Copy Of Try

“Encik, isteri encik mengalami denggi berdarah.  Denggi berdarah ni bahaya dan ia memerlukan rawatan serta pemerhatian rapi di wad.”

Encik Adam diam seketika kemudian berkata, “Doktor, saya tidak benarkan isteri dimasukkan ke wad.  Saya mahu dia balik dan mengambil ubatan di rumah sahaja”

Doktor memandang si isteri yang kelihatan sangat letih kerana sudah demam panas beberapa hari.

“Puan sendiri macam mana? “

Puan Midah memandang doktor dengan mata yang kuyu sambil berkata perlahan, “Saya balik sahajalah doktor”

“Adakah Puan sendiri mahu balik atau kerana ikut kehendak suami yang  mahu Puan balik?”

“Saya ikut suami sahaja doktor”

Dr Mira sudah mulai menyirap darahnya melihat situasi berkenaan berpaling semula ke arah si suami, “Encik, keadaan isteri encik tidak sesuai dirawat di rumah kerana kelengkapan rawatan semua ada di hospital.  Apa sebab sebenar Encik tidak mahu isteri masuk wad?”

“Doktor, nanti anak-anak kat rumah tiada orang nak uruskan.  Isteri saya suri rumah sepenuh masa, jadi dialah yang bertanggungjawab uruskan rumah dan anak-anak.  Saya perlu keluar berkerja”

“Encik, kalau itu sebabnya, encik perlu beri ruang isteri dirawat sebaik mungkin kerana apabila isteri kembali sihat, dia mampu menguruskan rumahtangga dan anak-anak ke tahap terbaik.  Penyakit yang dialami isteri encik ni merbahayakan nyawanya.  Kalau dia tidak mendapat rawatan yang mencukupi kemudian meninggal, encik akan lebih susah untuk menguruskan anak-anak nanti.”

“Saya mahu isteri saya balik rumah juga”

Melihat usahanya memujuk tidak berhasil, Dr Mira berkata, “Berkenaan urusan anak-anak di rumah, Encik selaku bapa boleh minta bantuan keluarga terdekat terlebih dahulu atau Encik ambil cuti untuk sementara waktu.  Tidak wajar seorang suami pentingkan diri serta membiarkan kesihatan isteri merosot tanpa diberi rawatan terbaik”

Dr Mira terus menandatangani surat supaya pesakit dimasukkan ke wad.

Wanita Celik Hak Diri

Pengalaman Dr Mira merupakan salah satu kisah masyarakat yang hakikatnya masih banyak berlaku di Kelantan dan Malaysia amnya. Masih ramai para isteri yang tidak mengetahui haknya membuat keputusan untuk menerima rawatan perubatan sesuai dengan keperluan dirinya.  Ada kes isteri sakit dibiarkan tidak dirawat yang sampai ke tahap hilangnya nyawa dek mentaati suami secara membabi-buta.  Sedangkan hukum mendapat rawatan adalah wajib kerana menepati salah satu objektif syarak (maqasid syariah) iaitu menjaga nyawa.

Disebabkan kes-kes seperti ini, maka kerajaan negeri Kelantan telah membuat semakan Dasar Wanita Kelantan dan mengemas kini dasar dengan memperincikan hak, tanggungjawab dan peranan wanita menurut Islam yang syumul sifatnya.  Dasar yang siap semakannya pada tahun 2020 ini dinamakan Dasar Wanita Solehah Kelantan (DWSK).

Kembali kepada contoh kes di atas, dalam Bab Kesihatan DWSK menyatakan,

Poin 12.6 secara jelas menyatakan,

Wanita berhak mendapat maklumat mengenai tahap kesihatan mereka dan membuat keputusan berkaitan

Mentaati sesama makhluk ada batasnya

Isteri perlu memahami skop ketaatan terhadap suami dan skop perkara yang dia boleh putuskan sendiri tanpa perlu kepada izin suami.  Hak-hak ini diberikan oleh Allah SWT sendiri bagi melindungi kebajikan wanita daripada penindasan dan layanan yang tidak adil oleh suaminya.  Kuasa manusia  ke atas sesama manusia tidak bersifat mutlak dan ada batasnya. 

Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah SWT

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

“Tiada taat dalam (perkara) maksiat. Sesungguhnya (kewajipan) taat (hanya) pada (perkara) kebaikan” Hadis Sahih Bukhari: 7257

Dalam kes Encik Adam tidak membenarkan isteri dirawat di hospital sedangkan kondisi Puan Midah sangat memerlukannya, sekiranya Puan Midah memahami dan mengetahui haknya untuk menerima rawatan, Puan Midah akan berkata kepada Dr Mira, “Saya mahu masuk wad doktor supaya saya dapat kembali sihat dan balik semula kepada suami dan anak-anak dalam keadaan lebih cergas dan bertenaga”

Tentang pengurusan anak-anak yang ditinggalkan sementara, Puan Midah hanya perlu memberi cadangan siapa yang boleh diminta tolong dan serahkan sahaja kepada suaminya untuk menyelesaikannya di samping berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan. 

Suami yang memahami hak isteri,  cakna dengan kebajikan isteri serta bertanggungjawab pula akan berkata, “Baiklah Doktor.  Buatlah apa yang terbaik untuk isteri saya.  Pandailah saya uruskan hal penjagaan anak-anak nanti”.

Takutlah kepada Allah swt dalam mengurus ahli keluarga

Sifat taqwa kepada Allah SWT dalam mentadbir urusan ahli keluarga akan meraih perhatian serta pertolongan Allah SWT tanpa disangka.  Cuba berlapang dada dengan apa jua situasi dan mohon pertolongan Allah SWT sentiasa.  Insyaa-Allah jalan keluar pasti ada.

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)         (At-Talaaq 65:2)   

Ummu Abbas

17 Zulhijjah1445H/24 Jun 2024

Artikel ini disediakan oleh Ummu Abbas. Pautan asal boleh didapati di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *