Baitul Haraki

Hari ini di laman sosial, banyak sangat informasi dan maklumat yang dikongsi berkenaan keluarga dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara.

Saya sendiri turut tidak melepaskan peluang dengan maklumat di hujung jari ini untuk cuba diaplikasikan dalam kehidupan berumah tangga nanti.

Teringin pula diri ini berkongsi mengenai satu orang wanita iaitu tokoh wanita negeri Kelantan.

Mana tidaknya, di saat kesibukan beliau yang memegang pelbagai taklifan, masih sanggup memenuhi jemputan untuk slot Baitul Muslim Haraki dalam satu program dua(2) hari satu(1) (malam) bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK). Dirinya tidak asing di bumi Kelantan ini atas segala jasanya kepada ummah khususnya rakyat Kelantan di Rantau Panjang.

Gambar di atas merupakan barisan pimpinan muslimat negeri Kelantan yang turut diri ini kagumi.

Berikut merupakan beberapa latar belakang Yang Berhormat Ustazah Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff atau lebih mesra dipanggil dengan panggilan Kak Lah.

  1. Beliau lahir pada 12 Oktober 1963.
  2. Merupakan seorang ahli politik Malaysia.
  3. Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan.
  4. Kabinet Malaysia 2020, beliau merupakan ahli politik wanita dari PAS yang pertama dilantik sebagai Timbalan Menteri dan diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia.

Sekitar slot beliau berkenaan tajuk Baitul Muslim Haraki, sempatlah diriku mencatat beberapa mutiara kata. Beliau dengan tertib berkongsi kisah hidup beliau sepanjang menggalas pelbagai taklifan. Mana tidaknya, beliaulah seorang anak, ibu, isteri, dan pimpinan kawasan serta masyarakat.

Sedutan Program Tamrin Ameerah Negeri Kelantan

Dua gambar di atas lensa sepanjang slot bersama Yang Berhormat Ustazah Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff di program Tamrin Ameerah Negeri Kelantan yang mengumpulkan ke semua Parlimen dan Dun Negeri Kelantan.

Antara perkongsian beliau yang sempat diriku catat seperti:-

Sebelum Perkahwinan

  1. Taaruf dan jelaskan keadaan diri yang mana telah memegang beberapa jawatan.
  2. Jelaskan matlamat berkahwin untuk melahirkan zuriat biah soleh/solehah, dan pejuang agama Allah SWT.
  3. Selalu doa dan solat hajat setiap malam terutama waktu sepertiga malam.
  4. Belajar bangun awal pagi pukul dalam lingkungan 3.30 a.m dan 4.30 a.m.
  5. Perkemaskan ilmu di dada terutama ilmu fardu Ain dan Ilmu rumah tangga.

Sebenarnya, banyak lagi perkongsian dari beliau.

Tips sepanjang menempuh alam perkahwinan

  1. Bangun awal pagi penguat jiwa.
  2. Pastikan iron baju kerja untuk seminggu terus.
  3. Bangun munajat setiap hari. Allahlah tempat mengadu dan memohon sebarang permohonan.
  4. Masak banyak terus dengan pelbagai bentuk hidangan. Maksudnya, packing siap-siap dan disimpan di dalam peti sejuk. Apabila mahu makan, tinggal defrost dan dipanaskan sahaja. (Masak/separa masak).
  5. Bagi suami yang menyukai makanan panas-panas atau baru masak, tipsnya sediakan bahan basah yang diproses siap-siap seperti bawang kisar, sayur-sayuran yang siap dicuci dan dipotong, cili kisar dan banyak lagi.
  6. Pastikan sarapan disediakan oleh kita. Bangun pagi masak selepas qiamullail.
  7. Baju yang usai dibasuh digantung dengan hanger terus. Kaedah ini dapat menjimatkan masa melipat, baju kurang berkedut dan sebagainya. Mahu lagi cepat guna mesin pengering.
  8. Susun atur kedudukan barang-barang peribadi dengan baik. Senang dan mudah dicapai oleh diri dan pasangan.
  9. Sewaktu pregnant, banyakkan berdoa agar Allah jadikan anak yang dikandung menjadi pembantu agama Allah dan menegakkan Islam.

Meskipun coretan kali ini hanya berhenti di sini, namun jasa dan pengorbanan beliau diharap kita semua dapat mengambil manfaatnya. Manfaatkan masa yang Allah peruntukkan 24 jam sehari. Jaga Allah. Jaga Akhlak. Jaga Keluarga.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *