Wanita Pemberani – Made With PosterMyWall

Isteri ini umpama sayap kiri dalam rumah tangga. Sejarah islam telah membuktikan bahawa wanita bukan sekadar suri rumah tetapi sebagai pendokong suami yang berada di medan ataupun suami yang bekerja. Sebagaimana sirah nabi, Sayyidatina Khadijah r.a menunjukkan contoh tauladan sebagai isteri yang terbaik, berani bersama dengan Rasulullah S.A.W sehingga di saat sebelum kewafatannya (seluruh hartanya diinfakkan untuk islam). Beliau juga berkata kepada Rasulullah agar diambil tulang belulangnya untuk dibuat anak panah ataupun busur demi Islam. Jadi, wanita pemberani menurut kaca mata islam ialah berani, mentaati suami, dan bekerja mengikut syariat Allah S.W.T.

Wanita ada kekangan masing-masing. Tidak ada guna jika hanya hebat, tetapi tidak taat kepada suami dan Allah S.W.T. Kemudian, wanita ini selagi mana ada ibu bapa lalu taat kepada mereka, Allah dan Rasul, Insya Allah syurga buatnya. Kalau sebagai seorang isteri, dia taat kepada suami, beribadat kepada Allah S.W.T, Insya Allah syurga juga buatnya.

Wanita pemberani juga harus tampil dalam apa jua bidang kerana jika mereka tidak tampil, kita khuatir akan diisi oleh mereka yang tidak sepatutnya. Kemudian, wanita harus berani seiring dengan ilmu di dada dan mengikut acuan Islam. Selain itu, analoginya kalau dahulu musuh berada di luar, jadi tidak mengapa jika wanita tidak menonjol. Malang sekali sekarang ini, musuh telah pun berjaya menembusi negara kita terutama melalui media sosial dan sebagainya. Maka, wanita mengikut acuan Islam perlu tampil di medan media sosial juga demi menyekat anasir luar dari terus merosakkan anak bangsa.

Sumber: freepick.com

Sebenarnya apakah konsep wanita pemberani yang mesti difahami?

Berani di sini berkatalah benar walaupun pahit dengan kaedah yang terbaik. Ada pepatah orang melayu, ‘Jangan disangka tangan yang menghayung buaian tidak boleh menggoncang dunia’. Wanita sangat dikaitkan dengan lemah-lembut. Rasulullah S.A.W berpesan, wahai wanita, kamu kena bertaqwa dan lemah-lembut. Sifat lemah-lembut boleh jadi benda yang baik. Tetapi, sifat lemah-lembut ini juga boleh jadi benda buruk kepada wanita.

Mukmin lelaki dan mukmin perempuan perlu menjadi pemimpin antara satu sama lain. Kedua-duanya perlu membuat amar ma’ruf nahi mungkar. Wanita harus ke depan dan berani dalam menegakkan hak-hak wanita dan kekeluargaan sebab orang lelaki kadang-kadang mereka tidak faham isu melibatkan wanita. Jadi, wanitalah yang harus menyatakan pendirian.

Di Kelantan diwujudkan ‘Gagasan Wanita Kelantan Solehah ’(2016-2030). Konteks wanita pemberani di Kelantan adalah :

  1. Wanita mukminah. Kalau dalam konteks wanita bukan islam, mereka percaya kepada tuhan dan ikut rukun negara kita.
  2. Wanita bijaksana.
  3. Wanita dinamik.
  4. Wanita cakna.
  5. Wanita sakinah. Maksudnya wanita yang seimbang dari segi emosi, fizikal, spiritual dan juga akal.

Pesanan buat millenia masa kini.

  • Ilmu. Duhai wanita, penuhilah dada kalian dengan Ilmu yang disertai dengan amal. Jadi, jika kita tidak faham dengan ilmu asas, kita akan keliru dan kucar-kacir. Kalau hendak masuk IPT, pastikan jelas antara falsafah islam dan barat.

  • Kemahiran. Kemahiran untuk memastikan diri menjadi manusia yang berguna di atas muka bumi ini dan melalui teknologi dapat memudahkan diri buat kerja islam dan bermanfaat untuk ummah.

  • Bergaul dengan masyarakat. Setinggi mana pun ilmu jika awak tidak boleh apply dalam masyarakat, tidak berguna. Cabaran kita yang terbesar adalah memastikan masyarakat dapat faham sebagaimana yang kita faham.

Apa cara yang sewajarnya golongan millenia perlu lakukan di dalam zaman yang penuh cabaran ini sebagai pedoman?

  • Ilmu filtering atau ilmu menapis sumber. Siapa yang harus di rujuk, apakah keutamaan dan banyak perkara yang perlu dilihat. Perlu belajar mengenal, memilih dan menapis sumber.
  • Kita perlu berjemaah. Musuh-musuh Islam ini mereka tidak berada berseorangan. Selain itu, mereka mempunyai dana yang besar di peringkat antarabangsa. Mereka juga mempunyai rangkaian yang luas. Sebagai contoh; Musawah. Musawah merupakan pertubuhan antarabangsa yang memberi dana kepada Sisters in islam, justice for sisters, dan banyak lagi.
  • Menjuarai isu. Fokus satu (1) benda sahaja dahulu. Kita semua adalah ejen islam. Penampan dan dakwah dua keperluan yang penting.

Negara kita melangkah ke fasa baru iaitu pendaftaran dan undi 18 tahun. Sejauh mana keboleh menjadian anak muda kita bukan semata-mata menjadi pemilih tetapi juga sebagai calon pilihanraya di semua peringkat.

Kelantan dan Terengganu adalah negeri terawal yang menerima calon 18 tahun di peringkat dun. Rata-rata dalam kalangan kita mengundi sebab calon itu kacak, viral dan sebagainya. Maknanya, pemilih tidak melihat dari sudut kelayakan calon tersebut.

Politik ini bukan kotor. Politik ini juga bukan bidang politik semata-mata. Politik ini adalah pentadbiran negara daripada sekecil-kecil perkara sampailah kepada pentadbiran yang paling atas. Jadi, perlunya anak muda melibatkan diri dalam politik untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran negara.

Suara anak muda fikrah islam adalah penting untuk diketengahkan. Hal ini bertujuan supaya kita menguasai politik yang membolehkan seseorang itu terlibat dalam membuat polisi dan dasar. Cuba bayang anda aktif dengan gerakan NGO. Tiba-tiba pembuat dasar adalah mereka yang tidak faham Islam. Sebab itulah, sesuatu perkara berkaitan Islam amat sukar untuk direalisasikan.

Seperti Sisters in islam, jumlah mereka tidaklah ramai. Lebih kurang dalam 10 orang. Tetapi tujuan utama mereka untuk membuat provokasi dan penggubal-penggubal dasar.

Konklusi

Mukmin lelaki dan mukmim perempuan perlu memimpin antara satu sama lain. Tugas kita amar maaruf nahi mungkar. Manakala, munafik lelaki dan munafik perempuan mereka juga saling bergandingan antara satu sama lain. Mereka bertindak untuk tujuan yang sebaliknya.

Hal ini penting kerana kita sebagai mukmin lelaki atau wanita, jika kita tidak mengisi pentadbiran dan politik akan menyebabkan tempat kita akan diisi oleh para munafik ini.

Dalam media sosial, kita perlu berstrategi dan berjemaah. Jadi, kita semua perlu belajar, mula bertindak dan membuat tindakan secara kolektif.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Boleh ke link asal di FB Page Gentera Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *