Sedari atau tidak, kehadiran Islam 1400 tahun lalu, sebenarnya telah mengajar erti kemerdekaan buat wanita. Di saat zaman jahiliyah mencengkam hak asasi dan kebebasan wanita, kehadiran Islam secara tidak langsung telah memperjuangkan kemerdekaan terhadap wanita spesifiknya. Dari serendah-rendah posisi hamba, Islam mengangkat darjat para ibunda. Dari kehinaan pemuas nafsu semata-mata, wanita dimuliakan maruahnya.
Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimat, “Merdeka, merdeka, merdeka!” buat Malaysia, model kemerdekaan sebenarnya telah dahulupun digariskan oleh Islam sendiri.
Masih ingat peristiwa, pembukaan Kota Mekah?. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah bersama sahabat adalah, memusnahkan sebarang bentuk pemberhalaan dan penghambaan. Simboliknya, ini mengajar kita akan erti kemerdekaan dari pengamalan penjajahan oleh akidah yang salah. Menariknya lagi, kaum wanita dan kanak-kanak musyrikin langsung tidak dizalimi saat tentera Islam menawan Kota Cahaya itu.
Kedudukan wanita mula diiktiraf dalam Islam. Segala perjuangan dan bakti sumbangan mereka dihargai dari segenap jasa. Wanita mula dilindungi dan dipelihara. Pelbagai penetapan syariat diletakkan semata-mata untuk memelihara maruah wanita.
Ramai mentakrifkan erti kemerdekaan buat Malaysia kini dengan makna kita bebas dari cengkaman penjajah Kolonial British dan kezaliman komunis. Namun nilai yang paling besar dalam kita memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya, adalah kita menolak sebarang bentuk penghambaan kepada manusia dan konsep pemikiran yang salah. Mungkin di zaman ini, tidak terlihat secara literal kita berlawan senjata dengan musuh penjajah.
Namun, kita diancam dengan fahaman-fahaman yang melalaikan. Antaranya, budaya hedonisme yang melampau, gerakan perpecahan yang ektremis bahkan lebih parah apabila mereka mula berani mencuit sentimen agama. Khususnya, jika kita berbicara sebagai wanita dan Islam, memahami erti kemerdekaan adalah bilamana kita tidak mudah goyah dengan godaan dunia yang bersifat ekploisit dan mementingkan satu pihak sahaja.
Wanita yang merdeka, mereka sedar, dirinya bukan hamba kepada sesiapa melainkan kepada Rabbnya sahaja. Seharusnya kehambaan harus dizahirkan kepada Tuhan dalam bentuk pengamalan ibadah sahaja. Wanita ini tidak akan membiarkan mana-mana kelompok organisasi, majikan, atau persekitaran semasa mempengaruhi kepercayaan ini.
Wanita Islam yang merdeka ini sesekali tidak akan;
1) Membiarkan aurat mereka dieksploitasi oleh mana-mana syarikat atau industri pengiklanan. Mereka tidak akan membiarkan kecantikan diri mereka sebagai objek pengumpan daya tarik umum. Mereka akan terang-terangan menolak mana-mana tawaran yang membuatkan mereka harus menggadaikan maruah mereka. Mereka ini adalah wanita yang merdeka dari menjadi bahan guna orang yang berkepentingan individualistik.
2) Terpengaruh akan hiburan yang melampaui batas. Hari ini, begitu banyak aplikasi teknologi yang mendorong wanita untuk turut sama berhibur tanpa secebis malu. Makin banyak ‘likes’, makin galak mereka berhibur. Malah tanpa segan silu bergurau senda dengan lelaki, entah kenal atau tidak. Wanita yang merdeka, dia tahu harga diri mereka lebih mahal dari satu ketikan ‘likes’ dan mereka berusaha untuk tidak menjadi bualan umum yang memalukan.
3) Terdedah dari menganut fahaman yang bercanggah dengan akidah ahli Sunnah. Wanita yang merdeka, mereka akan berusaha menimba ilmu yang benar sebanyak mungkin. Kelak mereka tahu cara memelihara kerangka pemikiran Islam mereka. Wanita sebegini tahu bahawa mereka adalah hamba Allah yang berusaha menjaga dan mengamalkan aturan perintah Allah tanpa ragu. Mereka akan berusaha menepis sebarang dakyah pemesongan barat yang menyesatkan.
Sedarilah wahai wanita, jangan mempersia-siakan perjuangan dan syariat Islam yang diperturunkan untuk kita. Mulianya kita kerana Islam, maka peliharalah dan jagalah diri kalian.
Kemerdekaan yang hakiki adalah tatkala kita mula menapak di syurgawi.
Salam Kemerdekaan dari Akademi Balqis.
30 Ogos 2021 | 22 Muharram 1444h