Copy Of Try (1)

Satu hal yang menarik untuk dikongsi bersama ialah mengenai kejayaan adik Mohammad Syahril yang mendapat keputusan cemerlang SPM yang diumumkan pada baru-baru ini.

Sumber: Marliana Othman

Kisah Muhammad Syahril Saidi, 18, mendapat perhatian banyak pihak kerana pengorbanannya yang menjaga ibunya yang sakit ditambah lagi beliau merupakan anak yatim dan bukanlah daripada keluarga yang senang. Beliau yang mengambil alih tugas arwah bapanya sebelum ini dalam menjaga ibunya telah membawa keberkatan dan kejayaan dalam hidupnya apabila berjaya memperoleh keputusan 11A SPM. Baru-baru ini, ibunya telah meninggal dunia dua hari selepas keputusan SPM dikeluarkan dan beliau redha dengan pemergian ibunya.

Sumber: Smu A Darul Iman

Bagi menghargai kecemerlangan, ketokohan, dan kecekalan Mohammad Syahril, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Cemerlang 2023 pada Majlis Pelancaran Dasar Anak Yatim Islah dan Dasar Oku Muqarrabun yang diadakan pada 20 Jun yang lepas, yang dirasmikan oleh YB Dato’ Hajah Mumtaz. Selain itu, seramai 42 orang pelajar anak-anak yatim dan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendapat keputusan cemerlang SPM juga turut mendapat sumbangan dalam majlis tersebut.

Berkat kesungguhan dan ketekunannya dalam pelajaran serta menjaga ibunya sehingga menghasilkan kejayaan yang besar, beliau telah mendapat banyak tawaran dan bantuan daripada pelbagai pihak terutamannya daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Kerajaan Negeri telah berbesar hati akan menanggung segala kos pengajian adik Syahril sekiranya beliau berhasrat untuk menyambung pengajian selepas ini.

Sumber: Marliana Othman

Ketaatan yang tinggi adik Syahril terhadap kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang perlu dicontohi oleh kita semua. Berapa ramai yang menganggap ibu bapa yang telah uzur sebagai satu kesusahan dalam kehidupan kita. Padahal mereka sebenarnya adalah aset yang sangat berharga. Menjaga ibu bapa yang telah uzur, bersabar dalam melayani kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya”.

(hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim)

Sumber: Google

Ketaatan terhadap ibu bapa adalah perantaraan amalan kita dalam memohon pertolongan daripada Allah. Ingatlah, kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga ibu bapa kita sebenarnya adalah hadiah berupa sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun, sekiranya kita mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, kegagalan dan keresahan.

Semoga kejayaan dan keperibadian adik Mohammad Syahril dapat menjadi contoh dan tauladan kepada anak-anak muda sekarang. Kejayaan seseorang bukanlah terletak pada pendidikan semata-mata tetapi kejayaan yang sebenar adalah seiring dengan akhlak yang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *