Wanita & Undang Undang

Musim sekarang banyak kes yang tidak sepatutnya berlaku di musim Pandemik ini. Walaupun tajuk berkenaan wanita, tetapi tetap termasuk juga lelaki (Keluarga). Untuk pengetahuan semua sidang pembaca sekalian, tidak semua orang celik undang-undang dalam masyarakat kita. Kebanyakannya tidak ambik cakna mungkin disebabkan ia tidak pernah terjadi dalam kehidupannya atau kepada orang terdekat menyebabkan bila berdepan, mereka tidak tahu apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan.

Apa kaitan wanita dengan undang-undang serta apa keperluan wanita untuk celik undang-undang?

Pada satu segi, undang-undang berada dalam segenap kehidupan kita. Sama ada kita suka atau pun tidak. Misalnya, seorang pelajar apabila tinggal di asrama perlu mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan seperti bangun jam berapa, waktu makan pula waktu bila dan sebagainya.

Kenapa wanita perlu kepada undang-undang? Wanita dengan sebelum, semasa dan selepas perkahwinan sebagai contoh tertakluk kepada undang-undang. Apabila berkahwin, wanita ada hak-haknya dari segi nafkah yang terdiri daripada makan dan minum, tempat tinggal dan sebagainya. Jika hal ini tidak diberikan perhatian, maka secara automatik diri-sendiri akan berputih mata tanpa mengetahui hak-haknya dalam undang-undang.  

Jika wanita celik undang-undang, Insya Allah pasti akan tahu apa yang sepatutnya dilakukan untuk melindungi diri serta mendapatkan balik hak-hak yang boleh dituntut secara mudahnya.

Contoh lain bagi perbezaan antara celik undang-undang atau tidak ini misalnya nafkah untuk anak-anak. Selagi mana, mahkamah tidak menetapkan berapa nafkah maintenance kepada anak-anak tersebut, jadi tidak dapat dituntut. Apabila mahkamah menetapkan sesuatu jumlah, boleh dituntut jika si suami atau bekas suami tidak membayar atau tidak memberi nafkah untuk anak-anak. Ia juga boleh sampai ke peringkat penguatkuasaan dengan memaksa si bapa menunaikan tanggungjawab sebagaimana yang di perintahkan oleh mahkamah.

Kemungkinan satu lagi apabila tidak celik undang-undang, kebanyakannya terus pergi ke mahkamah buat aduan tanpa mengetahui prosedur yang sesuai sebagai contoh perlunya membawa bahan bukti seperti surat nikah dan sebagainya.

Apabila telah ada undang-undang, kita kena ikut setiap aturannya sama ada kita tahu atau tidak tahu.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?

Keganasan sebenarnya dibahagikan kepada beberapa bentuk-bentuk. Antaranya:

  1. Keganasan Bentuk Fizikal. Paling tinggi dilaporkan kerana mudah dikesan kerana mengakibatkan kecederaan sama ada biasa-biasa sehingga keadaan yang amat parah.
  2. Keganasan Bentuk Psikologi. Keganasan ini adalah bentuk torture sama ada dalam bentuk lisan, mental, ugutan, sumpah seranah, sengaja menimbulkan kemarahan, hukuman bentuk senyap, menyatakan sesuatu yang menyakitkan hati dan sebagainya. Misalnya, ugutan untuk mencederakan sama ada untuk merosakkan harta benda kesayangan. Penderaan emosi.
  3. Penderaan seksual. Penderaan dalaman seperti memaksa melakukan seks. Manakala, luaran seperti sering menceritakan seuatu yang tidak sepatutnya perihal pasangan ataupun pasangan yang terlalu mengongkong sering berlaku dalam masyarakat kita.

Sebenarnya siapa yang terlibat? Mangsa atau pemangsa.

Dalam satu rumah, sesiapa sahaja yang berada di rumah tersebut semuanya boleh terlibat sama ada suami ataupun isteri. Kenapa suami juga boleh menjadi mangsa? Hal ini demikian kerana 20% lelaki yang menjadi mangsa telah dilaporkan berbanding 80% mangsa wanita. Begitu juga anak-anak dan ibu bapa yang turut sama berada di dalam rumah itu.

Biasanya, pihak yang menjadi mangsa tidak mempunyai kemampuan diri untuk melawan balik isu tersebut.

Jika sekiranya ada masalah-masalah sebegini, sebenarnya undang-undang kita sudah cukup lengkap. Biasanya client atau mangsa akan ditanya apa yang dikehendakinya Means that, hendak bawa kes itu sehingga ke peringkat mana. Penjara? Sekatan?

Apabila sudah dapat jawapan dari mangsa, maka gunakan jawapan tersebut serta jangan berpaling lagi.

Tapi, masalah besar yang sering dihadapi si wanita dalam sesebuah keluarga adalah sampai satu peringkat mangsa tarik balik tuduhan tersebut apabila termakan pujukan. Hal ini menyebabkan perkara yang sama berlaku lagi dan lagi berterusan menimpa mangsa untuk kesekian kalinya. Jadi, kes-kes penderaan tidak juga selesai. Sebab itu, kerap ditanya kepada mangsa apa kehendaknya yang sebenar.

Isu dekat sini, wanita mungkinlah berhati lembut kerana cepat berubah hati dengan melepaskan si pelaku yang tidak sepatutnya berlaku bermula dari peringkat awal lagi. Rata-ratanya, semenjak di alam sebelum perkahwinan lagi, ada juga yang sudah sedia maklum bakal pasangannya itu panas baran, kaki pukul dan sebagainya. Makin parah apabila si wanita atau lelaki ini tetap juga membuat keputusan untuk menjadikan mereka sebegini menjadi pasangan yang sah.

Sekiranya berlaku masalah-masalah keganasan dari segi undang-undang, mangsa boleh pilih sama ada hendak refer mahkamah sivil atau Syariah. Persoalan mangsa nak apa sebenarnya?

Mahkamah Sivil

Antara kaedah untuk mendapatkan perlindungan, mangsa boleh pilih seperti;

  1. Apabila sudah nekad untuk ambil tindakan, dinasihatkan buat laporan polis. Kena tahu tarikh bila, biar jelas.
  2. Mangsa juga boleh terus ke hospital (One stop Centre: Unit Trauma) untuk dapatkan perlindungan sementara. Dalam masa siasatan, pihak hospital akan minta perlindungan sementara dengan pihak mahkamah sementara proses siasatan dibuat. Perlindungan juga boleh dibuat permohonan termasuklah selepas daripada perbicaraan walaupun duduk dalam satu rumah, kampung dan sebagainya.
  3. Perlindungan juga boleh didapati di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JKM juga akan menggunakan perlindungan yang sama di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

Ramai dalam kalangan kita tidak tahu mengenai ini.

Kemudian, Kanun keseksaan Seksyen 323, 324, 325 dan ke atas semua itu memang sebut secara jelas hukuman-hukuman yang boleh dikenakan apabila mencederakan, ugutan dan sebagainya.

Apabila buat laporan, cedera sedikit pun tidak apa, polis akan siasat misalnya di bawah Akta 323. Selepas habis kes juga mahkamah boleh minta mangsa untuk tidak diganggu.

Mahkamah Syariah

Banyak lagi remedy yang boleh diperolehi. Sebagai contoh mudah bagi sesiapa yang pernah berkahwin yang isteri pun patut tahu adalah selepas selesai sahaja akad nikah, Tok Imam akan minta si suami untuk baca lafaz taklik.

‘Jika sekiranya saya tinggalkan isteri saya selama tiga (3) bulan ataupun lebih atau jika saya menyakiti tubuh badannya, apabila isteri saya mengadu kepada hakim dan sabit pengaduan dia dan isteri saya membayar bagi pihak saya seringgit kepada pihak hakim, maka tertalaklah dia dengan satu (1) talak.’

Sebab itu, persoalan mangsa sebenarnya mahu lakukan apa kerap kali ditanya. Adakah masih mahu jadi ‘Punching bag’ apabila menarik balik tuduhan.

Gambar Hiasan: Pinterest

Dalam Islam kita ada,

  1. Lafaz Taklik. Disebut selepas akad nikah. Untuk membuat aduan di sini tidak semestinya ada bekas luka dan kecederaan di tubuh. Selagi mana boleh membuktikan pukulan tersebut telah menyakiti tubuh badan mangsa. Nak lagi baik, buat laporan polis terus ataupun jika sekiranya terdapat kecederaan walau sedikit dan terus membuat laporan kepada pihak hospital bagi mendapatkan laporan perubatan untuk dibawa ke mahkamah. Si lelaki akan boleh disabitkan kesalahan walaupun tidak menghadirinya selepas daripada si wanita membayar rm 1. Maka, jatuh Lafaz talak satu (1) terlaksana ke atas mereka. Mangsa boleh bebas daripada bekas suami.
  2. Fasakh. Sekiranya tidak ada lafaz taklik sebelum ini, boleh fasakh. Istilah memfasakhkan (Membubarkan) perkahwinan. Dalam enakmen keluarga Islam kita, dalam seksyen perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh (Seksyen 53 1H) Bahawa suami atau isteri menganaiyai suami atau isterinya.
  3. Lazim menyakiti (Termasuk menyakiti hati juga boleh fasakh) atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh perlakuan anaiya. Bukan proses penceraian bangsa. Cumanya, isteri perlu segera melaporkan sekiranya disakiti dan tidak boleh membiarkannya dalam tempoh yang lama.

Bagaimana hendak mengatasi masalah penderaan dalam keluarga, patutkah menemui pakar motivasi atau pegawai Syariah?

Gambar HIasan: Pinterest
  1. Pihak berkuasa. Mangsa perlu laporkan kepada pihak berkuasa barulah pihak polis boleh mengambil tindakan.
  2. Pasangan yang menjadi mangsa tidak boleh membiarkan kes ini berlarutan. Sebagai contoh, minta tolong ahli keluarga terdekat jika rasa malu untuk membuat laporan. Antara kesilapan besar mangsa adalah dengan menulis status dalam media sosial. Hal ini boleh menambahkan masalah.
  3. Kena Jaga tepi kain orang. Peranan jiran tetangga perlu menjadi ejen untuk tolong-menolong dalam kalangan masyarakat.

Kalau isteri suka menulis status di laman sosial mengenai masalah rumah tangga, si suami boleh saman malu ke?

Gambar Hiasan: Pinterest

Jika hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri telah dilaksanakan maka tiba-tiba si isteri membuka aib suami di laman sosial menyebabkan si isteri ada unsur-unsur nusyuz di situ. Jadi si suami ada hak-hak dia sebagaimana disebut dalam quran;

  1. Mula-mula kena nasihat. Apabila si suami tidak tahu cara lain, boleh guna pendekatan meminta tolong si bapa mertua, Tok Iman, Unit Kaunseling dan sebagainya sebagai contoh. Di sini juga, si suami perlu juga bersedia membuka minda mendengar nasihat si isteri.
  2. Kemudian, pulau. Kalau sekiranya masih lagi tidak berkesan. Tidak boleh lama. Paling lama tiga (3) hari.
  3. Pukulan yang tidak menyakitkan. Sekiranya masih lagi tidak berkesan, boleh pukul dalam kadar yang tidak menyakitkan. Sekiranya pukulan melampau, itu akan menjadi isu keganasan.

Sampai pada suatu peringkat apabila si isteri telah nusyuz, si suami tidak mengambil tindakan akan dipanggil dayus.

Istilah nusyuz ini hanya boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Suami perlu pergi ke mahkamah Syariah untuk buat satu permohonan supaya si isteri kembali taat.

Di sini, si isteri juga boleh pembuat pembelaan bahawa kenapa dia berbuat demikian dengan alasan tersendiri sebagai contoh si suami kaki pukul. Dalam keadaan macam itu, pihak mahkamah akan menilai berdasarkan alasan si isteri sama ada si isteri betul-betul nusyuz ataupun tidak.

Kecuali, mahkamah perintah. Mahkamah dengan ini memerintahkan supaya si isteri tersebut pulang dalam tempoh tertentu, tetapi diingkari  barulah si isteri disabitkan Nusyuz.

Apakah kebiasaan tindakan sebagai seorang jiran apabila berhadapan dengan kes-kes berbentuk keganasan rumah tangga?

Jiran kena jaga tepi kain orang. Maksudnya, jiran perlu tolong jika berlaku penderaan untuk bawa kes ini kepada pihak berkuasa. Jangan sampai ambulans datang mari ambil mangsa yang sudah lemah atau sudah kehilangan nyawa.

Perlu ke wanita celik undang-undang selari dengan tuntutan agama

Sangat perlu untuk tahu dan belajar undang-undang. Banyak isu masyarakat kita ini suka main isu talak. Sebagai contoh, si suami bergaduh dengan keluarga isteri. Lalu, mengatakan sekiranya si isteri menjejakkan kaki ke rumah orang tuanya, maka akan jatuh satu talak. Jadi si isteri terpaksa akur tidak dapat memasuki rumah keluarganya. Sebab kebetulan si isteri tahu si suami ada masalah dengan keluarganya.

Tetapi, meskipun hubungan kekeluargaan sudah pulih disebabkan si suami sudah bertaklik, si isteri tetap tidak boleh menjejakkan kaki ke rumah orang tuanya. Taklik ini tidak boleh ditarik kerana sentiasa berjalan sampai bila-bila. Bayangkan, kalau tidak ada kesedaran akan hal taklik ini, maka, menjadi masalah buat si isteri dengan jatuh talak yang kemungkinan berkali-kali sepanjang bilangan menjejakkan kaki ke rumah orang tuanya. So, hidup menjadi masalah dalam agama.

Terima kasih kepada

Tn. Hj. Nik Baharum Nik Abdullah

  • Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pusat
  • Peguam Syarie Negeri Kelantan.
  • Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Artikel asal boleh ikuti siri apa khabar adik kakok Pengkalan Chepa untut tontonan penuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *