IKON SAKINAH

Ikon Usahawan pada tahun ini telah dinobatkan kepada Nurul Sakinah binti Yaacob yang berasal dari Cabang 3 Berangan Tumpat Kelantan. Beliau dilahirkan pada 30 Oktober 1993 dan telah berkahwin dengan Ahmad Fathul Fushshilat bin Fauzi. Beliau telah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Islam Malaysia dalam bidang Bioteknologi Makanan dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2016.


Meminati bidang perniagaan dan seiring zaman marketing digital beliau mengambil peluang tersebut dengan mengasaskan Zeeyaa Berkat Trading yang mula beroperasi pada tahun 2017 dan aktif
menjalankan perniagaan yang berasaskan pakaian muslimah melalui platform Shopee sehingga kini. Pandemik Covid 19 sedikit sebanyak memberi impak kepada perniagaan yang diusahakan namun beliau
bangkit kembali dan kini beliau sujud bersyukur dengan pemberian Allah apabila berkat hasil usaha tanpa jemu jualan tahunan beliau telah mencecah sehingga RM12 juta dengan mempunyai 6 orang pekerja dibawah seliaan beliau.

Walaupun sibuk sebagai Pengurus Zeeyaa Berkat Trading, beliau juga sangat aktif dalam berkongsi ilmu keusahawanan Shopee kepada ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Dengan menggunakan
modul yang diolah sendiri beliau seringkali dijemput sebagai speaker oleh institusi kerajaan swasta pihak universiti NGO, pemilik perniagaan dan penduduk setempat. Sifat tidak lokek ilmu ini telah menyebabkan beliau berjaya membantu ramai orang untuk sama-sama mencapai kejayaan dalam perniagaan. Dengan perkongsian ilmu ini juga, beliau telah membantu pelajar universiti dalam proses pembelajaran mereka dan membantu pihak universiti untuk merangka modul pembelajaran Islamic Digital Marketing.


Selain dari sudut ekonomi beliau juga banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan seperti agihan bantuan makanan kepada asnaf kerana beliau juga merupakan aktivis untuk beberapa NGO. Beliau komited untuk membantu lebih ramai orang dengan harapan dapat mengurangkan kadar kemiskinan kerana kefakiran itu hampir kepada kekufuran. Beliau berpegang kepada prinsip Kejayaan itu bukan
tentang berapa banyak wang yang kita berjaya raih tapi ia tentang berapa ramai orang yang kita bantu di sepanjang perjalanan kejayaan. Semoga dengan semangat yang tidak luntur dalam membantu orang
ramai,menjadikan perniagaan Sakinah semakin maju dan beliau berjaya menjadi hartawan mukminah berjiwa Khadijah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *