HIDAYAH BEE TEO

Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (Muhammad), “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu”. Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanyaorang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.
(Surah Az-Zumar :10)


Nur Hidayah Bee Teo yang berbangsa Cina merupakan penerima anugerah Tokoh Sayyidatina Mariah al-Qibtiyah bagi Hari Sayyidatina Khadijah 2023. Berumur 77 Tahun pada tahun ini, beliau pernah
mendapat pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia di Tengku Mahmood School pada tahun 1963.

15 November 2018 menjadi tarikh keramat bagi beliau apabila telah diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk melafazkan dua kalimah syahadah yang menjadi saksi beliau memeluk agama Islam. Baru memeluk Islam atau memang Islam sejak lahir tidak menjadi ukuran tingginya iman seseorang. Sebaik sahaja cukup setahun beliau memeluk Islam, beliau telah mula membayar zakat simpanan melalui Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Kelantan (MACMA Kelantan). Beliau telah membayar zakat simpanan tersebut sejak akhir Disember 2019 sehingga sekarang.


Bak kata pepatah, hanyut dipintasi, lulus diselami, hilang dicari, beliau adalah seorang yang senang membantu mereka yang dalam kesusahan. Seorang yang terkenal dengan sifat dermawan dan ringan tulangnya, beliau telah mewakafkan dua unit rumah kedai miliknya yang berada di Kuala Besut kepada Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Kelantan (MACMA Kelantan) untuk dimanfaatkan kepada asnaf yang memerlukan. Tidak kikir dengan harta kurniaan Allah, beliau juga merupakan
penyumbang utama bagi pembinaan surau Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Kelantan (MACMA Kelantan) untuk kegunaan para ahli.

Selain itu, beliau turut menyumbang sebahagian kos untuk memasang paip bagi rumah cendawan MACMA yang mana penjualan cendawan menjadi antara sumber pendapatan MACMA. Bukan hanya itu,
beliau juga turut menyumbangkan zakat tahunan kepada ahli Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Kelantan (MACMA Kelantan) dan asnaf-asnaf yang memerlukan. Walaupun masih belum sampai 5 tahun kembali kepada fitrah Islam, telah banyak jasa yang telah beliau sumbangkan dan semoga ianya diterima Allah.


Semoga dengan penganugerahan Tokoh Sayyidatina Mariah Al-Qibtiyah ini dapat memberi inspirasi kepada umat Islam yang lain untuk sama-sama memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, dalam masa yang sama membantu umat Islam yang berada dalam kesempitan sehingga tercapainya ekosistem ekonomi Islam yang mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *