Pale Brown Retro Life Photo Collage (1)

Seputar ingatan menjamah memori. Masih segar di ingatan ketika menyertai misi bantuan banjir ke negeri Pahang bertarikh 24, 25 dan 26 Disember 2021.

Hari cuti am begini kebiasaannya diri ini akan berada di samping mama untuk tolong jaga kedai di Pasar Besar Siti Khadijah. Almaklumlah kami sebagai peniaga waktu cuti sekolah beginilah biasanya baru ada ramai pelanggan berbanding hari biasa.

Selain itu, turut bertembung dengan tarikh hari nikah sepupu belah ibu di kampung Pasir Mas. Lagilah agak berat mama mahu melepaskanku pergi sertai misi bantuan banjir ini.

Plan asal mahu pergi bersama seorang kenalan alumni Gentera, tetapi atas beberapa faktor yang tidak mengizinkan, Allah izin diriku kuat semangat pergi berseorangan. Berdebar juga sebab trip misi kali ini diriku pergi tanpa teman. Kali ini pergi memang betul-betul tawakkal kepada Allah kerana ini merupakan pertama kali menyertai misi bantuan banjir.

Pada hari kejadian, ramai rupanya sukarelawan yang menyertai misi kali ini. Itulah, bila Allah pilih, Allah akan bantu dari segenap sudut.

Program Misi Bantuan Banjir di bawah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan kali ini melibatkan 10 buah bas dikhususkan untuk pengangkutan para peserta dari MESRA, GENTERA, Majlis Belia Kelantan, Jabatan Amal dan Yayasan Amal.

Kira-kira dalam jam 3 petang, kami memasuki antara kawasan yang terjejas teruk. Pilu sungguh hati ini apabila melihat keadaan pasca banjir sepanjang perjalanan. Sesungguhnya tiada daya upaya melainkan Allah.

Antara kesan pasca banjir

Firman Allah S.W.T dalam surat cintanya Surah Al-Baqarah ayat 155 bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar lokasi penempatan para sukarelawan

Kira-kira memasuki jam 6 petang, bas kami berjaya sampai ke lokasi khas untuk kami bermalam iaitu Pondok Dar Al-Abrar (Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar). Sungguh memilukan apabila tempat ini juga tidak terlepas daripada diuji. Ketiadaan elektrik dan air menjadi cabaran buat semua. Mujurlah Allah izin menggunakan generator untuk bangunan khas yang menjadi tumpuan utama sukarelawan dan petugas.

Maha suci Allah yang Maha Berkuasa. Di sini rupanya menjadi tumpuan para sukarelawan yang datang dari setiap pelusuk negeri. Ada Unit Amal, Yadim, dan banyak lagi. Rupanya, mereka sanggup turun kerana ada yang kata ingin membalas budi warga Pahang yang sebelum ini juga sanggup menghulurkan bantuan ketika mereka diuji dengan pelbagai masalah natural disaster. Terharu di sini.

Sesi  taklimat dilakukan di dewan utama. Setiap ngo dan sukarelawan dibahagikan kumpulan untuk misi menyantuni mangsa banjir.

Taman Chegar Medang lokasi terpilih

Lokasi kumpulan 2 dan 3 adalah Taman Chegar Medang. Setiap sukarelawan dipecahkan pula kepada 4 kumpulan. 1 kumpulan 10 orang campur muslimin dan muslimat. Setelah diagihkan mengikut kumpulan, kami pun bertebaran ke rumah-rumah mangsa pasca banjir.

Kumpulan 2 dan 3 bergambar bersama

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

[Surah At-Taghabun 11]

Sungguh tabah mereka ini. Banjir kilat yang melanda mendadak membuat ramai yang hampir total lost. Mana tidaknya, mereka tidak ada langsung pengalaman dalam menghadapi banjir. Air banjir naik mendadak mencecah bumbung dalam masa 1 hari.

Bantuan sukar kerana banyak daerah negeri Pahang yang turut sama terjejas akibat banjir besar kali ini. Hal ini mengakibatkan banyak tempat lumpuh serta merta.

Antara mangsa pasca banjir yang disantuni. Beliau mengatakan sewaktu air mula naik mendadak, masing-masing mahu menyelamatkan diri dengan kereta dengan hasrat meninggalkan tempat itu dengan kadar segera. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya, keadaan menjadi semakin parah apabila kenderaan jem dan air mendadak naik lalu menyebabkan semua terus meninggalkan kederaan masing-masing demi menyelamatkan diri.

Tempoh 2 hari sahaja masa diperuntukkan untuk kami membantu mangsa pasca banjir. Terpaksa pulang meskipun hati masih lagi mahu menghulurkan bantuan. Namun, apakan daya, komitmen kerja hakiki yang harus diutamakan di samping para sukarelawan yang terdiri dari pelbagai latar belakang.

Insya-Allah, kami akan kembali jika diizinkan Allah.

Penulis merupakan Alumni Gentera dan Sukarelawan Misi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *