Tokoh NGO Kebajikan Antarabangsa

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dan didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Februari 2002 dengan nombor rujukan pendaftaran PPM-014-10-30052001. PPM/ KEL 1324/00(10). Beralamat di 2386 Tingkat Atas, Paya Bemban, Jalan Abdul Kadir Adabi, 15200 Kota Bharu, manakala Pertubuhan Induk beralamat di Lot 4459, Jalan Haji Muhammad Amin, 43000 Kajang, Selangor. Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan atau ringkasnya Yayasan Amal Kelantan menumpukan gerakerja yang berhubung dengan Relief & Rehabilitation (bantuan dan pemulihan), Charity (Kebajikan) dan Education (Pendidikan & Dakwah) di samping terlibat dengan kerja-kerja di kawasan bencana alam dan kemanusiaan, samada dalam mahupun luar negara.

Berpaksikan moto “Berkhidmat Untuk Kemanusiaan–Beramal Kerana Allah”, Yayasan Amal Kelantan menumpukan sepenuh perhatian dan khidmat untuk membangunkan komuniti melalui pendidikan, kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan sekaligus melahirkan ahli dan sukarelawan terlatih yang menghayati dan mengamalkan Teras Budaya Amal.

Bagi melancarkan gerak kerja, Yayasan Amal Kelantan telah mewujudkan dua belas sektor yang mempunyai peranan dan fokus tersendiri, antaranya Hubungan Luar & Antarabangsa, Pusat Latihan & Latihan, Program Qurban, Wakaf Al-Quran, Pengurusan Bencana, Mikro Kredit, Relawan, Kesihatan, Parenting Skill, Pengurusan & Sekretariat, Kewangan & Pengurusan Aset dan IT, Media & Publisiti. Sejajar dengan misi penubuhannya untuk menjadi sebuah badan kebajikan (NGO) terkemuka bagi Zon Koridor Timur serta Selatan Thailand menjelang tahun 2025, Yayasan Amal Kelantan telah terlibat dengan pelbagai program dan inisiatif kebajikan yang bersifat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pada peringkat awal penubuhannya, Yayasan Amal Kelantan hanya memfokuskan kepada aktiviti khidmat bersama masyarakat setempat dengan penganjuran aktiviti Ziarah Asnaf, Armalah, OKU, Anak Yatim dan menyantuni mangsa bencana yang telah dikenalpasti. Menerusi kutipan dana dan sumbangan daripada orang ramai, 3 buah rumah telah berjaya disiapkan untuk mangsa banjir di Manek Urai pada tahun 2016 dan program berbuka puasa bersama golongan asnaf, anak yatim dan mualaf di beberapa jajahan di seluruh Negeri Kelantan selain menjalankan aktiviti dakwah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh anggota organisasi dalam merealisasikan misi yayasan telah mengangkat nama organisasi ini di persada antarabangsa sekaligus menjulang nama Malaysia dan negeri Kelantan. Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, Kerajaan Negeri Kelantan berbesar hati menobatkan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan sebagai Tokoh NGO Antarabangsa pada tahun ini. Besar harapan kerajaan negeri untuk melihat kejayaan organisasi ini pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *