Tokoh Viral Kebajikan

Bermula dengan satu posting di Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun Roslan Hassan pada 23 Disember tahun lalu, kisah anak muda ini menjadi tular di media sosial sehingga mencecah sepuluh ribu (10K) perkongsian daripada warga net telah mengangkat nama anak muda kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini sebagai individu viral di Malaysia.

Keperibadian dan keluhuran budi pekerti anak sulong daripada empat orang adik beradik ini menjadi bualan ramai apabila kisahnya menjadi tular di media sosial. Beliau yang dimaksudkan ialah Mohammad Fitri Firdaus bin Malihan, 21 tahun merupakan pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM). Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Rendah Bechah Durian, seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Teknik Terengganu dan Matrikulasi Teknikal Kedah.

Dalam kejadian 21 Disember 2019, kira-kira jam 3 petang, beliau yang sedang bertugas sebagai juruwang di A&W Hentian Rehat Ayer Keroh bertindak menyerahkan kunci motor milik beliau kepada salah seorang pelanggan yang beratur untuk membuat pesanan apabila dimaklumkan tentang ketiadaan wang tunai di dalam dompetnya.

Menurutnya, beliau berasa simpati kepada individu tersebut kerana telah beratur panjang dan terpaksa beratur semula jika tidak dapat membuat bayaran. Tindakan itu telah memberi impak yang besar kepada dirinya serta masyaraka sekeliling terutamanya golongan belia. Sikap dan perilaku mulia yang ditonjolkan oleh pemuda ini telah menjadi inspirasi dan kebanggaan kepada rakyat Malaysia khasnya Negeri Kelantan.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Kelantan berbesar hati untuk menganugerahkan Anugerah Ikon Viral Kebajikan kepada Mohammad Firdaus Fitri di dalam sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan pada tahun ini. Semoga beliau terus berjaya di dalam bidang yang diceburi dan terus menunjukkan nilai-nilai murni alam kehidupan beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *