WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.29 PM

Puan Dzukaidah Ali Muhammad yang lebih mesra disapa sebagai Kak Dah telah dilahirkan pada tanggal 16 Jun 1962. Beliau merupakan seorang yang tidak asing lagi di kalangan penduduk setempat kerana telah diamanahkan untuk menjadi Penghulu Tanpa Mukim Wanita bagi Parlimen Pasir Puteh. Beliau mempunyai sepuluh orang cahaya mata iaitu tiga orang lelaki dan tujuh orang perempuan.

Tokoh ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tengku Mahmood Besut dan meneruskan pengajian di peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Agama Maarif Kampung Raja, Besut dan menamatkan pengajian di peringkat Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Sememangnya beliau seorang yang cakna dengan keperluan penduduk setempat, pada tahun 2001, Kak Dah bersama beberapa orang penggerak memulakan sekolah PASTI Ainul Mardhiah untuk anak-anak kecil berumur 4 hingga 6 tahun di kampungnya. Disebabkan ketiadaan tempat sesuai untuk membuka sekolah itu, Kak Dah berinisiatif untuk mengajar pelajar-pelajar PASTI di rumahnya sendiri. Pelajar-pelajar miskin dan susah yang sebelum ini keciciran disebabkan kemiskinan dan sekolah yang terletak jauh dari kampung mereka mula mendapat peluang untuk belajar di PASTI Ainul Mardhiah. Kak Dah mengajar di PASTI Ainul Mardhiah ini sehingga tahun 2019.

Setelah lelah mengajar di pagi hari, Kak Dah membuka pula kelas pengajian Al-Quran secara percuma pada sebelah petang. Lebih 40 orang pelajar yang mendatangi rumahnya pada setiap petang untuk belajar mengaji Al-Quran. Bukan hanya sibuk mengajar, beliau juga mengambil tanggungjawab untuk menjadi pemandi jenazah wanita setempat. Setiap kali ada kematian penduduk wanita, pasti beliau akan dicari untuk memandikan jenazah. Merasakan yang tanggungjawab fardu kifayah ini harus dipelajari oleh masyarakat, beliau turut aktif mengajar cara-cara pengurusan jenazah dan sentiasa dijemput sebagai pengajar di kursus pengurusan jenazah sama ada dianjurkan oleh pihak masjid atau sekolah. Bukan hanya menjadi pengajar di kawasan sekitar, beliau juga turut memenuhi jemputan hingga ke Terengganu.                                                    

                       
Kak Dah dilantik sebagai Pembantu Halaqat pada tahun 2003 dan seterusnya dilantik sebagai Penghulu Tanpa Mukim Wanita bagi DUN Gaal pada tahun 2004. Kemudian, pada tahun 2009 Kak Dah dilantik menjadi ahli majlis daerah dan pada tahun yang sama juga jawatan beliau ditukar kepada Penghulu Tanpa Mukim Wanita Parlimen Pasir Puteh. Kak Dah bukan hanya turun melawat penduduk setempat disebabkan kerja rasmi, tetapi juga aktif bergerak dalam kerja-kerja NGO. Antara misi kemanusiaan yang pernah disertainya adalah misi menghantar bantuan ke Kemboja pada 2017 dan juga pernah ke tempat pedalaman di Sarawak.                                                                                   
Pada 2015, Kak Dah diuji dengan ujian berat apabila suaminya yang tercinta telah pergi untuk selama-lamanya. Beliau ditinggalkan seorang diri untuk membesarkan 10 orang anaknya. Walaupun mempunyai seorang anak OKU, beliau tidak pernah menjadikan alasan anak sebagai penghalang untuk berbakti kepada masyarakat terutamanya dalam hal ehwal wanita.                                                                                       
Beliau menunjukkan sifat penyayang dan budiman terhadap masyarakat sekeliling sehingga mengingatkan kita kepada kisah Ummul Masakin, Sayyidatina Zainab Khuzaimah R.A yang sentiasa menyantuni fakir miskin dan cakna dengan keperluan mereka. Semoga tokoh ini dapat memberi inspirasi kepada ibu di luar sana bahawa walaupun sibuk di lapangan namun beliau tidak pernah mengabaikan urusan rumahtangga dan berjaya mendidik dan menguruskan anak-anaknya dengan baik.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *