlah semata-mata dinilai daripada sijil. Ibu tunggal ini telah berkecimpung di dalam dunia perniagaan sejak tahun 2005 dan sehingga kini masih membanting tulang empat kerat.

Tidak mengenal erti penat dan lelah, wanita berusia 60 tahun ini masih aktif menabur bakti kepada masyarakat sekitar di saat wanita seusia beliau sedang beristirahat dan bergantung kepada ihsan anak-anak. Istiqamah dalam gerak kerja sosial terserlah apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan Ahli Jawatankuasa Kampung Kedai Menanti untuk menguruskan hal ehwal kebajikan penduduk kampung selama 20 tahun berturut-turut.

Beliau juga bergiat aktif sebagai aktivis sosial di peringkat yang lebih tinggi apabila berdaftar secara rasmi sebagai petugas Khidmat Bantu di Rumah (Home Help) di rumah klien Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) bermula pada tahun 2011 sehingga sekarang. Selain bertugas dari rumah ke rumah, Puan Nik Mas merupakan sukarelawan yang dilantik oleh JKM bagi menguruskan hal berkaitan bencana seperti pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), gotong-royong di rumah warga emas, penyampaian bantuan dan sebagainya. Beliau antara individu yang sanggup turun padang semasa banjir besar melanda Kelantan pada tahun 2014 kerana bagi beliau itulah yang akan menjadi saham akhirat nanti.

Sikap suka membantu dan ringan tulang mendorong beliau untuk terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan oleh Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam hal-hal berkaitan komuniti setempat. Berkat kesungguhan dan ketekunan, Puan Nik Mas telah menerima Anugerah Petugas Home Help Terbaik Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2013 daripada JKM sebagai menghargai sumbang bakti beliau kepada masyarakat.

Penganugerahan ini telah menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkhidmat di lapangan ini tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Selayaknya beliau dinobatkan sebagai Tokoh Khidmat Kebajikan di atas komitmen dan kesungguhan beliau sebagai aktivis sosial di samping keupayaan beliau mendidik dan membesarkan anak-anak dengan kudrat sebagai seorang ibu tunggal. Kejayaan mendidik 4 orang anak dan pada masa yang sama bergerak aktif menyumbang bakti dan tenaga seharusnya menjadi menjadi teladan dan contoh oleh para ibu tunggal mahupun semua wanita di Negeri Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *