Wanita Hari Ini : Wanita Besi

Apakah peranan wanita di zaman moden?

Majlis ilmu dipayungi oleh para malaikat.

Dan Allah membuat perumpamaan isteri firaun bagi orang-orang yang beriman ketika dia berkata, ‘Ya Rabbi, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Firdaus dan selamatkanlah aku dari firaun dan perbuatannya. Dan selamatkan aku daripada kaum yang zalim. Dan ingatlah Ketika mana Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka kami tiupkan ke dalam rohnya sebahagian daripada roh yakni ciptaan kami, Dan dia membenarkan kalimah RabbNya dan kitabNya. Dia termasuk orang-orang yang taat.

Surat at-Tahrim (ayat 11 dan 12)

Dua figura wanita besi ataupun superwomen dalam al-Quran telah mencatatkan siapa yang sangat cemerlang akidahnya seperti Asiah isteri kepada firaun yang diuji dengan kekayaan, tetapi imannya tetap utuh, tidak tergugat dengan habuan dunia dan beriman dengan Tuhan Nabi Musa a.s. Malah, didera dan diseksa oleh suaminya sendiri hanya kerana berbeza akidah.

Maryam a.s pula ibu kepada nabi Isa a.s. semenjak kecil dididik untuk taat kepada Allah. Allah kurniakan zuriat kepadanya tanpa suami dikecam hebat oleh masayarakat. Maryam a.s sabar dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Jika anda wanita di luar sana turut sama sedang diuji, yakinlah wanita-wanita yang dijamin syurga oleh Allah SWT yang tercatat dalam al-Quran jauh lebih dasyat ujian yang dihadapi. Hal ini kerana syurga itu bukan percuma.

Apakah peranan wanita pada zaman sekarang? Ada empat tanggungjawab wanita.

  • Tanggungjawab sebagai hamba Allah. Memang sudah tidak boleh elak. Allah sebut

Tidaklah aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu.

surah Az-Zariyat ayat 56

  • Tanggungjawab sebagai isteri dan pemimpin rumah tangga bagi yang sudah berkahwin. Bagi yang masih belum berkahwin, perlu persiapkan diri seawal mungkin. Mengikut kajian, sikap anak akan dipengaruhi bagaimana sikap kita sebagai ibu dan ayah dalam tempoh 15 tahun sebelum kita berkahwin.

Bagi yang merasa lelah dalam kehidupan rumah tangga, ikuti kisah Saidatina Fatimah r.a ketika mana dia mengadu kepada Rasulullah SAW letih dalam urusan rumah Tangga. Rasulullah SAW mengajar Fatimah r.a dengan zikir Fatimah (Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali). Sesungguhnya pahala nikmat sebagai isteri itu seolah-olah berjihad di jalan Allah sehingga Saidatina Fatimah r.a tidak lagi mengeluh. Maka bila letih, lazimi zikir.

  • Tanggungjawab sebagai pendidik generasi akan datang. Maka kita kena menyediakan diri kita tidak kira siapa kita sama ada sudah berkahwin atau belum. Terdidiknya wanita, akan terdidiknya generasi. Rosaknya wanita, rosaklah generasi akan datang. Murabbi atau pendidik utama adalah ibu.

Dari segi sains, sebab perkembangan anak-anak adalah pada umur 5 tahun pertama otak berkembang lebih daripada separuh. Bila fasa ini, potensi anak itu dapat dikesan oleh seorang ibu yang banyak bersama dengan anak. Dalam buku Tarbiatul Aulad ada menerangkan mengenai tanggungjawab ibu dan ayah dalam mendidik anak;

  1. Akidah
  2. Fizikal
  3. Spiritual
  4. Psikologi
  5. Sosial
  6. Seksual
  • Tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Dengan menceburi pelbagai bidang masing-masing. Dakwah ada dua cara iaitu dakwah secara perbuatan dan lisan. Contoh dakwah secara perbuatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ialah dengan menunjukkan akhlak yang baik apabila menyuap makanan kepada seorang wanita tua yahudi yang akhirnya memeluk islam. Dakwah melalui lisan, Rasulullah sebut sampaikan dari Aku walau sepotong ayat.

Apakah cabaran-cabaran yang perlu dilalui oleh wanita kini terutama di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Syukur kita kepada Allah SWT, mari kita kembali kepada Allah SWT.

‘Dan barang siapa yang bertakwa dan bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluan yang dikehendakinya. Dan sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.’

Surah Al – ‘Alaq ayat yang ketiga

Zaman kini, jom bermuhasabah setiap anugerah kurniaan Ilahi. Anugerah Allah sekarang ini bermacam-macam nikmat.

Cabaran yang perlu kita hadapi di dalam dunia moden, semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diredhai Allah.

  1. Bagaimana hendak menguruskan rumah tangga.
  2. Berkhidmat kepada keluarga.
  3. Kewangan. Wanita berkerjaya dan tidak bekerja.

Kata Saidina Ali kepada Saidatina Fatimah:

Wahai Fatimah, kelebihan wanita bila mengisar tepung dan memasak roti, makanan untuk dihidangkan kepada suami dan anak-anaknya, Allah SWT akan bina parit atau pendinding di antara dirinya dengan api neraka. Bagi menghalang dari api neraka, jarak penghalang antara satu parit dengan satu parit diibaratkan jauhnya langit dan bumi.’

Sumber Gambar : Pinterest

Maknanya, marilah kita bina dulu diri kita menjadi seorang anak, isteri, wanita yang sentiasa berkhidmat seperti menyediakan makanan kepada keluarga kita.

Setiap kemudahan kurniaan Allah, mari kita gunakan untuk meraih keredhaan Allah dengan mengikut syariat Islam.

Macam mana seorang wanita memberi atau mempengaruhi orang sekelilingnya dengan aura positif?

Di rumah, kita bersama suami, ana-anak, ibu ayah dan adik beradik yang lain. Di tempat kerja, kita bersama majikan dan rakan sekerja.

Pertama, kembali kepada Allah dengan menjaga kualiti masa kita dengan Allah. Maksudnya jaga hubungan kita dengan Allah.

  1. Qiamullail.
  2. Hubungan kita dengan al-Quran. Sebab bila kita bersama al-Quran, kita akan tenang. Apabila kita tenang, kita hendak berhadapan dengan orang akan lebih positif. Maknanya ketenangan kita memberi impak kepada orang sekeliling kita.
  3. Jaga solat Dhuha.
  4. Sentiasa solat awal waktu.
Sumber Gambar : Pinterest

Bila kita jaga hubungan kita dengan Allah, maka automatik ia akan memberi kesan kepada hubungan kita dengan manusia.

Kedua, kita jaga keterampilan dari segi fizikal. Paling tidak, set mind akita bangun awal pagi untuk jaga kesihatan. Sebolehnya kita cuba buat riadah pagi paling kurang 15 minit. Hal ini amat penting untuk kita jaga kesihatan. Apabila kita sihat, ia akan memberi aura positif kepada orang sekeliling kita.

Ketiga, berwangi-wangian aura positif akan lahir. Bila renung balik, kita sendiri pun suka berada dengan orang-orang yang wangi.

Keempat, menjaga kebersihan. Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Bersih kita termasuk sumber makanan halalan Toyyiba dan juga bersihnya kita dari segi pemakaian. Maka, secara tidak langsung akan menarik positif dari kita

Sumber Gambar : Pinterest

Kelima, jaga kecerdasan minda kita. Bagaimana? Dengan menambah ilmu dengan banyakkan membaca supaya kita boleh memberikan aura positif. Hal ini kerana, orang yang tiada sesuatu, tidak boleh memberi sesuatu. Sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Maka kalau kita ada sedikit, kita kongsi.

Keenam, hormat orang lain. Kita hendak berubah, kita ubah diri kita dahulu. Kita nak anak kita baca al-Quran, kita perlu membaca al-Quran. Kita nak berbaik sangka dengan sahabat kita, kita berbaik sangka dulu dengan Allah dan sahabat kita itu. Maka, kita hormat orang lain, orang lain pun akan hormat diri kita.

Sumber Gambar : Pinterest

Ketujuh, kita jaga dari segi kewangan kita. Paling tidak, kita perbanyakkan sedekah. Siapa yang bersedekah, Allah akan tambah lagi rezekinya. Tidak semestinya sedekah itu dengan duit, senyum juga adalah satu sedekah. Ilmu yang kita ada sedikit, kita sebarkan juga adalah sedekah. Tetapi, dalam konteks kewangan, kita tiada duit menyebabkan kita dalam kondisi tersepit. Maka, cuba amal dengan bersedekah. Kita ada sedikit, kita bagi sedikit.

Sumber Gambar : Pinterest
  1. Refleksi diri kita. Malam sebelum tidur, kita muhasabah diri kita. Apa yang kita telah lakukan seharian pada hari ini. Termarah anak? Tercubit anak jiran? Maka, mari kita ubah ke arah lebih baik.
  2. Cari inspirasi. Cari kisah-kisah orang lain. Salah satu, kisah Sirah Maryam a.s, Asiah r.a dan lain-lain. Surah Ibrahim misalnya, kita nabi Ibrahim menurut perintah Allah untuk meninggalkan isterinya siti Hajar bersama anaknya Nabi Ismail di suatu kawasan lembah dan kering kontang dan bermacam-macam lagi di dalam al-Quran. Ketaatan Siti Hajar patuh pada perintah Allah sehingga sejarah ini terpahat di hati kita sehingga kini. Dibalik kesusahan beliau, Allah berikan kenikmatan dengan mengeluarkan air zamzam. Subhanallah.

Bila kita rasa ‘down’, kita ‘pause’ kan diri kita untuk seketika. Apabila kita rasa lemah, kita renung balik dan balik kepada Allah. Dunia ini tempat Allah uji. Maka, Allah uji untuk melihat taqwa kita kepadaNya. Maka, Insya Allah kita balik kepada Allah. Kita akan lebih tenang dan melahirkan aura positif ke dalam diri kita.

Kesimpulannya

Allah jadikan kita hidup dan mati. Allah sentiasa uji kita. Cuba kita pandang di sudut sisi lain sudah berapa banyak nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Bila Allah uji kita, Allah nak tengok kita bagaimana pengabdian kita kepadaNya. Bagaimana hendak mencapai keredhaan Allah:

  1. Kita mestilah taat kepada Allah dan tinggalkan segala maksiat.
  2. Basahkan bibir kita dengan mengingati Allah.
  3. Hendaklah kita sentiasa menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan jangan kufur nikmat.

Moga-moga kita semua mampu menjadi wanita besi. Hentian kita apabila kita mati, masih panjang lagi perjalanan hidup kita di akhirat.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Untuk pautan penuh siri video, klik link

Apa Khabar Adik Kakok Pasir Mas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *