White Grey Black Light Classic Minimal Design – Branding Portfolio Website

Talbinah ialah makanan tradisional yang terkenal di Afrika Utara (Tunisia, Algeria, Libya, Maghribi), Timur Tengah (Bahrain, Cyprus, Mesir, Turki) dan Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Thailand) yang mempunyai banyak manfaat pemakanan. Talbinah ialah hidangan yang diperbuat daripada daripada biji barli / Syaeer (Hordeum vulgare) dicampur dengan susu segar/susu tepung/ susu fermentasi dan madu asli untuk menambah rasa manis. Barli adalah bahan utama dalam Talbinah.

Ia lebih baik diambil dalam keadaan suam, tetapi ia juga boleh dimakan atau diminum sejuk. Anda boleh juga menambah buah kering (badam, walnut, hazelnut, aprikot, kurma, buah tin) atau buah segar dalam Talbinah (Rajah 1). Dinamakan talbinah kerana warnanya seperti warna susu.

Talbinah juga boleh disediakan dalam bentuk sup dan minuman.

Contoh produk yang berada di pasaran adalah seperti di bawah.

Sumber : Talbinah

Talbinah mengandungi jumlah karbohidrat dan paras mineral yang tinggi (terutama zink dan zat besi)  (Jadual 1). Selain itu fungsinya juga dapat menghasilkan komposisi asid amino seimbang.

Asma et al. (2011) menunjukkan bahawa Talbinah boleh dijadikan produk makanan yang berpotensi tinggi sebagai makanan berfungsi. Ia diambil bukan sahaja untuk kepentingan pemakanan tetapi juga sifat nutraseutikal yang terdapat di dalamnya. Pengambilan diet tinggi bijirin penuh seperti barli sangatlah disyorkan.

Jadual 1 : Nilai pemakanan talbinah per hidangan (25 g campuran kering tersedia)

ItemKandungan
Tenaga94 Kcal
Lembapan1.3 g
Karbohidrat21.6 g
Protein1.2 g
Lemak0.2 g
Abu0.6 g
Sodium3.1 mg
Magnesium14.5 mg
Kalsium12.7 mg
Zink5.2 mg
Zat besi0.34 mg

Sumber : Shahar et al. (2013)

Masyarakat Arab menyediakan talbinah untuk melegakan kemurungan. Selain itu, ia digunakan sebagai nutrisi tambahan serta rawatan alternatif pelbagai penyakit kronik yang sukar dirawat melalui kaedah moden. Menurut hadis yang masyhur dalam Al-Bukhari, (1997), mengenai Talbinah, daripada Aishah R.A:

Maksudnya, ‚Diriwayatkan daripada Aisyah R.A. bahawa beliau telah menyuruh dan  menganjurkan talbinah kepada orang yang sakit dan untuk orang yang berdukacita atas kematian seseorang. Beliau berkata, ‘Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya talbinah dapat memberi ketenangan kepada hati pesakit dan menghilangkan sebahagian kesedihan.‛ (Sahih Bukhari 5689, Buku 76, Hadis 12).

Selain daripada hadis dan penggunaan budaya, terdapat beberapa bukti saintifik mengenai peranan talbinah sebagai anti kemurungan semula jadi. Dalam kajian yang dijalankan oleh Manal, Suzana, Zahara dan Hasnah (2013), para penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia tersebut mendapati bahawa pengambilan talbinah oleh responden warga tua dapat membantu dalam mengurangkan tahap tekanan (stres) dan kemurungan serta boleh memperbaiki mood.

Menurut kajian tersebut, kandungan nutrisi dalam talbina seperti β-glukan dapat menurunkan paras kolesterol dalam darah manusia, dan jumlah karbohidrat yang banyak pula boleh membantu dalam menstabilkan mood serta kandungan zink yang terdapat dalam talbina boleh berfungsi sebagai agen anti-depresi yang berkesan.

Karbohidrat berfungsi dengan merembeskan jumlah insulin yang mencukupi dapat meningkatkan jumlah triptofan yang akan terus disintesis kepada serotonin. Tahap serotonin yang lebih tinggi membantu dalam merawat kemurungan secara optimum.

Manfaat lain seperti yang dilaporkan oleh Bawazir (2010), talbinah mempunyai kesan yang besar dalam meningkatkan sel-sel pembiakan lelaki dengan meningkatkan tahap hormon lelaki dengan ketara yang membawa kepada pengeluaran sperma yang lebih matang.

Dalam kajian lain oleh Bawazir (2016), talbinah didapati dapat mempertingkatkan aktiviti antioksida dengan menyembuhkan kerosakan sel hati akibat penggunaan pewarna makanan berlebihan dalam tikus albino jantan. Berdasarkan kertas ulasan oleh Muhammad Afzaal et. al. (2021) menyatakan sifat terapeutik bagi talbinah adalah anti-mikrob, anti-kanser, anti-depresi, anti-diabetik, aktiviti antioksidan, penggalak sistem imun, anti-hiperkolesterolemik, membantu dalam sistem penghadaman, dan menstabilkan mood.

Dr. Norfarizan Hanoon binti Noor Azmi
Pensyarah
Program Pemakanan
Pusat Pengajian Sains Kesihatan
Universiti Sains Malaysia,
Kubang Kerian
Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *