Tokoh Kebajikan Cakna OKU

Kategori Cakna OKU

Profesor Madya Dr. Hj Mohamed Saat bin Hj Ismail telah dilahirkan pada tanggal 7 September 1959 merupakan seorang pesara pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Hasil perkongsian hidup dengan pasangan Zakiyah binti Rejab, mereka telah dikurniakan 9 orang cahaya mata. Memulakan kerjaya sebagai pembantu farmasi, beliau menunjukkan pencapaian yang cemerlang apabila bersara sebagai pensyarah berpangkat Profesor Madya. Walaubagaimanapun sumbangannya dalam bidang perubatan tidak terhenti sekadar itu apabila 5 orang anaknya turut berkecimpung di dalam bidang yang sama.

Tokoh Aktivis Cakna OKU ini mendedikasikan hidupnya di dalam dunia pendidikan apabila menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fisiologi Senaman di Universiti Kyushu, Jepun. Bermula dengan Sijil Teknologi Makmal Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam jurusan Perubatan Tropika sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Bio Perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Tidak jemu menimba ilmu, beliau meneruskan perjalanan pendidikannya di peringkat Sarjana dalam bidang Sains Sukan di USM sebelum tamat dengan segulung Ijazah Kedoktoran.

Beliau kini memfokuskan khidmat kepada Pusat Pengajian Sains Sukan sebagai penasihat Unit Transformasi OKU. Di bawah bimbingan beliau, pelbagai projek telah dilaksanakan menerusi projek transformasi OKU bertujuan memperkasakan komuniti OKU. Antara projek yang terlibat adalah Pusat Kecergasan Seumur Hidup, Projek Latihan Pekerjaan OKU-Intelek, Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Projek Pertanian Komersial OKU Intelek, Rumah Ngaji OKU Intelek, Projek Komuniti Persembahan, Pusat Jualan Produk Pertanian, Forget Me Not Café and Florist, Pusat Latihan Pekerjaan OKU Masalah Pembelajaran (Pertanian) JKM-USM, Pusat Sehenti Transformasi OKU USM-MAIK dan Pusat Latihan 3P (Pertanian, Perikanan & Penternakan). Hasilnya beliau telah mengangkat imej Unit Transformasi OKU PPSK sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Menerusi penubuhan Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA) dan Koperasi Cakna OKU Kelantan Berhad, telah berjaya menyediakan peluang kerjaya kepada 6 orang anak OKU membangunkan keupayaan diri dan memajukan status sosial mereka. Mereka tel ah diambil bekerja di Pasaraya, Kopitiam dan Pusat Dialisis USM setelah tamat Latihan Pekerjaan OKU-Intelek. Sosok beliau sebagai pejuang masyarakat khususnya golongan OKU telah mengangkat beliau sebagai pencetus idea dan perunding oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam hal ehwal berkaitan asnaf dan OKU di negara ini. Kegigihan usaha dan motivasi yang tinggi ini telah terbukti apabila beliau berjaya mentransformasikan komuniti OKU daripada status liabiliti kepada produktiviti.

“Bukan Sekadar Bicara”, itulah kalimah keramat yang sering meniti di bibir beliau sebagai asas pegangan dan aspirasi dalam mendepani cabaran semasa. Ketekunan beliau telah mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada Kerajaan Negeri apabila dinobat sebagai Tokoh OKU Muqarabun semasa Sambutan Hari OKU Negeri Kelantan pada tahun 2017.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Sangar Sanjung iaitu Anugerah Khidmat Masyarakat daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) Bagi Kategori Anugerah Khas Asus Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Selain pencapaian dalam bidang kemasyarakatan, beliau juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Koperasi Negara Peringkat Negeri Kelantan, Anugerah Penolong Pesuruhjaya RELA (Bersekutu), dan menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota.

Berkat usaha yang ditunjukkan, beliau telah diberi kepercayaan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dengan diberi dana berjumlah RM400,000.00 untuk membina Pusat Sehenti Transformasi OKU, USM membantu memperkasakan golongan OKU.

Beliau yakin di sebalik kekurangan mereka sebenarnya mereka mampu berdikari dan berbakti kepada keluarga dengan cara mereka sendiri. Perjuangan yang bermula atas dasar minat ini akhirnya menjadi kerjaya sepenuh masa yang tiada titik noktahnya. Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit untuk memanfaatkan keupayaan dan kebolehan OKU sebagai sumber manusia akhirnya membuahkan hasil apabila beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan (Cakna OKU) dalam Sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *