Tokoh Kebajikan Cakna Anak Yatim

Kategori Cakna Anak Yatim

Sosok tubuh ini telah mengangkat kerja-kerja kebajikan dan khidmat sukarela menjadi satu komitmen dan kewajipan dalam kehidupan beliau. Kecaknaan pada dunia kebajikan terutamanya anak yatim dan wanita telah membuatkan beliau menjadi pengasas kepada beberapa buah rumah anak yatim dan pusat perlindungan wanita.

Beliau yang dimaksudkan ialah Mohd Nazry bin Mohamad Nor, dilahirkan pada tanggal 27 Januari 1970 di Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh Kelantan. Mendapat Pendidikan awal di Maahad Saniah Pasir Puteh sebelum menyambung pelajaran peringkat diploma di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri dalam bidang Usuluddin dan Da’wah. Kecintaan yang mendalam pada ilmu membuatkan beliau terbang ke bumi Anbiya Mesir bagi menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir Cawangan Tanta pada tahun 2003 sehingga 2005. Setelah beberapa tahun pulang dari Mesir beliau menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan di Universiti Utara Malaysia. Setelah 16 tahun menyelusuri rumah tangga bersama suri hatinya Maznah binti Daud, mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata. Menjadi seorang isteri yang berkongsi insan tersayang dengan ummah bukanlah sesuatu yang mudah namun dengan kesabaran dan sokongan suri hatinya membuatkan beliau terus komited untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

Beliau memulakan perjalanan kerjayanya sebagai guru di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada tahun 2006. Setelah 5 tahun berkhidmat, beliau mengambil keputusan untuk bersara dari dunia pendidikan dan membuka sebuah syarikat konsultan yang diberi nama Darul Atiq Consultant yang berpusat di Kota Bharu. Jiwa pendidik yang masih berkobar dalam dirinya telah membawa kepada penubuhan Sekolah Rendah Integrasi Teras Darul Atiq di Pasir Puteh pada tahun 2016.

Pada awal penglibatan dalam bidang kebajikan, beliau telah mengasaskan tujuh buah rumah anak yatim, antaranya ialah Rumah Anak Yatim Lilbanat (Perempuan) Darul Naim (RAYLD), Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Siti Aminah, Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Sri Peraksi, Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Huffaz, Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Al-Qamariah, Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Baitul dan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan di beberapa jajahan di Negeri Kelantan.

Fokus beliau tidak hanya terarah kepada golongan anak yatim dan dhuafa’, beliau juga prihatin dengan nasib wanita dan warga emas sehingga tertubuhnya Pusat Pemulihan dan Perlindungan Wanita Raudhatus Saadah Al-Fatimah Center (RSC) dan Pondok Sejahtera Gong Anak Nyoir yang terletak di Teloson Pasir Puteh Kelantan. Sumbangan dan penglibatan beliau dalam masyarakat menjadikan dirinya seorang tokoh yang wajar diteladani oleh setiap lapisan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *