WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.29 PM (1)

Tokoh Siti Hajar Al-Qibtiyah,Prof Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail merupakan anak jati Kelantan, lepasan Maahad Muhammadi (P) Lilbanat Kota Bharu, Kelantan. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di USM, Pulau Pinang di peringkat Matrikulasi Ekspress, Ijazah Sarjana Muda dan peringkat Ijazah. Beliau juga menyambung pengajian di peringkat PhD di University of Cape Town South Africa pada tahun 2010.

Beliau telah berjaya menjadi seorang pensyarah dan saintis dalam bidang farmaseutikal bioteknologi di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT. Sejak menuntut di USM, Pulau Pinang sehingga kini, beliau telah menerima lebih 50 anugerah. Lebih membanggakan, Prof Madya Dr. Wan Iryani telah mengharumkan nama Malaysia sekaligus nama negeri Kelantan apabila disenaraikan sebagai Top 100 Asian Scientist 2020. Antara anugerah yang diterima beliau sama ada di peringkat dunia dan negara adalah, Fellowship for Women in Science (FWIS): L’Oréal-UNESCO 2019, Special Award and Gold Medal in Seoul International Innovation Fair (SIFF) 2019, Gold Medal, International Festival of Innovation on Green Technology 2019 dan lain-lain.  Pencapaian ini adalah hasil daripada penyelidikan yang beliau lakukan. Antaranya yang berkaitan madu lebah dan madu kelulut yang menggunakan teknologi dan ilmu yang terkini.

Hasil daripada  pengajian PhD beliau sejak tahun 2010, telah dapat membuktikan bahawa madu dapat digunakan untuk mengawal obesiti, mengawal diabetes dan berpotensi membunuh sel kanser. Walau bagaimanapun, ramai yang agak skeptikal dengan penyelidikan madu yang beliau lakukan. Tetapi beliau yakin akan kebenaran firman Allah  SWT di dalam Surah An-Nahl, ayat 65-69, bahawa madu itu adalah penawar segala penyakit.                                                                                             
Hasil kajian seterusnya, beliau telah membuktikan bahawa madu tiruan telah memberi mudarat kepada pengguna dan ianya menyebabkan obesiti dan diabetes. Sebaliknya, madu asli dapat mengawal obesiti dan menurunkan kandungan gula darah dan kolesterol. Hasil kajian beliau telah dikongsi dengan masyarakat, agensi kerajaan dan NGO. Dalam masa yang sama, beliau telah bekerjasama dengan penternak, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, MARDI dan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan penghasilan madu asli.                                                                 
Beliau turut bekerjasama dengan KPDNKK, Kementerian Kesihatan, SIRIM, Jabatan Standard Malaysia bagi menghasilkan Dokumen MS2683:2017 untuk menguji ketulenan madu dalam pasaran menggunakan data penyelidikan beliau. Biarpun beliau telah menerima pelbagai ancaman dari penjualan madu tiruan, beliau tetap meneruskan usaha membanteraskan penghasilan madu tiruan untuk kebaikan masyarakat dan membenarkan firman Allah.                           
Beliau menunjukkan komitmen yang berterusan dan istiqamah dalam bidang keilmuan dan inovasi sejak dari bangku sekolah sehingga kini. Beliau turut menghasilkan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara (PPIKN) 2020–2030. Hasil komitmen beliau dalam penyelidikan dan inovasi lebah dan kelulut di Malaysia, sebanyak RM20 juta nilai madu tempatan dapat dijana pada tahun 2017. Ianya amat bermakna kerana kebanyakan penternak terdiri dari kumpulan B40, ibu tunggal, asnaf dan belia.                                                                                                     
Beliau juga turut terlibat dalam perkongsian hasil penyelidikan beliau dan kaedah mengenalpasti ketulenan madu melalui pelbagai saluran seperti penerbitan ilmiah, buku, artikel di dalam majalah, surat khabar, perkongsian melalui TV, radio, media sosial, ceramah dan bengkel. Beliau turut menghasilkan dokumen rujukan untuk mengukur kualiti dan ketulenan madu di Malaysia yang dikenali MS2683:2017 Kelulut Honey Specification dan pelan strategik pembangunan industri lebah kelulut di Malaysia untuk 10 tahun (PPIKN 2020-2030).

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *