ASMA

Penerima anugerah Tokoh Sayyidatina Zainab Khuzaimah pada tahun ini bernama Norasma binti Mohamed Salleh dan telah dilahirkan pada tanggal 14 Mei 1976. Mendirikan rumah tangga dengan Kamaluddin Hasbullah, mereka telah diamanahkan dengan lima orang cahaya mata iaitu tiga orang lelaki dan dua orang perempuan. Tokoh ini mendapat pendidikan peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang iaitu 16 aggregat pada tahun 1993. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 2001.


Telah bergelar seorang pendidik, beliau kini bertugas di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh. Karier beliau dalam bidang perguruan telah bermula sejak 2001 dan kini sudah menghampiri 22 tahun. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang pendidikan ini, banyak anugerah yang telah beliau perolehi. Antaranya adalah Anugerah Guru Cemerlang 2004, Anugerah Guru Cemerlang Peringkat Kebangsaan
2021, Anugerah Khas di Pertandingan Inovasi Konbayu Peringkat Kebangsaan 2021, Teacher Creativity Award (Young Scientist Category) VIC Peringkat Antarabangsa 2021, Anugerah Pencapaian Medal Emas
Memoria di Peringkat Kebangsaaan NIICe 2022, Anugerah Guru Inovatif (AGI) Peringkat Daerah 2022 dan Anugerah Khas Kebudayaan Kajian Tindakan Peringkat Daerah (Mentor Pilihan) 2022.

Tidak hanya sibuk dengan tugas hakiki sebagai seorang guru dan ibu, pada setiap hari Jumaat dan hari kebesaran Islam seperti Maulidul Rasul dan lain-lain, telah menjadi rutin bagi Norasma untuk menyantuni anak-anak yatim dengan menyalurkan infak makanan ke rumah-rumah anak yatim. Beliau juga meluaskan agihan infak makanan dan bekalan dapur ini kepada penghuni pondok madrasah sekitar Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok. Selain itu, beliau juga akan menginfakkan air dan kuih muih untuk jemaah solat Jumaat. Bukan hanya bergerak seorang, beliau turut membuka peluang kepada masyarakat untuk membuat tahlil, solat hajat dan berinfak bersama-sama.


Tidak senang berpeluk tubuh, beliau turut aktif dalam mengagihkan bantuan banjir dan bencana ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir. Setiap kali datangnya bulan Ramadan pula, beliau tidak lupa untuk
mengagihkan kurma dan biskut raya serta menyumbangkan makanan untuk iftar kepada asnaf, anak yatim dan warga pondok. Sepuluh akhir Ramadan, infak semakin digiatkan dengan bantuan beras, gula dan sedekah. Sumbangan baju raya turut diberikan kepada fakir miskin dan anak yatim. Selain itu, beliau turut membuat projek wakaf dan mengajak masyarakat untuk menyumbang barang binaan, tanah dan sebagainya.


Antara projek wakaf yang sering beliau fokuskan ialah pembinaan pondok-pondok, pembinaan surau dan pembinaan masjid. Sumbangan susu dan lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan bayi yang asnaf turut menjadi misi beliau. Semua sumbangan dan aliran infak sering diuar-uarkan kepada
masyarakat agar turut serta menyumbang bagi mengurangkan beban asnaf. Tidak jemu menabur jasa, beliau turut menawarkan khidmat beliau sebagai seorang guru dengan mengadakan Bengkel Pendedahan Teknik Menjawab Peperiksaan bagi sekolah-sekolah YIK.


Walaupun bekerjaya dan sibuk di lapangan sebagai guru, sifat kasih-sayang dan budiman yang beliau tunjukkan terhadap mereka yang memerlukan sangat wajar dijadikan contoh. Semoga beliau dan kita semua sentiasa menjadikan Sayyidatina Zainab Khuzaimah yang dikenali sebagai ‘Ibu Orang-orang Miskin’ sebagai inspirasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *