Keberkatan Idul Fitri

Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali persaudaraan, solatlah di malam hari ketika manusia tidur, nescaya kalian masuk syurga dengan selamat.

(HR Ibnu Majah).

Ramadan pergi tanpa sempat kita mengucapkan selamat tinggal. Terkejut dan pelbagai rasa menyelubungi diri. Air mata menitis tanpa dipinta dek kerana Ramadan pergi dengan tiba-tiba seolah-olah meninggalkan kita.

Manakala, hadirnya Syawal juga begitu mengejutkan sehingga sebahagian daripada kita tidak sempat membuat sebarang persiapan. Tetapi, apa yang kita lebih takut adalah bila mana kita dijemput bertemu dengan Allah S.W.T dengan mengejut tanpa sempat kita membuat persiapan untuk menghadapinya.

Keberkatan Aidilfitri, silaturahim dirai.

Bila kita sebut keberkatan, hal ini akan bermula dengan keampunan dari Allah S.W.T.  Perkataan Aidilfitri juga merupakan tanda kita kembali kepada fitrah. Ini bertepatan dengan intipati madrasah ramadan yang merupakan bulan penyucian jiwa dan diri seseorang itu.

Di saat kita memperoleh keampunan dari Allah S.W.T, maka dari situlah kita mendapat keberkatan. Rasulullah S.A.W pernah menyebut betapa ruginya mereka yang melalui bulan Ramadan pada permulaan sehingga akhir, mereka ini tidak mendapat keampunan dari Allah S.W.T.

Gambar Hiasan : Pinterest

Dalam masa yang sama, madrasah Ramadan ini telah mendidik kita ke arah insan yang sentiasa berjuang mengawal hawa nafsu yang sentiasa meruntun. Meruntun di sini merujuk kepada kehendak yang melampaui batas, serta boleh mengawal diri dengan baik demi mencapai redha Allah S.W.T.

Hasilnya di hujung Ramadan, kita berjaya dengan kembali kepada fitrah umpama kain putih yang bersih dan suci. Maksudnya, ibarat bayi yang baru lahir yang tidak tercemar dengan dosa.

Keyakinan untuk Istiqamah berterusan sebagai hamba Allah, bukan hamba Ramadan.

Perlu diingat, setiap amalan yang kita lakukan adalah hanya semata-mata mahu mendapatkan keredhaan Allah Azzawajalla. Fikirkan dan cuba buat setiap amalan dan ibadah secara konsisten sama seperti kita berusaha untuk jaga di bulan Ramadan. Jangan anggap Ramadan lain, Syawal lain dan sewaktu dengannya sampailah bila tiba giliran kita dijemput oleh Allah S.W.T.

Taat kepada Allah S.W.T ini macam mana? Taat ini sebagaimana tuntutan syariat melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas kecaknaan masyarakat kerana sentiasa peka dan sensitif dengan hal semasa apabila baru-baru ini beberapa pengasas kosmetik telah memuat naik satu video yang amat memualkan seolah-olah mengangkat golongan LGBT. Istidraj sangat kita takuti apabila nikmat dan harta menyebabkan diri makin jauh dengan Allah.

Gambar : Pinterest

Padahal, Allah telah menguji kita dengan Covid-19, banjir besar, dan banyak lagi. Namun, masih lagi ada manusia yang mahu mencabar kuasa Allah S.W.T. Sesungguhnya rugilah golongan-golongan sebegini yang kita sangat khuatir jika Allah ingin timpakan azab dan musibah, bukan setakat mereka yang kena, tetapi keseluruhan yang akan menerima tempias. Nauzubillah.

Ini Aidilfitri, hari kemenangan bagi umat Islam.

Walaupun Ramadan telah pergi, masuknya bulan Syawal kita dianjurkan untuk gembira dan bersyukur kepada Allah S.W.T sebagai tanda kita meraikan kemenangan dan kejayaan setelah mengharungi pelbagai ujian serta cabaran.

Aidilfitri ibarat hasil keuntungan yang diperoleh kepada pelaburnya. Maknanya, amalan kita sebagai modal, keuntungan kita peroleh setelah itu. Apakah keuntungan itu, hasil kita dapat istiqamah dalam beramal sepanjang kita berada dalam bulan Ramadan.

Aidilfitri hari yang istimewa sehingga Rasulullah sebut pakailah pakaian yang cantik walaupun tidak mahal dan disukai sebagai simbolik semangat untuk menyambut kemenangan kita di dalam bulan Syawal. Hakikatnya Aidilfitri sememangnya, hari yang sangat istimewa bagi semua umat islam tidak kira tua, muda, miskin atau kaya, lelaki ataupun perempuan mestilah ada keseronokan dalam meraikan perayaan itu.

Gambar Hiasan : Google

Syarat Do’s dan Don’t dalam islam dalam menyambut kemenangan di Aidilfitri.

Bukan sahaja bulan Ramadan ujiannya besar, tetapi Syawal juga. Meskipun seronok beraya harus diingat perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam islam. Antaranya, bila masuk waktu solat, segerakan tunaikan solat. Contohnya, apabila terlalu sibuk melayan tetamu di saat membuat rumah, ibadat wajib adalah wajib dan perlu diutamakan.

Jauhkan diri kita daripada perkara maksiat seperti pergaulan bebas diantara yang bukan muhrim/mahram, hiburan yang keterlaluan sehingga melalaikan, juadah dan sebagainya. Ada yang bertandang bergosip, membawang, mengunyit bercerita sakan seolah Ramadan yang lepas tidak memberi kesan.

Jika rumah padat, usahakan menginap berasingan bagi menjaga aurat anak dan isteri serta hendak menjaga batas pergaulan.

Gambar Hiasan : Google

Selain itu, juadah hendaklah sederhana untuk elakkan pembaziran.

Sebab itu, jadilah kamu hamba Allah, bukannya hamba Ramadan. Bila mana kita menjadi hamba Allah, kita akan istiqamah dalam beribadah. Jadikan Syawal bulan terbaik untuk meningkatkan kualiti amal kebaikan dan ibadah kita. Kata ulamak lagi, jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua. Walaupun pada pandangan manusia, ia kelihatan remeh, namun tidak pada pandangan Allah S.W.T.

Silaturahim dirai dengan menjaga adab sebagai tetamu dan apabila menerima tetamu.

Akhlak yang terbaik yang ditonjolkan tidak lain dan tidak bukan ditunjukkan oleh peribadi Rasulullah S.A.W. Akhlak dan perwatakan yang baik ini adalah suatu latihan yang perlu dilakukan sedikit demi sedikit kerana tidak semua orang mampu melakukannya sekaligus. Ia perlu dipupuk dengan ilmu dan diamalkan termasuk perbuatan seharian kita.

Adab dan akhlak yang ingin ditekankan di sini terutama sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung atau mahu menziarahi rakan-rakan dan ahli keluarga. Kita semua maklum keadaan suasana di jalan raya yang sesak yang amat menguji para pengguna. Ramai yang berjaya mengharunginya dengan baik dan ada lagi yang tidak berjaya seperti hilang sabar, memaki hamun, bergaduh dan sebagainya. Moga Allah pelihara lisan kita.

Di sini, islam mengajar kita dua perkara yang kita perlu jaga, hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Bukan sahaja kita hendak beramal kepada Allah S.W.T, tetapi kita juga perlu menjaga hubungan baik kita dengan manusia yang lain.

Silaturahim dirai dengan saling mengunjung, kita juga perlu menjaga lisan kita untuk tidak mengguris perasaan tetamu dan tuan rumah. Contoh, isu baju raya, dan sebagainya. Berhati-hatilah dan jadilah hamba Allah yang ada common sense.

Tutuplah mata kamu. Tutuplah mulut kamu. Jadilah buta, pekak dan bisu. Akhlak sangat penting dalam kehidupan seorang muslim. Kalau kita tidak buat dan tidak menjaga perkara-perkara sebegini, maka akhirnya hilanglah keberkatan dalam Syawal kita.

Gambar Hiasan : Google

Di samping itu, kita ada bawa anak-anak beraya. Masa ini nasihatilah anak-anak untuk tidak check jumlah duit raya yang diperoleh di depan pemberi. Ajar anak untuk tidak buka sampul depan orang dan menjadi tugas kita sebagai ibu bapa untuk mengingatkan mereka. Selain itu, ajar anak adab datang ke rumah orang seperti tidak berlari-lari sehingga mengakibatkan kerosakan barang tuan rumah.

Dalam hadis Rasulullah ada menyebut berkenaan peranan tuan rumah yang bermaksud,

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya :” Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”

Riwayat Al-Bukhari (6136)

Manakala tetamu juga ada peranannya

Antara adab tersebut ialah :

  • Makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman kepadanya.
  • Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  • Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah berkaitan siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
  • Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
  • Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW ketika mana Baginda bertandang rumah Ubadah Bin Somit. Lalu Ubadah membawakan Baginda sepotong roti dan minyak minyak zaitun untuk menjamu Baginda. Lantas Baginda SAW mendoakan :

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ

 Maksudnya :” Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian.”

Riwayat Abu Daud (3854)

Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk. Nabi SAW pernah memperingatkan kita tentang perkara ini. Sabda Nabi SAW :

منْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتُهُ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ فَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَثْوِيَ عِنْدَهُ حَتَّى يُحْرِجَهُ

 Maksudnya :” Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan  adalah selama sehari dan semalam.Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (6135)

Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang. Namun jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan maka dibenarkan. Ini adalah berdasarkan hadis :

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya :” Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.”

Riwayat Muslim (4867) & Al-Tirmizi (1345)

Kesimpulannya, melayan dan menyambut tetamu yang datang rumah adalah merupakan akhlak yang mulia dan satu amalan yang sangat dianjurkan oleh Islam.Tuan rumah juga mempunyai hak untuk menghadkan waktu ziarah ke rumahnya. Ini adalah kerana tuan rumah mempunyai hak privasi dan juga hak untuk berehat bersama keluarga tanpa diganggu oleh sesiapapun. Bagi yang datang bertandang, hormatilah hak tuan rumah dengan datang pada waktu yang sesuai melainkan jika ada kecemasan atau ingin meminta bantuan maka pada keadaan seperti itu dibenarkan dengan sekadarnya. Patuhilah adab-adab yang telah disebutkan.

Maknanya, masing-masing ada peranan dalam menjaga tali silaturrahim dalam menjaga keberkatan dan kemeriahan aidilfitri.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *