Brown Green And Cream Paper Travel Journal Family Photo Book (1)

Saya ada menulis beberapa dapatan dari Fiqh Banjir oleh INFAD, iFFAH dan juga USIM yang dikelola oleh Dr Irwan Bin Mohd Subri pengarah International Fatwa and Halal Centre (iFFAH).

Moga bermanfaat buat mangsa banjir yang terkesan.

1. Air banjir boleh dikira air mutlak sebab kuantiti dia banyak. Jadi ia boleh diguna untuk berwuduk. Tapi yang sunat macam berkumur dan masukkan air dalam hidung tak perlu. Kalau ada najis atau bangkai yang berdekatan air tersebut, boleh guna air yang jauh sikit dari tempat tu.

Gambar Hiasan : Google

2. Air banjir juga boleh digunakan untuk beristinjak. Jika ada benda-benda kesat seperti tisu, kertas dan kain, ia juga boleh digunakan. Benda yang tak boleh guna ialah najis seperti tahi kering atau benda-benda yang dihormati macam makanan.

3. Kalau pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air tu cukup untuk minum je, boleh tayammum. Mangsa banjir yang sakit dan tak boleh guna air pun boleh tayammum. Kalau susah dapat debu tanah, boleh tepuk debu yang ada dekat dinding, cermin, meja atau tempat-tempat lain.

4. Solat Jumaat wajib untuk lelaki. Kalau ada masjid dan surau yang dekat dan tiada halangan, kena solat dekat sana. Kalau ada halangan, pusat pemindahan banjir kena hubungi Jabatan Mufti supaya luluskan solat Jumaat dekat pusat tu.

5. Masa banjir, mangsa atau petugas banjir boleh solat jamak ketika situasi mendesak macam selamat diri dan juga harta. Kalau sempat jamak taqdim sebab dulu sebab takut ada kesukaran nak jamak takhir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.

6. Aurat wajib tutup bagi lelaki & perempuan. Kalau darurat syarie, boleh bersentuhan antara bukan mahram sekadar perlu sahaja. Penempatan mangsa banjir yang bujang perlu diasingkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

7. Yang berkeluarga boleh letak di tempat yang terpelihara aurat mereka. Boleh guna langsir, khemah atau pemisah yang lain. Mangsa atau petugas banjir kena jaga pergaulan antara bukan mahram dan tidak berada dalam situasi yang boleh menimbulkan fitnah.

8. Dalam situasi banjir, air banjir boleh digunakan untuk mandikan mayat. Yang mandikan jenazah kena yang sama jantina. Kalau pusat pemindahan letiadaan air atau air hanya cukup untuk minum sahaja, boleh tayammumkan mayat bagi ganti mandi jenazah. Kalau tayammum pun tidak boleh, terus solat.

9. Yang kafankan jenazah pun kena yang sama jantina. Lepas itu, kalau tidak ada kain yang mencukupi atau warna putih, boleh guna sekadar yang mampu untuk tutup jenazah. Selepas itu wajib disolatkan dan dikebumikan dekat tanah perkuburan yang disediakan pihak berkuasa.


10. Tak boleh ambil harta orang lain tanpa dibenarkan pemiliknya. Kalau dalam darurat syarie, makanan atau barang yang dimakan dan diambil sekadar untuk terus hidup, mesti diganti semula atau dibayar harganya jika diketahui pemiliknya.

11. Jika pemiliknya tak diketahui lepas dicari dengan bersungguh-sungguh, kena usaha hebahkan. Kemudian dia kena sedekah harga anggaran makanan atau barang yang diambil itu. Kalau pemiliknya dijumpai lepas tu, kena ganti semula atau bayar harga mengikut budi bicara pemiliknya.

12. Barang yang kita jumpa waktu banjir ni kita boleh bahagi kepada 2 jenis. Pertamanya yang mudah rosak atau susut nilai macam makanan yang dh dimasak dan lain-lain. Yang ni boleh dimakan atau dimanfaatkan. Tapi kalau pemilik tuntut dengan bukti, kena ganti semula atau bayar ikut budi bicara.

13. Yang keduanya barangan yang tak mudah rosak macam jam, barang kemas dan lain-lain. Yang ni kalau dijumpai boleh ambil/simpan untuk tujuan jaga barang tu dan iklankan selama setahun sedaya upaya.

14. Lepas setahun, barangan tu boleh dimanfaatkan oleh orang yang jumpa. Tapi kalau pemilik asal tuntut sama ada sebelum atau selepas setahun, kena berikan semula kepada pemilik asal. Pusat penempatan banjir boleh buat inisiatif tabung atau kaunter uruskan barang luqatah (lost &found).

15. Oh ya, tentang solat tadi lupa nak tambah pasal boleh tak solat dengan pakaian yang terkena lumpur. Jawapannya boleh sebab lumpur bukan najis.

16. Satu lagi solat dalam keadaan rumah dinaiki air atau berselut wajib berdiri dulu kalau mampu. Untuk sujud boleh duduk atas kerusi kalau air atau lumpur menghalang sujud yang sempurna.

17. Last sekali, boleh tak bagi zakat kepada mangsa banjir? Harus sebab mereka dikira dalam golongan al-Gharimin iaitu orang yang terkena mudarat/bencana yang menyebabkan harta mereka musnah.

Untuk bacaan lanjut, boleh dowload aplikasi Fiqh Banjir (FIBA) di PlayStore. https://play.google.com/store/apps/details?id=cryptercode.com.fiba Saya juga ada merujuk artikel yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia dengan kerjasama USIM dan INFAD.

Moga bermanfaat buat semua.

Ditulis oleh: Usaid Subki

Sumber: Telegram Nik Fatma Amirah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *