
Allah berfirman:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk : 2)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Kita semua tahu mati itu pasti. Tapi bila ia datang, di mana, dan bagaimana itu semuanya rahsia Allah. Kadang ada orang meninggal dunia di rumah, ada di hospital dan ada juga yang dijemput Tuhan sewaktu sedang dalam perjalanan melakukan kebaikan. Dan itulah yang baru-baru ini terjadi kepada beberapa penuntut ilmu dari sebuah universiti. Mereka bukan hanya terlibat dalam kemalangan tapi telah dijemput pulang oleh Allah dalam keadaan sedang mencari ilmu.

Peristiwa ini bukan sekadar berita duka yang cepat dilupakan. Ia adalah satu teguran lembut dari Tuhan. Bahawa hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Bahawa ilmu itu bukan urusan dunia semata-mata tapi jalan ibadah, jalan perjuangan dan juga jalan pulang ke akhirat.
Ramai orang belajar untuk mendapatkan kerja, ada yang belajar kerana mengejar cita-cita untuk penuhi impian ibu bapa. Itu semua tidak salah. Tapi di sisi Islam, menuntut ilmu adalah satu ibadah. Nabi SAW pernah bersabda bahawa yang bermaksud:
“Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga ia kembali.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Selagi kita ikhlas menuntut ilmu, setiap langkah kita, setiap penat lelah kita dan setiap hela nafas dalam perjuangan itu dikira sebagai ibadah. Maka tidak hairanlah andai ajal menjemput sewaktu kita sedang berada atas jalan ilmu itu adalah kematian yang sangat mulia bahkan ada kemungkinan termasuk dalam golongan syahid akhirat.
Bayangkan, seseorang yang pergi belajar dengan niat yang betul dengan usaha yang jujur lalu meninggal dunia dalam perjalanan ilmu itu bukan sekadar kehilangan tapi satu hadiah yang besar daripada Allah. Syahid akhirat bukan sebarang gelaran. Ia membawa harapan besar di sisi Tuhan. Jenazah mereka mungkin tidak berlumuran darah seperti para syuhada medan perang tapi pahala dan kemuliaan mereka di sisi Allah kita tidak mampu bayangkan.
Hakikatnya, kematian itu tidak kenal masa. Kita boleh jadi muda, sihat, penuh impian dan rancangan. Tapi bila tiba waktunya tidak akan terlewat sesaat pun. Allah sudah nyatakan dalam al-Quran, tiada siapa tahu di bumi mana dia akan mati. Hari ini kita hidup dengan rancang hidup sepuluh tahun lagi tapi mungkin esok nama kita dibacakan dalam solat jenazah.

Tragedi seperti ini sepatutnya menyedarkan kita betapa kita tak punya masa untuk main-main dalam hidup ini. Kita kena tanya balik diri: adakah aku belajar ini semata-mata nak lulus peperiksaan atau aku belajar ini kerana aku sedang mencari redha Tuhan? Kita kena muhasabah balik sejauh mana niat kita tulus dalam menuntut ilmu kerana kalau ilmu itu dicari kerana dunia semata kita mungkin akan hilang arah. Tapi kalau ilmu itu dicari kerana Allah, setiap langkahnya akan jadi pahala walaupun kita tak sempat habis belajar.
Bila berlaku kematian seperti ini, hati kita sayu. Tapi dalam masa yang sama, kita kena sedar Allah tak jadikan sesuatu sia-sia. Kematian mereka mengingatkan kita tentang amanah ilmu. Bahawa bukan semua orang diberi peluang menuntut ilmu. Maka kita yang masih hidup ini, yang masih diberi ruang belajar dan bernafas kena sambung perjuangan mereka. Kita sambung cita-cita mereka. Kita hidupkan semangat mereka. Kita jadikan ilmu bukan sekadar untuk lulus tapi sebagai jalan ke syurga.
Mereka sudah selesai urusan mereka. Kita pula, masih di jalan yang panjang ini. Tapi sampai bila? Kita pun tak tahu. Maka hidupkanlah niat menuntut ilmu dengan betul. Jangan bertangguh untuk jadi orang yang bermanfaat. Jangan tunggu hari esok untuk jadi pelajar yang ikhlas kerana esok itu belum tentu milik kita.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa mereka yang telah pergi. Jadikanlah kematian mereka sebagai syahid akhirat. Dan kami yang masih tinggal ini, jadikanlah ilmu kami sebagai sebab untuk kami mendekat kepada-Mu. Jangan Kau matikan kami dalam kelalaian tapi matikan kami dalam perjuangan.