ROSNAWATI

Rosnawati binti Othman dilahirkan tanggal 12 Mac 1960 di Bachok, Kelantan dan dikurnia empat orang cahayamata. Tokoh Al Khansa Amru ini mendapat pendidikan awal di Kolej Tunku Kursiah sehingga tahun 1977 di peringkat MCE, kemudian melanjutkan pengajian beliau di University of Newcastle, Australia dalam bidang senibina dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1983. Sejurus menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai pensyarah di UTM Skudai dari 1985 hingga 1993 dan kemudiannya sebagai pensyarah sambilan di UiTM Machang,1998-2003 dan UMK Bachok, 2008-2011. Meneruskan legasi almarhum suami tercinta, Nik Rashiddin, beliau kini menjadi Pengarah di Akademi Nik
Rashiddin, Bachok bermula tahun 2022. Almarhum suaminya yang telah meninggal pada 2002 juga berjiwa seni dan merupakan pengukir kayu kelahiran Kelantan yang mahir dalam pertukangan ukiran Melayu terutamanya keris.


Penglibatan Rosnawati dalam bidang seni terutamanya seni warisan Melayu memfokuskan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan artifak budaya Melayu berasaskan kayu yang autentik. Koleksi galeri yang dipamerkan di Akademi Nik Rashiddin mencerminkan kearifan lokal bertamadun tinggi yang sukar ditemui kini. Kecintaan Rosnawati dalam bidang seni terserlah melalui penganjuran pelbagai kursus, bengkel dan latihan kepada pelatih dalam bidang seni, kraf dan warisan budaya. Antara program yang dianjurkan termasuk kolaborasi dengan agensi Kerajaan Pusat dan Negeri seperti MOTAC, TIC, Muzium Negeri, JKKN serta agensi bukan kerajaan seperti WARISCARE, Red Merah Resources, Persatuan Cakna Asnaf Kelantan, Sendi Studio Galeri, Persatuan Pengukir dan Lambo Sari serta membuat program-program yang berkaitan dengan Seni, Kraf & Warisan Budaya bersama pelajar-pelajar IPT dan masyarakat
tempatan dan agensi kerajaan serta bukan kerajaan seperti Program Santai Seni Warisan (SSW), Jejak Warisan Bachok (JWB) dan Temasya Orang Kampung 1.0 (TOK).


Melalui pelantikan sebagai kurator dan pengarah Galeri dan Muzium Langkasuka di ANR, Bachok, masyarakat mendapat manfaat melihat & merasai kehidupan bangsa Melayu Tradisional dan aspek kesenian dan hasil tangan Tamadun Melayu terutamanya senibina Melayu daripada kayu. Program berkaitan ilmu melalui seminar dan kuliah amali dan penghayatan Seni Warisan Melayu diadakan untuk memastikan generasi muda tidak buta warisan dan mempunyai kekuatan jati diri.


Kegigihan usaha dan peranan yang sangat baik dimainkan oleh beliau terbukti apabila beliau dikurniakan Anugerah Tokoh Temasya Orang Kampung (Kategori Aktivis Warisan) pada tahun 2022 selain menjadi
tempat rujukan pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan adanya Kandis Resource Centre (KRC) dan Akademi Nik Rashiddin (ANR), Bachok. Sebagai pengerusi ANR, beliau menjadi peneraju kepada usahawan tempatan Persatuan Usahawan Komuniti Bachok-untuk mendedah, menggerak dan memajukan usahawan dengan program bersama agensi kerajaan, bukan kerajaan dan IPT tempatan seperti Program BACA (Bachok Contemporary Art) dan Temasya Orang Kampung (TOK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *