Mertua Vs Menantu

Firman Allah dalam Surah al-Israa ayat 23 hingga 24 yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Al-Isra’ ayat 23 dan 24
Gambar Hiasan : Google


Topik mertua versus menantu merupakan isu yang tidak kurang popularnya terutama dalam kalangan masyarakat kita. Bila sebut mertua, adakah mereka ini sama taraf dengan ibu dan bapa kita?  Dalam ayat di atas 2 perkara penting yang perlu diambil peringatan antaranya:

  1. Dengan kedua-dua ibu bapa kita hendaklah buat ehsan. Tanggungjawab mertua dikiaskan sebagaimana hubungan sebagaimana anak dengan ibu bapa.
  2. Hubungan ini berlaku kerana berlakunya sebuah percantuman keluarga dipanggil perkahwinan. Apabila berkahwin, automatik kita menantu dengan mertua sampai bila-bila seumpama ibu bapa kita. Sebagai contoh, kita tidak boleh mengahwini mereka meskipun kita bercerai dengan pasangan kita.
Gambar Hiasan : Google

Cuma ada sedikit limitasi, kita buat atas ehsan, menghormati dan menyayangi mereka. Dari sudut suami, apabila mengahwini seorang wanita, hal ini dengan sendirinya dia akan mengambil alih tanggungjawab seorang anak perempuan terhadap ibu bapanya. Terutama andai mertua itu termasuk dalam kategori faqir sangatlah penting adanya konsep ehsan.

Bagaimana sekiranya menantu tersebut bukan pilihan mertua dan apakah kaedah terbaik dalam islam untuk menangani masalah ini.

Hubungan manusia dengan manusia memang tidak akan lari daripada konflik dan masalah.

  1. Pertama, kaedah yang boleh digunakan adalah jangan lupa sentiasa berdoa. Sebagai contoh doa pembuka hati, penerang hati, penambah kasih sayang dan terpulang. Ada satu tips dari orang lama, sekiranya bertemu orang yang tidak sukakan kita, terus baca al-Fatihah.
  2. Kedua, bersederhana dalam pergaulan dan penampilan. Tidak perlu menunjuk-nunjuk dan jadilah diri kita dan bersederhana. Hal ini pernah ada satu kes apabila masuk dalam keluarga baru, menantu dengan mertua bersaing untuk merebut perhatian si anak dan suami.
  3. Wajib menghormati dan menganggap mereka (Mertua) sebagai orang tua kita.
  4. Fokus pada persamaan, tidak pada perbezaan. Cari minat dan kesukaan mertua.
  5. Cari kaedah dan ilmu untuk belajar mesra.

Apakah ciri-ciri yang patut ada dalam diri mertua yang baik.

  1. Perlu diingat apabila dapat menantu, ibu kerjanya adalah mendidik bukan mengecam terus sekiranya adanya kesilapan yang telah dibuat. Mendidik dan bagilah peluang kepada menantu untuk terus memperbaiki dari semasa ke semasa mengikut kemampuan.
  2. Terimalah keadaan menantu kita dengan seadanya.
  3. Gunalah kuasa ibu dan bapa iaitu doa. Kalau boleh carilah tempat mustajab berdoa supaya anak menantu kita murah rezeki, hidup berkat, memperoleh pekerjaan yang baik.
  4. Kalau boleh jangan pilih kasih. Jangan banding-bandingkan.
  5. Kurangkan perbezaan. Cari jalan bagaimana mahu mencari persefahaman. Biasalah, lain bangsa, tempat ataupun negara, lain pula gaya hidup.
Gambar Hiasan : Google

Jadi, menantu kena banyak belajar. Manakala, mertua kena banyak mendidik. Mertua kena bawa watak menunjukkan kita sudah berumur dan lebih matang.

Memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu ditanam dalam diri setiap orang muslim. Banyak dalil dalam al-Quran mahupun hadis tentang memaafkan kesalahan orang lain yang dapat menjadi pedoman bagi orang islam.

Rasulullah SAW telah banyak mendorong setiap muslim untuk bersikap pemaaf pada orang lain melalui contoh perbuatannya semasa hidup. Dikisahkan daripada isteri Rasulullah SAW, Aisyah r.a pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW.

Maka dia menjawab, baginda tidak pernah berbuat jahat, berbuat keji, meludah di tempat keramaian dan tidak membalas kejelekan dengan kejelekan. Melainkan, baginda selalu memaafkan dan memaklumi kesalahan orang lain.  (Hadis Riwayat Ibnu Hibban).

Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah SWT dan RasulNya, kita digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.  (Surah An-Nur: 22)

Selain buang sifat ego masing-masing, kita harus berlapang dada untuk memaafkan.

Dalam satu sabda nabi SAW yang bermaksud:

‘Barang siapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya. Apakah dia berada di tempat yang benar atau yang salah apabila tidak melakukan hal itu (Memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaKu di akhirat kelak.  (Hadis Riwayat al-Hakim)

Memaafkan memang sangat sukar dilakukan biasanya apabila seseorang itu dizalimi dan disakiti. Pasti dia mahu membalasnya. Tidak ada yang boleh melakukan kemaafan kecuali mereka yang mempunyai kemaafan yang tinggi. Oleh itu jangan kita mengabaikan sifat memaafkan ini.

Ulamak mengatakan perkara yang paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia iaitu memaafkan.

Kadang-kadang dalam suasana keluarga, ada dapat mertua yang suka mengarah dan mengatur. Apa perlu dibuat

  1. Pertama, menantu perlu belajar mendidik keluarga suami atau isterinya. Masalah ini jika kita letak sekaligus, ia sukar untuk diselesaikan. Kita perlu kenal pasti punca mertua kita berperwatakan sedemikian terhadap kita.  Mungkin ada dalam kesilapan kita juga.
  2. Beli jiwa hati ibu dan ayah. Tidak semestinya dengan barangan mewah. Boleh jadi, dengan menjadi pendengar yang setia dan lain-lain.
  3. Kita jangan overthinking. Jangan terlalu fikir sehingga terbawa-bawa. Kita mesti simplify the thing. Kena bertenang.
  4. Kena pandai berkomunikasi terutama dengan mertua.
  5. Tunjukkan akhlak yang baik. Kita jangan jadi punca orang marah. Jangan ada salah sangka terhadap mertua.

Kesimpulannya,

Gambar Hiasan : Google
  1. Ilmu ini ada banyak dalam buku tetapi tidak semua.
  2. Ilmu juga boleh berkembang bersama dengan umur dan pengalaman.
  3. Wajib berguru dengan orang lama.
  4. Jaga sensitiviti mertua sebagaimana kita dengan orang tua kita. Explore and experiment. Tolong peka kepada benda-benda kecil.
  5. Jangan lupa ringan tulang.
  6. Bila bersama dengan mertua, pastikan ada limitasi. Jangan masuk campur sekiranya hal sensitif.

Semoga sedikit sebanyak bermanfaat. Jangan lupa kongsikan artikel.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *