Belaian 9 Fatimah Anak Dara Nabi Muhammad SAW (1)

BELAIAN AGUNG BUAT SANG HAWA MILLENNIAL
❄❄❄❄❄❄❄ ❄❄❄❄❄❄❄
❄❄❄❄❄❄❄ ❄❄❄❄❄❄❄

Miswar bin Makhramah berkata, sabda Rasulullah SAW:

فاطمة بَضْعَة (قطعة) مِنِّي، فَمَنْ أَغْضبها أَغْضَبَنِي

Fatimah adalah sebahagian dari aku. Siapa yang marah padanya seolah dia marah padaku.
[HR Bukhari]

❇Anak dara contoh

Gambar Pinterest

Saidatina Fatimah adalah contoh anak perempuan mithali. Sedari kecil, Fatimah adalah insan yang sentiasa membantu dakwah Nabi SAW selain ibundanya sendiri, Saidatina Khadijah. Dia lahir 5 tahun sebelum Rasul diutuskan.

Sebelum Mumayyiz lagi, beliau telah menyaksikan penyeksaan yang dialami Rasulullah SAW dan para sahabat dengan mata kepada sendiri di mana sahaja. Hatta di rumahnya, hatta di rumah Allah!

Sewaktu pakaian bapanya berlumuran kotoran, dialah yang mencuci pakaiannya. Sewaktu batang kurma dilemparkan pada belakang bapanya Ketika solat, dialah yang menghalang dengan kudrat yang ada.

Setiap kali melihat Nabi diseksa, Fatimah menangis. Namun baginda SAW memujuk:

لا تبكي يا ابنتي فإن الله يحميني من أذاهم

Jangan menangis duhai anakku. Allah lindungiku dari kesakitan yang mereka lakukan.
Walaupun Fatimah seorang perempuan, ia tidak menghalang beliau dari menjadi pembantu setia bapanya di jalan juang. Membuktikan anak perempuan dan lelaki tiada beza dari sudut membantu ibu bapa. Anak adalah rezeki Allah tanpa mengira jantina.

Gambar Pinterest

Fatimah juga ikon anak yang mempraktikkan Birrulwalidain. Sebelum berkahwin, beliau mengabadikan diri sebagai khadim bapanya. Walaupun apalah sangat kudrat yang boleh dia sumbangkan, namun bukan itu yang dikira. Yang penting kesanggupan dan usaha (effort) yang sanggup diberikan.

❇Isteri yang tidak melupakan bapa

Fatimah boleh dikatakan anak yang paling dikasihi Rasulullah SAW tanpa melampaui keadilan. Walaupun sudah berkahwin, dia tetap rapat dengan bapanya. Suaminya bukan orang lain, sepupu Nabi sendiri yang membesar di rumahnya sejak kecil, Ali bin Abi Talib. Ramai yang kata, anak perempuan lebih rapat dengan bapa berbanding ibu termasuklah Fatimah sendiri.

Gambar Pinterest

Jika ada masalah, Fatimah tidak segan mengadu pada Nabi walaupun sudah bergelar isteri orang. Pernah Fatimah mengadu pada bapanya kepenatan menguruskan rumah tangga. Dia meminta dicarikan khadam membantunya namun Rasulullah menolak.

Ulama` mengharuskan para isteri mengadu masalah rumah tangga kepada bapa mereka, dengan syarat menjaga aib suami, tidak berniat mendedahkannya dan bermatlamat untuk mencari penyelesaian. Tanggungjawab bapa pula tidaklah terhenti dengan berkahwinnya anak perempuan mereka semata-mata. Mereka perlu terus memantau, memerhati dan menasihat sentiasa.

❇Bapa borek anak rintik

Sifat yang ada pada Fatimah persis Rasulullah SAW. Sebab itulah ibu tirinya Aisyah RA berkata:

ما رأيت أحداً أفضل من فاطمة غير أبيها

“Tiada aku lihat seorangpun yang lebih baik Fatimah selain bapanya.”

Tiga pengajaran utama yang membentuk peribadi Fatimah adalah:

  1. Penyabar; sifat yang sukar dimiliki perempuan (bahkan lelaki pun). Sabar dalam melakukan ketaatan, sabar dari melakukan dosa dan sabar daripada marah. Ikutkan, Fatimah amat marah terhadap orang yang menyakiti bapanya. Tetapi baginda yang amat penyabar telah menjadi ikon tauladan kepada Fatimah.

Ya, perempuan juga ramai pemarah. Cuma tidaklah mereka panas baran sehingga mengamuk seperti sesetengah lelaki. Marah mereka lebih kepada tidak redha dengan ketentuan Ilahi dan protes dalaman. Itu sebenarnya lebih bahaya dari sudut akidah.

  1. Pemaaf; melupakan kesalahan manusia dan tidak menyimpan di dalam hati sedikitpun rasa tidak senang. Siapakah yang lebih pemaaf dari Nabi SAW? Inilah perkara yang sangat mudah diucap, tetapi amat sukar dibuat. Lidah mungkin boleh kata memaaf, tetapi hati tidak boleh menipu diri.

Kemaafan boleh jadi antara paradoks besar bagi wanita. Mereka mungkin tiada masalah untuk bergelak tawa bersama. Tetapi belum tentu orang yang bersama mereka itu tidak menyimpan sebarang rasa tidak puas hati dan seumpamanya. Perkara ini boleh membawa kepada dendam kesumat.

  1. Sederhana: Ini juga sukar diamalkan. Walaupun mereka mungkin mampu mencari dunia untuk hidup yang lebih baik, tetapi kesederhanaan Nabi SAW mengajar Fatimah terus hidup demikian bersama Saidina Ali. Walhal dia pernah jadi anak khalifah, isteri khalifah dan ibu khalifah!

Keadaan yang amat berbeza bagi anak, isteri dan ibu VVIP lain. Kadang-kadang walaupun VVIP itu hidup sederhana, lain pula watak keluarga mereka. Amat jarang melihat keluarga yang boleh mengikut gaya hidup ringkas ketua keluarga mereka. Bahkan sebaliknya pula, keluargalah biasanya yang menjadi perosak kesederhanaan VVIP itu!

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *