KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merancang mengubal lima dasar dalam usaha memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri.
Antaranya Dasar Warga Emas Al-Mukarramun Kelantan, semakan Dasar Wanita Kelantan (Semakan 2020), Dasar Pelaburan Kelantan, Dasar Kebersihan Negeri Kelantan dan Dasar Al-Qawwamah.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, dasar dan polisi yang dirancang tersebut dirangkum di bawah tiga tonggak utama iaitu keberkatan, kemakmuran dan kebajikan kini dilaksanakan di bawah Pelan Strategik Kelantan Melangkah Kehadapan 2016-2025.
“Kita bersyukur dengan sokongan dan kerjasama mantap penjawat awam dalam melaksana dan menjayakan dasar kerajaan negeri.
“Cuma kita juga tidak nafikan dalam keadaan Covid-19 ada terkesan dari segi pentadbiran dan beberapa perkara.
“Oleh itu saya berharap setiap daripada kita dapat meningkatkan usaha bagi memulihkan semula setelah terkesan terutamanya dalam memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar sempena 31 Tahun Membangun Bersama Islam di Dewan Terantai Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menteri Besar juga berkata, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz esok, diharap dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat Kelantan.
Kelantan sebelum ini mempunyai pelbagai dasar yang dilaksanakan sejak awal 1990-an, selari dengan tuntutan Islam termasuk Dasar Hiburan, Dasar Keluarga Mawaddah serta Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat. – HARAKAHDAILY 28/10/2021