Tokoh Kebajikan Cakna Armalah

Kategori Cakna Armalah

Saibon bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Saibon merupakan anak jati Kelantan yang telah dilahirkan pada tanggal 6 Januari 1970. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Nik Salwani binti Idris yang merupakan suri rumah sepenuh masa. Hasil perkahwinan, telah dikurniakan 6 cahaya mata. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gemang, Jeli Kelantan sebelum melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Ugama Arab Al-Sabirin Ayer Lanas dan berjaya menamatkan pengajian menengah dengan Sijil Tinggi Agama (STU) di Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa.

Pencapaian yang cemerlang di peringkat sekolah telah melayakkan beliau untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Ummul Qura, Arab Saudi dalam bidang Pengajian Bahasa Arab pada tahun 1992. Selepas menamatkan pengajian di luar negara, beliau akhirnya pulang ke tanah air dengan membawa segulung ijazah daripada intitusi yang sama dalam jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Pendirian yang teguh terhadap bidang keagamaan telah membentuk jil Al-Quran (generasi al-Quran) apabila anak-anaknya memilih intitusi dan sekolah agama sebagai wadah untuk menimba ilmu khususnya dalam bidang Qiraat.

Ustaz Saibon memulakan kerjaya sebagai Guru Yayasan Islam Kelantan selama 2 tahun sebelum berkhidmat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sebagai Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Syariah. Sepanjang 12 tahun menabur bakti, beliau telah diberi pengiktirafan apabila menerima Anugerah Khidmat Cemerlang, dan Anugerah Darjah Kebesaran daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Kini, beliau masih berkhidmat sebagai Pegawai Agama di Pejabat Agama Daerah Tanah Merah selain turut dijemput menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid-masjid.

Kesibukan menjalankan tugas tidak menghalangi beliau untuk membela mereka yang kurang bernasib baik. Bukti kecaknaan beliau dizahirkan melalui penubuhan Tabung Kebajikan Anak Yatim dan Orang Miskin, Tabung Cakna dan Tabung Sedekah di masjid-masjid bagi mengumpul dana untuk membantu golongan yang memerlukan. Menerusi pelancaran tabung ini, beliau telah membantu seramai 35 orang anak yatim dari sudut pendidikan dan meringankan beban 30 buah keluarga miskin dengan menyalurkan bantuan keperluan rumah. Selain itu juga, beliau turut membantu 50 orang pelajar asnaf di Kemboja sejak lima tahun yang lalu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Menyedari keperluan dan kepentingan mempelajari Al-Quran, beliau komited mengasaskan 12 buah kelas Pengajian Al-Quran secara percuma kepada 300 orang kanak-kanak yang tidak berkemampuan dan membiayai elaun para asatizah semenjak 3 tahun lalu.

Jiwa pemurah yang dimilikinya telah membawa beliau kepada kejayaan membangunkan beberapa buah masjid yang diberi nama Masjid Ar-Raudhah, Masjid Umair, Masjid Khairiah, Masjid Al-Asriyyah dan sebuah lagi masjid di perkampungan Orang Asli, Gua Musang. Sumbangan terbesar beliau sehingga layak dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Aktivis Cakna Kebajikan bagi kategori Cakna Armalah ialah pembinaan rumah ibu tunggal.

Sehingga hari ini beliau telah membina 2 buah rumah kepada armalah miskin dan dalam usaha untuk membina rumah ketiga di Gual Ipoh. Beliau telah menginfakkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyediakan persekitaran dan kediaman yang selesa kepada para armalah dan asnaf miskin yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran melainkan mencari redha Allah semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *