Buku Modul Keluarga Mawaddah – Made With PosterMyWall

Kerangka Modul Mawaddah

Pembinaan keluarga bahagia dalam modul ini adalah umpama pohon yang terdiri daripada tiga komponen iaitu:

  1. Akidah
  2. Syariah
  3. Akhlak
Gambar Hiasan : Pinterest

Akidah umpama akar yang tidak kelihatan di atas tanah. Akar yang sihat menunjangi kuat pokok tersebut agar tidak tumbang. Syariah pula seperti batang dan dahan yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

  1. Hubungan manusia dengan Tuhan.
  2. Hubungan manusia dengan diri sendiri.
  3. Hubungan manusia dengan orang lain.

Batang dan dahan inilah yang menunjukkan rupa fizikal pokok yang subur dan rimbun.

Gambar Hiasan: Google

Manakala, akhlak umpama buah atau hasil sebenar yang diinginkan daripada sebatang pokok.

Gambar Hiasan: Pinterest

Akhlak dalam modul ini dibahagikan kepada tiga tema besar iaitu:

  • Ikhlas
  • Amanah (Hasil hubungan dengan Tuhan).
  • Seimbang
  • Sepadu (Hasil hubungan manusia dengan diri sendiri).
  • Adil
  • Sayang (Hasil hubungan manusia dengan orang lain).

Enam nilai ini dianggap sebagai nilai utama yang membentuk nilai-nilai mulia yang lain.

Kesemua komponen tersebut (Akidah, syariah dan akhlak yang diumpamakan sepohon pokok) memerlukan tiga perkara asas untuk menjadikannya hidup subur dan rimbun iaitu iman, ilmu dan amal.

Hal ini membentuk suasana yang mesra pendidikan dan memberi impak yang besar kepada ahli keluarga untuk mengamalkan budaya ilmu di rumah.

Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat (Imam Al-Syafi’i)

Kata-kata perangsang atau motivasi boleh ditampal di mana-mana tempat yang bersesuaian untuk merangsang anak-anak agar terus bersemangat untuk belajar.

Gambar Hiasan: Pinterest

Pembelajaran sepanjang hayat

Pembelajaran sepanjang hayat bermaksud belajar ialah tugas sepanjang hayat. Pendidikan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia berlaku sama ada secara formal atau tidak formal.

Sebagai contoh sesi formal apabila ibu bapa mengajar anak-anak membaca al-Quran, solat, ilmu akidah dan lain-lain pada waktu yang khusus seperti selepas solat Maghrib.

Contoh pembelajaran tidak formal pula ialah bagaimana seorang ayah menunjukkan kepada anak-anaknya cara berkebun atau ibu menunjukkan cara memasak di dapur.

Ada ketikanya seorang ayah atau ibu boleh belajar daripada anak-anaknya ilmu baharu yang berkaitan dengan teknologi dan sebagainya.

Gambar Hiasan: Google

Selain itu, ibu bapa boleh merancang pendidikan agama ahli keluarga secara tersusun dengan cara mendapatkan jadual kuliah di masjid dan di suray berdekatan.

Ahli keluarga juga digalakkan untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai aktiviti keilmuan seperti ceramah agama, forum, dialog, wacana dan lain-lain. Banyak program pendidikan yang berkualiti melalui siaran televisyen dan radio yang terpilih.

Ibu bapa seharusnya bijak menyusun jadual tersebut supaya masa lapang anak-anak dapat diisi dengan bijak.

Pendidikan akhlak dan adab lebih berkesan diajar melalui contoh teladan yang baik di hadapan mata anak-anak berbanding sesi syarahan atas penerangan secara formal.

Apa yang penting ialah setiap ahli keluarga sentiasa dahagakan ilmu baharu dan ini menjadikan proses pendidikan berlaku secara 24 jam di rumah. Ibu bapa juga amat digalakkan untuk mangadakan majlis ilmu di rumah seperti usrah, perbincangan ilmiah dan seumpamanya.

Modul Keluarga Mawaddah

Gambar Buku Modul Keluarga Mawaddah

Modul ini dirangka khusus untuk membantu masyarakat menyemak semula gerbang pekahwinan dan pembinaan keluarga untuk tujuan penambahbaikan.

Modul ini juga disusun berdasarkan kerangka tasawur Islam yang berpaksikan prinsip tauhid. Keistimewaan modul ini ialah persembahannya yang bersikap praktikal dan mudah serta menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh membantu sesama ahli keluarga untuk berperanan secara efisien.

Modul ini menggunakan ramuan khusus yang melibatkan pelbagai komponen bermula dengan mengenali diri, Tuhan, manusia dan alam serta hubungan antara setiap satunya.

Fokus seterusnya diberikan kepada hubungan diri dengan orang lain yang terdiri daripada empat kelompok utama iaitu keluarga, kaum kerabat, jiran dan komuniti.

Kaedah penyusunan umum modul ini bermula dengan tajuk, matlamat, objektif, dalil, kandungan, strategi dan aneka aktiviti serta latihan. Modul ini juga disusun sedemikian rupa untuk menjadi satu panduan praktikal kepada khalayak umum yang berhasrat ataupun yang telah mendirikan rumah tangga.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *