Ceri Terengganu

Pokok ceri Terengganu atau nama saintifiknya Lepisanthes fruticosa adalah sejenis pokok rendang yang sederhana tinggi dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 10 meter. Ia juga dikenali dan dipanggil dengan nama lain seperti pokok johor dan selalunya dijadikan pokok hiasan landskap di taman atau halaman rumah. Pokok ceri Terengganu berasal daripada Asia Tenggara dan mempunyai taburan yang luas di sekitar Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo dan Filipina.

            Pokok ceri Terengganu mempunyai daun yang terurai cantik dan sesuai untuk dijadikan hiasan di taman atau halaman rumah. Daun dan pucuk yang muda, atau bunga berwarna ungu menjadikan pokok ini sangat cantik dan menarik. Daun pokok ceri Terengganu yang sudah matang berwarna hijau dan bilangannya 8-12 helai pada satu mayang. Daun itu panjangnya boleh mencapai sehingga 50 cm.

            Setiap bahagian yang ada pada pokok ceri Terengganu boleh digunakan dalam perubatan tradisional. Akar, buah, biji dan daun pokok ceri Terengganu mempunyai khasiat dan kelebihan yang tersendiri. Air rebusan akar pokok ceri Terengganu boleh menurunkan suhu badan yang tinggi ketika demam. Ia juga digunakan untuk tuam bagi melegakan gatal-gatal. Kaum Kedayan di Sarawak menggunakan akar pokok ceri Terengganu di dalam penyerapan teh untuk rawatan penyakit mati pucuk dan sakit sendi (Lim, 2013). Daun muda boleh dimasak dan dimakan sebagai sayur-sayuran di Selatan Thailand. Biji ceri Terengganu boleh dipanggang untuk dimakan.

Buah ceri Terengganu boleh dimakan begitu sahaja di samping ia mempunyai rasa yang manis apabila sudah masak. Menurut kebanyakan orang, buahnya dikatakan perlu digentel terlebih dahulu di atas telapak tangan sebelum dimakan untuk melembutkan kulit dan isinya kerana dengan cara itu dapat memberikan rasa yang lebih enak. Buah yang sudah masak membantu mengurangkan cirit-birit. Buah yang warnanya lebih gelap dan manis boleh mengubati cirit-birit.

Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI telah melakukan kajian dan mendapati bahawa ceri Terengganu mempunyai antioksidan dan sebatian fenolik yang tinggi berbanding buah-buahan komersil seperti jambu batu, limau dan epal. Fenolik merupakan sebatian antioksidan semulajadi yang terdapat di dalam tumbuhan yang boleh membunuh radikal bebas dalam badan. Radikal bebas yang wujud dalam badan inilah yang menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit pada manusia. Warna merah pada kulit buah berpotensi untuk dijadikan pewarna semulajadi yang boleh menggantikan pewarna sintetik. Di samping itu, warna merah pada kulit buah ceri Terengganu juga berpotensi sebagai antioksidan. Warna merah itu juga disebabkan oleh sejenis sebatian kimia yang dikenali sebagai antosianin. Antosianin ini merupakan pigmen merah yang memberikan warna kepada bunga, buah, daun, batang dan akar secara semulajadi kepada sesuatu tumbuhan. Salah satu fungsi antosianin yang penting adalah sebagai antioksidan yang dapat mencegah pelbagai penyakit seperti kanser dan arteriosklerosis.

Tambahan lagi, kajian telah menunjukkan antosianin juga berfungsi dalam pelbagai aktiviti biologi sebagai anti-radang dengan mengurangkan inflamasi, anti-diabetik yang boleh mengawal paras gula dalam darah, anti-mikrob yang dapat mencegah jangkitan bakteria dan anti-penuaan iaitu membantu menjaga kesihatan kulit dan masalah penuaan.

Pengeluar kosmetik terkemuka di Jepun  menjalankan penyelidikan bersama Thailand untuk menghasilkan produk berasaskan spesies tumbuhan tersebut kerana tertarik dengan kelebihan yang ada pada ceri Terengganu. Satu penyelidikan saintifik telah dijalankan oleh National Center for Genetic Engineering and Biotechnology (BIOTEC) dan National Science and Technology Development Agency (NSTDA) Thailand dengan kerjasama Shiseido Co., Ltd. untuk mengenalpasti kelebihan serta kebaikan yang mungkin wujud dan berpotensi ada di dalam beberapa spesies tumbuhan terutamanya dalam ceri Terengganu.

Hasil kajian tersebut dapat mengesan bahawa ceri Terengganu mempunyai kesan anti-penuaan dan dapat membantu menurunkan berat badan. Oleh itu, kedua-dua negara tersebut sangat yakin untuk membangunkan lebih banyak penyelidikan dan menghasilkan ramuan berasaskan spesies ceri Terengganu untuk produk kosmetik dan produk penjagaan kulit. Oleh kerana wujud antioksidan yang tinggi  dalam ceri Terengganu, ia membantu menangani masalah penuaan yang berkesan. Sebatian antioksidan iaitu fenolik dan antosianin yang tinggi dalam buah Ceri Terengganu memainkan peranan utama untuk membunuh radikal-radikal bebas yang merupakan punca utama penuaan. Oleh itu, ceri Terengganu sangat berpotensi besar untuk diperluas dan dikomersialkan.

Dr. Norfarizan Hanoon Binti Noor Azmi
Pensyarah
Program Pemakanan
Pusat Pengajian Sains Kesihatan
Universiti Sains Malaysia,
Kubang Kerian
Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *