Tokoh Kebajikan Cakna Asnaf Miskin

Kategori Cakna Asnaf Miskin

Jurutera Profesional ini telah dilahirkan pada tanggal 21 Ogos 1978 di Kota Bharu Kelantan dan mendirikan rumahtangga bersama Rozila binti Mohd Roslan dan Zurawati binti Zulkifli. Hasil perkahwinan, beliau telah dikurniakan lima orang cahaya mata yang berusia antara 8 hingga 16 tahun. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Ismail 1 sebelum mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa. Meneruskan perjuangan di dalam bidang pendidikan, beliau kemudiannya mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik di University Of Sheffield, England pada tahun 2000.

Sesuai dengan pengurniaan Anugerah Pelajar Serba Boleh, Meor Shamshir bin Meor Zulkifli Auni telah membuktikan kebolehan diri dalam bidang kejuruteraan elektrik dan merupakan aktivis sosial pada masa yang sama. Selepas tamat pengajian, beliau berkhidmat di syarikat Hikmat Ikhlas Sdn. Bhd. dan KNS Consultant Sdn. Bhd. sebagai saluran untuk memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari dalam bidang kejuruteraan. Selepas 10 tahun menabur bakti kepada syarikat majikan, beliau menubuhkan syarikat sendiri yang diberi nama PDE Partnership Sdn. Bhd. pada tahun 2010. Kepakaran beliau di dalam bidang kejuruteraan terserlah apabila beliau kepercayaan untuk memegang amanah sebagai Setiausaha The Institution of Engineers Malaysia Cawangan Kelantan di samping jawatan Pengerusi Tetap Persatuan Kelab-kelab Belia MAYC Kebangsaan.

Beliau mula dikenali di dalam dunia kebajikan dan kesukarelaan apabila beliau menubuhkan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) pada 24 Jun 2015 yang beralamat di Tanjong Mas, Kota Bharu. Penamaan Rumah Asnaf mencetuskan aura “self of belonging” iaitu perasaan kekitaan sesama warga asnaf yang hadir menjayakan program yang dianjurkan KKAK. Selaras hasrat untuk membantu golongan asnaf miskin, beliau telah menggerakkan program Dapur Asnaf, Klinik Asnaf, Ziarah Asnaf, Jaya Diri Asnaf, Iftar Asnaf, Free Market, Back 2 School dan Kelas Pengajian Akademik dan Al-Quran untuk membantu golongan miskin dari pelbagai sudut.

Menerusi program Dapur Asnaf, 700 keluarga asnaf yang berdaftar daripada 20 DUN telah diraikan dengan jamuan makan pada hari Jumaat setiap minggu. Menurut Pengerusi KKAK, tunjang kelestarian kewangan dan kesedaran bagi program-program yang dijalankan adalah melalui kuasa viral dimana kisah penderitaan dan penyampaian sumbangan disiarkan menerusi aplikasi Facebook dan Whatsapp. Runah Asnaf juga menjadi platform kepada pihak ketiga yang ingin memberi atau menyampaikan sumbangan kepada para asnaf yang hadir dalam program tersebut. Beliau juga membuat kolaborasi dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk memasukkan segmen keagamaan sebagai pengisian rohani kepada warga asnaf.

Keprihatinan beliau terhadap golongan asnaf tidak hanya bersifat fizikal semata-mata bahkan turut menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling serta kelas pengajian akademik dan Al-Quran kepada anak-anak asnaf secara percuma pada setiap hari Jumaat. Tenaga pengajar adalah dipilih daripada sukarelawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan. ‘Back 2 School’ merupakan program yang diadakan menjelang sesi persekolahan baru pada setiap tahun dimana 500 orang pelajar asnaf disantuni melalui sumbangan peralatan, pakaian sekolah dan pembiayaan yuran pengajian bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan. Tidak mahu warga asnaf terus bergantung kepada ihsan masyarakat, beliau mengambil inisiatif menyediakan kursus kemahiran pembuatan produk dari rumah seperti roti dan pizza. Ini bertujuan untuk memberi dan membekalkan peserta dengan kemahiran menghasilkan produk, ilmu pemasaran dan menguruskan akaun kira-kira sekaligus meningkatkan taraf ekonomi.

Berkonsepkan “pasar lambak”, Encik Meor Shamshir mewujudkan program jual beli yang tidak menggunakan wang ringgit dimana para asnaf yang memerlukan barang keperluan rumah dan pakaian boleh mendapatkannya secara terus daripada penyumbang tanpa perlu membayar sejumlah wang. Menjelang bulan Ramadhan, beliau dan petugas Rumah Asnaf akan bekerjasama menyiapkan 1000 bungkus nasi untuk diagihkan kepada warga setempat dan kakitangan Hospital USM dan HRPZ II yang terdiri daripada golongan yang memerlukan. Usaha murni beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Kelantan apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Khidmat Sosial Kelantan IEM Kelantan, Ikon Majlis Belia Kelantan dan tersenarai di dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *