Menunaikan haji adalah panggilan istimewa bagi setiap Muslim. Mengerjakan ibadah haji dalam tempoh menyusukan bayi memerlukan perancangan yang teliti untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi. Kaedah Expressed Breast Milk (EBM) diperkenalkan bagi jemaah wanita yang tidak membawa bayinya bersama ketika menunaikan haji.
Apa itu Expressed Breast Milk(EBM)?
Expressed breast milk (EBM) merupakan satu kaedah atau proses bagi menyimpan susu ibu agar bertahan lebih lama. Menyusu anak tidak semestinya dengan kaedah secara langsung dari puting ibunya. Namun sebaliknya, kaedah EBM digunakan iaitu dengan dengan cara mengepam susu terlebih dahulu dalam botol atau bekas yang telah disterilkan dan dibekukan didalam peti sejuk beku. Susu yang dibekukan dapat bertahan sehingga 4 bulan.
Berikut adalah beberapa cabaran, panduan dan saranan persiapan sebelum berangkat dan semasa mengerjakan haji bagi ibu yang sedang menyusu yang dijemput samada membawa bayinya atau tidak ketika menunaikan haji.
Cabaran ketika berangkat dan menunaikan haji
- Peti sejuk yang terhad
Sepanjang mengerjakan semua wajib haji atau rukun haji, tidak semua tempat menyediakan peti sejuk. Malah ketika berada dalam penerbangan dari Malaysia ke Mekkah, pihak penerbangan tidak membenarkan penumpang meletakkan susu dlaam peti airline.
2. Cuaca panas
Cuaca panas yang mencecah sehingga 45 darjah celcius dapat membuatkan susu cepat rosak tanpa penyimpanan yang betul. Air batu juga mencair dengan drastik akibat cuaca panas.
3. Susu cepat rosak
Perjalanan yang jauh memakan masa yang lama boleh mengakibatkan susu rosak terutamanya ketika perjalanan dari Mina ke Mudzalifah yang sejauh 6.9KM dan perjalanan dari muzdalifah ke Arafah yang sejauh 8KM.
Persiapan Sebelum Berangkat
- Konsultasi Doktor
Beruding dengan doktor terlebih dahulu mengenai kesihatan si ibu dan bayi supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Dapatkan juga nasihat doktor tentang cara yang terbaik untuk menyusukan bayi semasa mengerjakan haji bagi yang membawa bayi bersama.
2. Stok susu
Sekiranya bayi tidak dibawa bersama, maka mulalah proses memerah dan menyimpan stok susu mengikut kaedah EBM beberapa hari sebelum berangkat. Pastikan orang yang akan menjaga bayi telah didedahkan dan memahami cara penyimpanan stok susu dengan betul. Penjaga bayi juga perlu diberi maklum tentang cara memberikan susu perahan dengan betul mengikut isipadu yang ditetapkan nbagi mengelakkan perut bayi kembung.
3. Peralatan menyusu
Bawa pam susu yang sesuai dengan keperluan, pilih pam yang ringan dan mudah digunakan. Pastikan anda mempunyai bekas penyimpanan susu yang telah disterilkan dan selamat untuk digunakan. Jika anda membawa bayi ketika menunaikan haji, pastikan anda membawa kelengkapan seperti nursing cover untuk menyusukan bayi dengan selesa.
4. Bekalan makanan dan minuman
Bekalan makanan dan minuman untuk si ibu juga penting. Bawalah makanan ringan dan minuman yang boleh membantu mengekalkan tenaga dan hidrasi si ibu. Pastikan anda membawa makanan yang berkhasiat yang mudah dibawa seperti biskut bijirin yang dapat memberi tenaga kepada si ibu.
Semasa Menunaikan Haji
- Penyusuan langsung atau pam
Jika si ibu membawa anaknya bersama ketika menunaikan haji, susukan bayi secara langsung dan pastikan menggunakan nursing cover ketika menyusukan anak bagi menggelakkan aurat terdedah. Bagi bayi yang ditinggalkan di rumah, pam susu seperti biasa ,mengikut jadual biasa untuk mengekalkan pengeluaran susu dan mengelakkan bengkak susu.
2. Menjaga kesihatan
Kesihatan ibu juga amat penting, minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi terutama dalam cuaca panas di Mekkah. Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang ketika mengerjakan haji untuk mengekalkan tenaga.
3. Jaga kebersihan
Pastikan kebersihan diri dan peralatan menyusu bagi mengelakkan jangkitan Peralatan menyusu disterilkan mengikut cara yang betul mengikut prosedur menyediaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM). Gunakan tisu basah anti-bekteria atau cecair pembasmi kuman untuk membersih tangan sebelum menyusukan bayi atau mengendalikan pam.
Lantaran dari cabaran yang bakal dihadapi, pelbagai cara boleh digunakan bagi mengelakkan susu cepat rosak. Antara tips yang boleh digunakan seperti yang tertera;
Tips mengekalkan suhu susu sentiasa sejuk
- Bawa ice box
Bawa ice box yang senang untuk dibawa kemana mengikut kesesuaian. Seeloknya ice box dibalutkan pada bahagian bawah menggunakan aluminium foil.
2. Letak air batu dalam ice box
Selain air batu, dry ice atau ice gel juga bolehdigunakan bagi menggantikan air batu. Jika menggunakan air batu, taburkan garam pada permukaan air batu supaya dapat melambatkan air batu cair. Sekiranya air batu cair , boleh minta pada pihak Mashariq yang berada di sana.
3. Letak EBM dalam peti sejuk
Semasa mengerjakan haji, ada tempat yang menyediakan peti sejuk 2 pintu. Sebelum berangkat ke Mina, disarankan menyimpan susu dalam peti sejuk bagi mengelakkan susu rosak.
4. Kirim susu untuk dibawa pulang
Jika anda mengenali seorang yang ingin pulang ke tanah air, kirim susu untuk dibawa pulang supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Pastikan ada ahli keluarga yang menunggu di lapangan terbang untuk mengambil stok EBM.
Doa dan ketabahan
Berdoalah kepada Allah SWT agar segala urusan haji dan urusan penyusuan bayi dipermudahkan. Tetap tabah dan sabar dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan yang mungkin akan timbul ketika berada di Tanah Suci.
Semoga perjalanan haji si ibu diberkati dan diterima oleh Allah SWT. Diharapkan juga bayi anda terus mendapat nutrisi yang diperlukan tanpa sebarang masalah.