Zulhijjah

Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhirnya, bulan Zulhijah dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya.

Justeru, peluang berada pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tempoh masa ini dinyatakan Allah SWT dalam Al-Quran menerusi firmanNya yang bermaksud:

وَٱلۡفَجۡرِ (١) وَلَيَالٍ عَشۡرٍ۬

“Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)

Terdapat perbincangan dalam kalangan ulama mengenai makna sepuluh malam sepertimana dinyatakan pada permulaan ayat Surah Al-Fajr.

Ibn Kathir antara ulama yang merujuk makna sepuluh hari itu kepada hari pada permulaan bulan Zulhijah.

Kata Ibn Kathir dalam tafsirnya: “Yang dimaksudkan dengan ‘malam yang sepuluh’ adalah sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubair, Mujahid dan lainnya daripada kalangan ulama salaf dan khalaf.”

Dengan penjelasan mengenai kelebihan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijah, setiap umat Islam dianjurkan melakukan amalan soleh sepanjang berada pada tempoh masa sekarang ini.

Tempoh masa ini bukan bermakna kita tidak perlu melakukan ibadat pada masa lain, namun tempoh ini boleh dijadikan titik bermulanya proses mendidik diri melakukan pelbagai amal kebaikan pada masa lain.

Sumber : Freepik.com

Terdapat sebuah hadis menjelaskan keutamaan melakukan amal soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah. Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari-hari yang pada waktu itu amal soleh lebih dicintai oleh Allah melebihi sepuluh hari pertama (pada bulan Zulhijah).”

Sahabat Nabi bertanya: “Wahai Rasulullah, juga (melebihi keutamaan) jihad pada jalan Allah?” Baginda SAW bersabda: “(Ya, melebihi) jihad pada jalan Allah kecuali seorang yang keluar (berjihad pada jalan Allah) dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak ada yang kembali sedikit pun.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis itu menunjukkan ganjaran besar bagi orang yang memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari: “Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”

Sumber : FB Page Mumtaz Md Nawi Official

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Zad alMa’ad menyatakan kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijah menukilkan: “Sedangkan sepuluh hari pertama Zulhijjah lebih utama ditinjau daripada hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), Hari Arafah (9 Zulhijah) dan terdapat hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah).”

Oleh itu, ambillah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Sumber : Freepik.com

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran, sedekah, iktikaf di masjid, puasa sunat dan sebagainya.

Semua amalan itu sememangnya boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun jika dilakukan dalam tempoh sepuluh hari awal bulan Zulhijah, pasti pahalanya digandakan sesuai dengan kelebihan tempoh waktu itu seperti mana yang dijelaskan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Selain itu, antara amalan sunat yang dianjurkan Rasulullah SAW ialah puasa sunat Hari Arafah pada tanggal 9 Zulhijah iaitu sehari sebelum Aidiladha.

Sumber : Pinterest.com

Rasulullah SAW bersabda berkenaan puasa sunat Hari Arafah menerusi sabdanya: “Aku berharap kepada Allah, puasa ini menggugurkan (dosa-dosa) pada tahun yang lalu dan tahun berikutnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Artikel ini disediakan oleh Mohd Shahrizal Nasir. Merupakan seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sumber Harian Metro Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *