Sebelum keluar rumah, ramai dalam kalangan wanita tidak pernah ‘skip‘ memakai krim pelindung cahaya matahari di samping alat-alat kosmetik yang lain. Tidak ada sebab lain kecuali hendak memastikan penjagaan kulit lebih terjaga di samping kekal tampil segar dan berkeyakinan terutama melibatkan kerjaya.

Waktu bekerja secara normal adalah dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Sudah pasti kebanyakannya menunaikan kewajipan solat lima waktu sama ada di pejabat mahupun di surau yang telah disediakan. Pernah tak kita terfikir wajah kita sebelum mengambil wuduk telah kita cuci dengan kaedah sebetulnya atau tidak?

Sumber foto : Website Mufti

Semasa di tempat kerja terutama waktu solat, sering diperhatikan ramai dalam kalangan wanita mengambil wuduk dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memastikan kesan alat kosmetik atau alat solek yang dipakai betul-betul dibersihkan terlebih dahulu. Persoalannya lagi, sah kah wuduk tersebut?

Petikan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/55):

“Wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduk tidak sah.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abdullah bin `Amr R.Anhuma berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya: Kami pulang bersama-sama Rasulullah ﷺ dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah ﷺ bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduk’lah kamu dengan sempurna.

Riwayat al-Bukhari (161) dan Muslim (241)

Hadith seterusnya:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya: Seorang lelaki berwuduk’ dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah , lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.    

Riwayat Muslim (243)

Kedua-dua hadith di atas menunjukkan bahawa wuduk tidak sah sekiranya terdapat anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh walaupun sedikit.”

Pertamanya, setiap suatu yang menghalang air daripada sampai kepada kulit menjadikan wuduk itu tidak sah. Contohnya, kekotoran yang berada di bawah kuku, seperti sisa makanan dan tepung mengikut pendapat yang muktamad. Namun jika ia terhasil daripada peluh, maka dimaafkan.

Kedua, antara syarat sah wuduk yang lain ialah hendaklah tiada suatu pada anggota wuduk yang mengubah air yang sampai kepadanya, seperti minyak wangi dan dakwat. Ini tidak termasuk peluh sendiri dan athar (kesan) minyak wangi seperti baunya sahaja kerana kedua-dua itu kebiasaan pada manusia yang sukar dijaga. Rujuk Nail al-Raja (ms.75); Kasyifah al-Saja (ms.108)

Justeru, jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan kosmetik yang menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit, atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum basuhan wuduk. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Namun begitu dimaafkan jika kesan bahan kosmetik itu, sama ada pelembab atau krim pelindung matahari, terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.

Mufti telah menghuraikan dengan panjang lebar isu kosmetik mesra wuduk dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-88.

Diharap kita semua dapat saling mengambil cakna akan diri kita dan juga orang sekeliling terutama dalam memastikan wuduk kita sempurna sebelum meneruskan ibadah kepada Allah S.W.T.

Alhamdulillah. Jangan lupa kongsikan untuk panduan kita bersama.

Artikel ini telah disunting oleh penulis wk.com

Artikel asal:

Website Mufti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *