Lazuli Real Estate (3)

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Walaupun dilahirkan dengan masalah penglihatan, namun semua itu bukanlah faktor penghalang bagi Mohammad Faizal bin Che Yusof untuk memilih kerjaya peguam dan memiliki firma guamannya sendiri iaitu Tetuan Faizal Azmawani & Co di Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang merupakan bekas graduan Universiti Malaya dalam bidang undang-undang ini lantang menyatakan pendiriannya melalui penyerahan memorandum Bangkit kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada tahun 2015 bertujuan menuntut pindaan Perkara 8, 12 Perlembagaan Persekutuan dan penyerahan memorandum Pengupayaan OKU kepada Kerajaan Malaysia demi memartabatkan dan memperkasakan golongan yang senasib dengannya. Walaupun berdepan kesukaran dan perlu bergantung kepada bantuan orang lain untuk bergerak, beliau tetap bersemangat untuk membawa suara OKU dari peringkat akar umbi.

Keterampilan beliau sudah terserlah semenjak bangku persekolahan lagi apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan bagi peperikasaan SPM dan STPM serta menjuarai Pertandingan Syarahan Peringkat Wilayah Pesekutuan. Pencapaian dalam bidang akademik dizahirkan dengan penganugerah Golden Key pada tahun 1998.

Beliau yang kini menggalas jawatan Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merangkap Ahli Majlis Penasihat OKU Negeri, Kerajaan Negeri Kelantan (MPON) aktif menjalankan program-program dan latihan bersesuaian sebagai alternatif untuk mengembangkan keupayaan diri komuniti OKU di negeri ini. Penglibatan beliau bersama NGO-NGO OKU telah bermula semenjak tahun 2000 sehingga hari ini.

Menurut beliau, cabaran terbesar sebagai OKU adalah persepsi masyarakat yang keliru di antara hak dan empati. Oleh itu, beliau sentiasa mengambil peluang menghadiri perbincangan dan perundingan berkaitan hak asasi manusia seperti persidangan National Human Right Action Plan dan Forum Persons With Disabilities Act 2008: What Next? untuk menggalakkan pembangunan OKU atas dasar hak (right base) yang sah di sisi perundangan, bukan lagi kebajikan (charity base). Tidak terhenti sekadar itu, beliau turut menyuarakan pendirian beliau melalui penulisan di ruangan akhbar dan blog serta menyampaikan ceramah motivasi di masjid-masjid.

Selaras dengan misi PERTIS untuk memartabatkan Islam dalam kalangan OKU penglihatan, beliau tekad menganjurkan kelas-kelas pengajian Al-Quran Braille, kelas Fardhu Ain, ceramah dan bengkel pemantapan Islam secara berkala kepada seluruh warga OKU penglihatan.

Selain itu juga, beliau turut mencetak dan mengedarkan Al-Quran Braille, Tafsir Pimpinan Al-Rahman dan Kitab Fiqh Shafie yang mengandungi bahan-bahan Islami untuk bacaan komuniti OKU penglihatan di seluruh cawangan PERTIS di Malaysia. Komitmen dan kerja keras beliau selama ini terbukti apabila Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan OKU penglihatan dinobatkan sebagai Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020 dan penganjuran Khatam Perdana anjuran PERTIS telah direkodkan di dalam Malaysia Book of Record.

Walaupun telah mencapai sasaran yang diingini, Encik Faizal tetap komited menggerakkan program dan kursus jati diri yang bersesuaian dan patuh syariah bagi membangunkan soft skill komuniti OKU penglihatan sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa. Beliau yakin setiap individu mempunyai kebolehan dan keupayaan yang unik jika ia dibangunkan mengikut kaedah dan lunas-lunas yang betul. Tokoh OKU Muqarrabun ini wajar dicontohi dan dijadikan teladan kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan OKU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *