
Hari Arafah merupakan salah satu hari yang mulia dan berharga bagi umat Islam. Ia merupakan puncak ibadah haji di mana jutaan hamba Allah berhimpun di Padang Arafah untuk berwuquf di sana. Berwuquf di Padang Arafah merupakan Rukun Haji yang utama kerana ianya membezakan antara Haji dan Umrah. Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya daripada api neraka.
Bilakah hari Arafah?
Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.
Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.
Sabda Nabi s.a.w:
الحج عرفة
Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”
Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.
Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.
Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab.
Bagi umat Islam yang tidak berhaji, Hari Arafah juga adalah peluang emas untuk meraih rahmat dan keampunan Allah melalui puasa, doa dan ibadah yang ikhlas. Hari yang penuh keberkatan ini menjadi titian penghubung antara hamba dan penciptaNya. Ia merupakan sebuah ruang masa untuk menadah tangan memohon ampun, memperbaharui keimanan dan menyucikan jiwa.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”
(Sunan Al-Tirmizi, No. 680, Hadis Hasan)

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
[HR al-Bukhari]
Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”
Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.

Bagi umat Islam yang tidak berada di Tanah Suci, puasa dan doa pada Hari Arafah menjadi jambatan untuk turut sama meraih keampunan yang luas itu. Maka, Hari Arafah bukan milik jemaah haji sahaja, ia milik seluruh umat Muhammad SAW yang mendambakan kasih Tuhan.
Kemudian hadirnya Hari Raya Aidiladha yang disambut bukan hanya dengan takbir dan solat tetapi juga dengan ibadah korban iaitu lambang ketaatan, pengorbanan dan penyerahan. Ia mengingatkan kita pada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS yang telah membuktikan bahawa cinta kepada Allah mengatasi segalanya. Inilah hari raya yang bukan sekadar perayaan tapi satu tazkirah hidup tentang apa ertinya menjadi seorang hamba.