Sparkle

KOTA BHARU, 27 Nov – YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yaakob hari ini telah melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 Peringkat Negeri Kelantan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Kelantan dan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-keKWa).

Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang telah dinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini, fokus utama sambutan kali ini berteraskan kepada 5 Nilai K.A.S.I.H yang merangkumi K-Kasih Sayang, A-berAkhlak, S- Sihat dan Selamat, I-berIlmu dan H-Harmoni sebagai asas nilai yang perlu diterapkan dalam sanubari setiap ahli keluarga.

Islam menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan saling membantu antara satu sama lain seumpama ahli keluarga sendiri sebagaimana firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6;

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Konsep Keluarga Malaysia juga akan terus menjadi falsafah pentadbiran kerajaan negeri agar kepentingan dalam meneruskan pelbagai agenda mensejahterakan keluarga dan rakyat di negeri Kelantan terus terpelihara dan akan dicapai serta menjadi contoh terbaik di Negara ini.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena Bulan Keluarga Malaysia Tahun 2021 Peringkat Negeri Kelantan adalah Forum bertajuk “Kitakan Keluarga Malaysia: Keluarga Mawaddah” yang dianggotai oleh dua orang panel jemputan iaitu Ustaz Saibon bin Ismail (Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai) dan Encik Hairil Fadzly bin Md Akir (Timbalan Ketua Pengarah LPPKN-DASAR).

Di samping itu terdapat majlis Penganugerahan Tokoh Keluarga Mawaddah kepada 42 ahli keluarga di Peringkat Parlimen dan 7 Anugerah Tokoh Keluarga Mawaddah di Peringkat Negeri serta 3 Ikon Khas mewakili kaum Cina, Siam dan masyarakat Orang Asli. Kesemua pencalonan telah dihantar menerusi pejabat Parlimen masing-masing dan di putuskan di peringkat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Hajjah Mumtaz binti Md Nawi.

Antara senarai 7 keluarga Penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mawaddah Peringkat Negeri:

  1. Nik Yusoff Bin Nik Salleh & Nik Eshah Binti Nik Eshak

2. Haji Wan Ismail Bin Wan Mahmood & Hajah Fauziah Bt Haji Abdul Samad

3. Haji Abdul Hamid Bin Ahmad & Hajah Naemah Binti Razali

4. Che Ali Bin Mohamood & Mek Yah Binti Yaacob

5. Che Harun Bin Che Abdul Rahman & Piah Binti Haron

6. Ibrahim Bin Yusoff & Siti Nor @Halimah Binti Salleh

7. P. Rameli Bin Zainal & Rohani Bt Ibrahim

YAB Dato’ Bentara Kanan juga menyatakan bahawa satu inisiatif oleh pihak LPPKN iaitu memperkenalkan Toll Free Helpline Family Care 1-800-82-0300 sebagai alternatif kepada khidmat sokongan psikososial kepada pasangan-pasangan yang berhadapan dengan isu rumahtangga. Ini akan dibantu oleh Mawaddah Support Team (MST) di semua peringkat Parlimen bagi menangani sebarang pertanyaan, perkhidmatan kekeluargaan dan aduan di kawasan masing-masing dengan lebih cepat dan efektif.

Majlis ini turut dihadiri YB Dato’ Hajjah Mumtaz binti Md Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, YBrs. Puan Mastura binti Mohamad Darby, Timbalan Pengerusi LPPKN, YBrs. Encik Hairil Fadzly bin Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah LPPKN (Dasar). Turut hadir YBrs. Encik Zaharin bin Bakri, Pengarah LPPKN Negeri Kelantan dan Puan Ilvira binti Mohd Dasuki, Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).

Artikel asal di FB Page Dato’ Mumtaz Md Nawi Official

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *