12 Kesilapan Komunikasi Dalam Rumahtangga – Made With PosterMyWall (1)

Tajuk ini bunyinya agak ‘cliche’ kerana kebanyakan kaunselor, motivator, ustaz dan
ustazah memang selalu menyebutkan tentang komunikasi dalam rumahtangga.
Disebabkan merasakan ianya tidak penting, hal biasa dan tiada masalah maka ianya
tidak diberi perhatian dalam membina rumahtangga.

Gambar Hiasan : Pinterest

Apabila ramai yang sebut tentang komunikasi maka ini lah menunjukkan bahawa
betapa pentingnya komunikasi sebagai bukan sahaja penghubung, tetapi satu
instrument bagi memulih dan memperbaiki kelemahan dan kelompangan yang ada
dalam rumahtangga.

Walaupun satu pasangan berada di bawah satu bumbung selama 5 tahun sekali
pun, belum tentu pasangan ini berkomunikasi dengan berkesan. Bahkan ada
pasangan yang telah berkahwin dan tinggal sebumbung lebih dari 5 tahun, tetapi
tidak bertegur sapa dan masing-masing sibuk dengan hal dan urusan masing-masing.

Untuk mengekalkan rumahtangga sehingga ke akhir hayat, komunikasi berkesan
sangat memainkan peranan. Bayangkan tinggal sebumbung selama berpuluh tahun
tapi tidak bercakap, bukankah itu satu kezaliman.

Komunikasi ini bukan terhad kepada hanya kata-kata tetapi adalah berkait dengan
semua medium penyampaian termasuklah bahasa badan, intonasi suara dan juga
menggunakan media sosial seperti whats apps dan lain-lain.

Dalam ebook ini anda akan meneroka mengenai elemen komunikasi dalam
rumahtangga dan juga apa kesilapan kebiasaan yang berlaku. Kadang-kadang
banyak kesilapan yang dianggap biasa oleh sebahagian orang dan akhirnya setelah
lama berlalu, baru lah tersedar bahawa kesan daripada komunikasi yang salah ini
membawa masalah yang lebih besar.

Ebook ini juga akan berkongsi tips-tips komunikasi berkesan untuk membantu anda
menambah baik komunikasi yang sedia ada supaya komunikasi yang terhasil bukan
sahaja dapat menyampaikan mesej dengan berkesan, tetapi menambah #akauncinta
terhadap dengan pasangan.

Komunikasi yang dibina dengan emosi yang positif akan mencetuskan juga emosi
yang positif.

Mengapa Pentingnya Komunikasi?

Ini soalan yang perlu anda tanyakan pada diri. Dalam masa yang sama cuba
perhatikan bagaimana pattern komunikasi anda dengan pasangan.
Adakah anda berpuas hati dengan tahap komunikasi anda sekarang dengan
pasangan?

Gambar Hiasan : Google

Sebelum bertanya soalan yang lebih mendalam untuk anda buat refleksi diri,
mari kita lihat apa kepentingan komunikasi dalam rumahtangga.

  1. Tiada Komunikasi Tanda Tidak Berminat

Bayangkan anda tidak minat pada kerja anda? Apa akan berlaku pada anda apabila
melaksanakan kerja? Pasti tiada motivasi, lemah, cepat bosan dan mula mencari
keseronokan lain ditempat kerja.

Bagaimana pula pasangan anda sudah tidak berminat pada anda? Macam mana cara nak tahu bahawa rumahtangga anda sedang mula bermasalah?

Salah satu caranya adalah dengan melihat komunikasi. Kita akan berkomunikasi
dengan orang yang kita berminat samada untuk urusan kerja, jual beli dan pelbagai
lagi.

Komunikasi akan bertambah apabila hubungan semakin erat dan dipenuhi dengan
perasaan cinta. Komunikasi akan menambah nilai #akauncinta seseorang untuk
bertambah sayang.

Apabila #akauncinta semakin susun, perasaan semakin pudar, maka ianya akan
digambarkan oleh semakin kurang komunikasi. Kalau berlaku pun hanya sekadar
bertanya tentang fakta dan data, hak dan tanggungjawab.
Tiada lagi perbualan tentang emosi dan perasaan. Tiada lagi kata-kata romantis dan
ucapan mesra dilafazkan. Tiada lagi pujian dan kata-kata indah untuk pasangan.

“SEMAKIN KURANG KOMUNIKASI SEMAKIN KURANG EMOSI

2. Lebih Memahami

Gambar Hiasan : Pinterest
Gambar Hiasan : Pinterest

Memahami pasangan sebenarnya bukan hanya berlaku dalam tempoh 5 tahun
pertama perkahwinan, tetapi ianya adalah proses yang berterusan selagi kita masih
hidup dan bersama pasangan.

Ini kerana manusia akan berubah oleh sebab faktor kematangan, persekitaran, usia
dan pelbagai lagi faktor lain. Walaupun tidak semua bahagian mengalami
perubahan, tetapi perubahan ini akan tetap memberi kesan kepada diri dan
pasangan.

Untuk memahami perubahan samada sikap, emosi, pemikiran dan juga tingkah laku,
salah satu komponen penting adalah komunikasi. Dengan komunikasi kita dapat
menyedari perubahan. Dengan berkomunikasi kita dapat memahami perubahan.

Dengan komunikasi juga kita dapat menyesuaikan diri dengan perubahan.
Syaratnya adalah komunikasi berkesan. Komunikasi yang memerlukan komitmen
antara kedua-dua pihak. Komunikasi yang sihat.

Secara automatik, hubungan akan bertambah erat, #akauncinta semakin bertambah,
perasaan cinta semakin membara kerana pasangan lebih memahami. Rumahtangga
akan bahagia dan indah bila pasangan saling memahami.
Inilah peranan komunikasi berkesan dalam membina, menyatu dan mengharmonikan
rumahtangga.

3. Kepuasan Rumahtangga

Membina rumahtangga adalah satu keputusan yang sangat besar. Banyak masa
yang dihabiskan dan banyak juga wang yang digunakan sejak proses berkenalan
sehingga terbinanya rumah tangga.

Maka sudah pasti setiap pasangan mengharap kepuasan dan kebahagiaan dalam
rumah tangga. Kepuasan akan dicapai apabila rumah tangga bahagia. Kepuasan
akan menyebabkan segala pengorbanan dari segi masa, wang ringgit dan usaha
untuk membina rumahtangga adalah berbaloi.

Gambar Hiasan : Google

Komunikasi yang baik dan berkesan membantu pasangan untuk berbincang sesuatu
isu dengan baik, bahkan mendorong pasangan untuk berbincang di peringkat awal
lagi apabila sesuatu isu itu timbul. Tiada pergaduhan dan perdebatan dalam
perbincangan yang menyebabkan pasangan berasa seronok kerana segala isu yang
timbul dapat diselesaikan secara bersama.

Namun apabila komunikasi bermasalah dalam rumahtangga, akan menyebabkan
pasangan tidak berpuas hati dengan pasangan masing-masing. Maka ada pasangan
yang mengambil tindakan dengan membiarkan bahkan mengabaikan komunikasi
sehingga masing-masing hanya sibuk dengan urusan diri masing-masing tanpa
menghiraukan pasangan.

Ini akan menyebabkan pasangan akan berfikir semula berkenaan dengan tindakan
membina rumahtangga dengan pasangan adalah satu tindakan yang betul. Secara
automatik kepuasan rumahtangga akan menurun.

Sekiranya ia tidak diselesaikan dengan sesegera mungkin, maka ia akan membawa
kepada masalah yang lebih besar dan tidak mustahil akan menyebabkan keruntuhan
rumahtangga.

4. Kepercayaan, Kejujuran & Hormat Lebih Tinggi

Gambar Hiasan : Google

Elemen yang sangat penting dalam rumahtangga. Saya yakin semua pasangan
mengharapkan kejujuran pasangan dalam hubungan. Kejujuran ini akan
menghilangkan kerisauan, menenangkan perasaan dan yakin dengan kebaikan
pasangan.

Banyak rumahtangga yang goyah akibat hilang kepercayaan terhadap pasangan.
Puncanya adalah pasangan yang tidak jujur. Bila hilang percaya maka pastinya tiada
lagi hormat pada pasangan.

Komunikasi yang berkesan adalah elemen penting dalam membina kepercayaan.

Komunikasi dua hala dalam rumahtangga akan mengurangkan persepsi negatif dan
dapat menghindarkan sangka buruk terhadap pasangan. Segala sangka buruk dapat
dirungkaikan dengan komunikasi yang positif yang fokus terhadap penyelesaian
masalah, bukan mencari siapa yang bersalah.

5. Hubungan Bertambah Baik

Gambar Hiasan : Google

Salah satu cara untuk bertambah sayang terhadap pasangan, dan bertambah nilai #akauncinta adalah dengan meluahkan perasaan terhadap pasangan.

Menyatakan perasaan terhadap pasangan akan menyebabkan pasangan akan lebih jelas dengan
perasaan pasangan terhadap dirinya.

Walaupun betul ungkapan “action speaks louder than words”, tetapi bayangkan
gandingan antara “speaks” dan “action” maka akan lebih berbunga-bunga lah hati
pasangan.

Meluahkan perasaan pada pasangan memerlukan kemahiran komunikasi yang
berkesan agar luahan yang dihasilkan tidak disalah tafsir dan tidak sampai
maksudnya kepada pasangan.

Luahan yang berkesan pastinya akan menambah baik hubungan yang sedia ada dan
menyebabkan pasangan merasakan semakin hari semakin sayang.

Kesilapan Biasa Dalam Komunikasi Rumahtangga

Bila kita sebut kesilapan biasa, maksudnya kita telah membiasakan kesilapan
tersebut sehingga terkadang kita tak merasakan bahawa ianya adalah satu kesilapan
pun.

Kita pun terus melakukannya berulang-ulang kali pada suatu masa yang lama.
Tanpa kita sedari pasangan kita menyimpan segala sakit hatinya walaupun kecil
terhadap kita dan mengakibatkan nilai #akauncinta semakin lama semakin susut.

Akhirnya pasangan kita makin kurang berkomunikasi, terasa semakin lama semakin
jauh dan hilanglah keserasian.

Oleh itu mari kita semak kesalahan kebiasaan dalam komunikasi rumah tangga.

  1. Tidak ‘MENDENGAR’ dengan baik

Mendengar ini bunyinya macam biasa sahaja tetapi hakikatnya mempunyai kesan
yang sangat besar terhadap pasangan. Mendengar akan menyebabkan kasih
sayang bertambah, deposit cinta berlaku dalam #akauncinta, dan hubungan akan
kembali bertambah erat.

Mendengar akaan menyebabkan pasangan rasa dirinya dihargai, dilayan, dihormati
dan merasa dirinya penting oleh pasangan.

Bayangkan apabila pasangan tidak mahu mendengar luahan anda pasti anda akan
terasa hati. Lama kelamaan anda merasakan diri anda tidak penting pada pasangan.

Apabila anda tidak mendengar pasangan anda dengan baik, anda akan terlepas isi
percakapan dan luahan pasangan anda menyebabkan anda gagal memahami situasi
sebenar.

Apabila keadaan ini berlaku maka ianya akan mencetuskan hal-hal yang lebih besar
pada masa akan datang.

2. Bercakap Tanpa Berfikir

Ini adalah kebiasaan berlaku terhadap pasangan terutama sekali apabila sedang
berdepan dengan konflik. Apabila sesuatu isu timbul, ianya mencetuskan emosi
negatif seperti marah, kecewa atau sedih.

Apabila emosi ini pula gagal dikawal, menyebabkan komunikasi yang berlaku adalah
komunikasi yang tiada tapisan. Dalam keadaan emosi sedemikian, biasanya katakata yang diluahkan hanyalah mengikut perasaan semata-mata.

Tiada lagi tapisan perkataan bagi menjaga hati pasangan. Yang penting pada masa
ini adalah meluah sahaja tanpa memikirkan kesan. Bayangkan setiap kali bertegang
lidah, pelbagai tuduhan, tohmahan dan kata-kata kesat dikeluarkan.

Pasti hati pasangan akan luka dan terguris. Kalau pasangan meminta maaf setiap
kali kejadian tersebut berlaku maka ia akan mengurangkan sedikit kesan kecederaan
emosi.

Tetapi bayangkan pasangan yang tidak meminta maaf, dan hanya berbuat seperti
biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pasti kecederaan emosi pasangan ini
akan disimpan selama tidak diselesaikan.

Lama-kelamaan anda akan menjadi orang yang lebih sensitif dengan pasangan,
merasa suram dan pudar, baki #akauncinta semakin susut dan berkurangan.
Akhirnya anda menjadi tawar hati dengan pasangan anda.

3. Komunikasi Bersifat Ke’AKU’an

Gambar Hiasan : Google

Hubungan rumahtangga memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak. Komitmen
memahami pasangan juga adalah komitmen kedua-dua belah pihak. Untuk
memahami perlu banyak mendengar.

Namun apabila salah seorang yang mengemudi komunikasi yang bersifat autokratik,
hanya mahu berbincang topik yang dia mahu sahaja, mahu menyelesaikan isu
mengikut kehendak dirinya semata, maka pasti akan ada pihak yang terluka dan
terseksa.

Apabila bahasa pertuturan, pemikiran, perasaan hanya terfokus kepada ‘AKU’ sahaja
maka tiada lagi komunikasi efektif. Proses komunikasi yang berlaku hanya sehala.

Ekspresi perasaan juga akan bersifat sehala. Kemungkinan besar juga kesannya
adalah komitmen terhadap pasangan juga jadi sehala.

Contohnya apabila tiba saat ulang tahun perkahwinan, anda mungkin mengharapkan
pasangan memberikan hadiah mahupun ucapan, tetapi ianya tidak berlaku. Maka
anda akan kecewa dan sedih. Apabila anda menyatakan kepada pasangan anda,
anda hanya mempersoalkan kenapa pasangan anda tidak ingat tarikh ulangtahun,
kenapa tidak buat ucapan dan macam-macam soalan lagi yang timbul.

Yang pastinya pattern soalan ini adalah sama. Iaitu kenapa ‘dia’ atau ‘awak’ atau
‘kamu’. Membabitkan pasangan dan ditujukan kepada pasangan.
Inilah kesilapan yang nampak remeh tapi memberikan kesan yang besar dalam
jangka masa yang panjang sekiranya tidak diuruskan secepat mungkin.

4. Meninggikan Suara

Gambar Hiasan : Google

Hubungan rumahtangga memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak. Komitmen
memahami pasangan juga adalah komitmen kedua-dua belah pihak. Untuk
memahami perlu banyak mendengar.

Tetapi untuk mendengar dengan baik memerlukan pasangan juga menyampaikan
dengan baik. Namun sesetengah pasangan suka meninggikan suara apabila
berbincang.

Walhal perbicangan bersama pasangan tujuannya adalah untuk menyelesaikan
masalah, tetapi rupanya menimbulkan masalah baru kerana tidak mahir dan mampu
mengawal emosi.

Baru nak mula perbincangan sudah pun meninggikan suara. Emosinya tidak stabil.

Apabila suaranya tinggi pasti bunyinya bingit. Apabila bingit, maka segala mesej
yang disampaikan tidak akan sampai kepada penerima.
Itu belum lagi kita lihat dari sudut bahasanya. Dalam keadaan emosi yang demikian
pasti bahasanya juga tidak bertapis. Melukakan hati dan emosi pasangan. Mana
mungkin bahasa yang sopan disampaikan dengan cara yang tidak sopan.

Dalam komunikasi yang penting adalah untuk menyampaikan mesej. Yang pasti
secara fitrahnya tiada manusia yang suka dijerit, ditengking, dijerkah dan segala
bentuk komunikasi berintensiti tinggi iaitu dengan meninggikan suara.

5. Komunikasi Bukan Lisan Yang Negatif

Yang ini mungkin ramai yang tidak perasan betapa pentingnya komunikasi bukan
lisan ini atau disebut sebagai non-verbal communication. Dalam teori komunikasi,
faktor yang paling besar dalam mempengaruhi keberkesanan adalah komunikasi
bukan lisan sebanyak 55% berbanding perkataan hanya 7% sahaja. 38% lagi adalah
modulasi, tona suara dan lain-lain.

Contoh komunikasi bukan lisan adalah bahasa badan. Bahasa badan memang
mempunyai pengaruh yang besar dan menggambarkan perasaan dan emosi kita.

Contohnya kalau anda kecewa, secara automatik anda akan menunjukkan bahasa
badan orang yang kecewa seperti ekspresi muka yang sedih.

Masalah dalam rumahtangga adalah apabila ada pasangan yang tidak jujur dengan
pasangan terhadap emosi dirinya sendiri. Contohnya kalau pasangan anda buat
sesuatu yang anda tidak suka, tetapi secara lisan anda mengatakan anda suka.

Bahasa badan anda pula menzahirkan yang anda tidak suka. Ini akan menyebabkan
pasangan anda keliru dan mengalami kesukaran untuk memahami diri anda.
Dalam tempoh yang lama keadaan ini sekiranya selalu terjadi akan memberikan
kesan kepada emosi pasangan.

Salah satu lagi isu mengenai bahasa badan adalah apabila anda banyak
menggunakan bahasa badan yang bersifat menguasai dan mengarah tanpa anda
sedari. Hal ini bertambah teruk kesanya apabila ianya berlaku daripada isteri kepada
suami.

Sedangkan suami mempunyai ego dan selaku ketua keluarga tetapi diarah oleh isteri
walaupun kemungkinan isteri tidak berniat sedemikian. Hal ini sedikit sebanyak
memberi kesan kepada perasaan dan emosi suami. Apabila hal ini tidak diselesaikan
segera pasti akan berkumpul dan membesar.

Bayangkan diluar sana ada wanita yang lebih lembut, peka dengan emosi suami,
meraikan suami anda sebagai seorang pemimpin yang hebat, bahkan layanan
komunikasi yang diberikan lebih baik dari yang anda beri, maka pasti akan terkesan
kepada suami anda.

6. Banyak Guna Bahasa Menghukum

“Awak ni selalu macam tu”. “Awak memang takkan berubah”. “Semua ni memang
awak punya pasal”. Biasa guna? Seberapa kerap anda guna?
Bahasa ini menggambarkan anda telah bertindak sebagai hakim dan telah
menghukum pasangan anda. Hukuman pula diberikan tanpa perbicaraan. Hakim
pula tidak mahu atau mendengar hanya sebagai syarat terhadap hujah pembelaan.

Bayangkan hal ini berlaku dalam rumahtangga. Pasti yang dituduh akan rasa
kecewa, sedih, dihina, tidak dipercayai dan yang paling teruk adalah segala masalah
yang timbul adalah menjadi kesalahan pasangan semata-mata, bukan kesalahan
bersama.

Jangkaan-jangkan negatif terhadap pasangan akan menyebabkan kita sentiasa
curiga, risau, hati tidak tenang dan yang paling menakutkan adalah hilang
kepercayaan. Hilang kepercayaan akan membawa mudarat yang lebih besar dalam
rumahtangga.

Pasangan anda mungkin pernah melakukan kesilapan, tetapi itu adalah hal lampau
dan dah pun berlaku dan berlalu. Adalah zalim dan tidak adil untuk terus
menghukum pasangan walaupun secara verbal terhadap hal yang telah pun lepas.

Adalah tidak adil juga menghukum pasangan dengan jangkaan dan sangkaan
terhadap hal yang belum lagi berlaku dan anda juga tidak pasti adakah ia akan
berlaku.

Penggunaan bahasa menghukum ini hanya akan menyebabkan pasangan anda
semakin susut baki #akauncinta akibat proses pengeluaran nilai cinta secara
berterusan akibat tindakan anda menggunakan bahasa hukuman ini.

7. Merendah-rendahkan Pasangan

Semua orang ada maruah. Bahkan ada orang sanggup berbunuh dalam
mempertahankan maruah. Pasangan anda juga ada maruah. Maruah ini harus dijaga
dan dipertahankan.

Komunikasi yang berkesan juga adalah komunikasi yang menjaga maruah,
komunikasi yang saling menghormati. Komunikasi sebegini akan memberikan
keyakinan diri, dan juga sebagai tanda anda menyayanginya dengan penuh
penghormatan.

Memandang rendah dan merendah-rendahkan pasangan akan menyebabkan
pasangan anda merasa rendah diri dan hilang keyakinan diri. Bahkan kalau bahasa
yang digunakan agak kasar, ini akan menambah lagi kecederaan emosi pasangan.

Terkadang mungkin anda lakukan adalah dalam bentuk gurauan. Niat juga hanyalah
untuk bergurau, tetapi berhati-hati dalam bergurau agar anda tidak melampau. Kita
tidak akan dapat pastikan secara tepat tahap gurauan kita yang masih boleh diterima
oleh pasangan dan juga sebaliknya.

Bayangkan situasi ini, anda meneguri pasangan anda di dalam restoran McD yang
tengah sesak dengan ramai orang. Dengan nada suara yang tinggi, suara yang kuat,
bahasa yang agak kasar dan bahasa badan yang agak agresif. Akhirnya pasangan
anda menangis di dalam restoran tersebut dan pada masa yang sama semua mata
orang yang ada dalam restoran itu tertumpu kepada anda. Anda terdengar kata-kata
yang mengkritik anda secara sayu-sayu oleh orang sekeliling. Apa perasaan anda?

Yang lebih penting adalah perasaan pasangan anda yang anda tegur. Ini lah antara
punca #pudarcinta semakin kuat kerana pasangan anda sudah merasakan anda
tidak menyayanginya apatah lagi menghormatinya.

8. Menyalahkan Pasangan

Gambar Hiasan : Google

Apabila sesuatu isu timbul, antara reaksi yang muncul pada kita adalah menyalahkan
pasangan. Terus secara automatik kita berfikir dengan ligat dan mengimbau semua
memori kita untuk mencari keadaan dan tindakan pasangan kita yang boleh dikaitkan
sebagai punca isu tersebut timbul.

Setelah ditemui tindakan pasangan yang dianggap sebagai punca, maka anda akan
meratib di bibir setiap kali mengenang atau berkaitan dengan isu tersebut. Ini adalah
tindakan untuk menyelamatkan diri anda daripada memikul beban ‘punca’ kepada
masalah.

Menyalahkan memang mudah dan senang. Tetapi ianya tidak akan menyelesaikan
apa-apa isu walaupun isu itu adalah isu kecil. Malah ia adalah punca kepada
membesarnya isu yang dianggap kecil dan remeh di peringkat awal.

Menyalahkan pasangan menyebabkan kita menutup punca sebenar. Kita menutup
peluang untuk memperbaiki diri. Kita akan semakin lama semakin selesa dengan
tingkah laku yang salah.

Walaupun mungkin benar pasangan anda ada melakukan kesilapan, tetapi itu tidak
bermakna anda boleh terus menghukum dan menyalahkan pasangan anda. Bahkan
ianya akan mencederakan emosi pasangan secara mendalam sekiranya anda
berterusan melakukannya.

Adalah lebih baik difokuskan terus kepada penyelesaian. Berfikir bagaimana cara
untuk mengubah keadaan. Berfikir juga kaedah bagaimana untuk mengelakkam
kejadian yang sama berulang. Berfikir juga bagaimana mencegah situasi yang
berlainan tetapi boleh menimbulkan masalah dan perbalahan yang sama daripada
berlaku.

9. Berusaha Memahami Berbanding Menunggu
Untuk Difahami

Dalam bahasa inggeris disebut juga sebagai ‘take charge’ dengan makna ambil
tanggungjawab. Jangan menunggu dan membiarkan. Jangan mengharap ianya akan
berubah dengan sendiri tanpa sesiapa pun yang mengubahnya.
“Abang tak pernah nak faham perasaan saya!”. “Isteri aku tu, mana pernah tanya
apa yang aku suka dan apa yang aku tak suka. DIa main buat je!”. Ini lah antara ayat
yang biasa kita dengar berkenaan dengan memahami pasangan.

Gambar Hiasan : Google

Mana mungkin anda akan dapat memahami pasangan sekiranya pasangan tidak
memberikan maklumat untuk membantu anda memahaminya. Dan terkadang
pasangan juga tidak tahu apa yang kita mahu tahu tentang dirinya. Akhirnya masingmasing menanti dan mengharapkan pasangan memahami dirinya.

Apabila kita menanti sebenarnya kita mengharapkan keajaiban berlaku. Keajaiban
mungkin berlaku tetapi dalam keadaan yang macam mana? Berapa kerap ia
berlaku? Dan adakah ianya berlaku sepertimana yang kita inginkan?

Apatah lagi tiada keajaiban yang berlaku. Berapa lama harus kita menunggu?
Semakin lama hati semakin sakit sedangkan keadaan tidak berubah. Bahkan pada
satu ketika dirasakan semakin teruk.

Apabila semakin sakit hati semakin kuat kita akan menyalahkan pasangan. Tiada
lagi kebaikan dapat dilihat pada pasangan. Semuanya dikaburi oleh mata yang
hanya melihat keburukan pasangan.

Adakah pada saat ini, saat dan ketika keadaan sudah bertambah teruk, hanya
menanti runtuhnya tiang yang nak dibina, baru kita sibuk nak perbaiki keadaan?
Pada ketika itu risiko dan kejayaan adalah 50-50. Adakah dalam keadaan genting ini
kita mampu menyelamatkan keadaan?

Mungkin kita mahu berusaha dan berikan komitmen pada saat ini, tetapi bagaimana
pula sekiranya pasangan kita tidak lagi mahu meneruskan atau mahu membaiki
keadaan. Hatinya telah tawar setawar-tawarnya. Kemahuannya hanya mahu
membebaskan diri dari ikatan yang hanya penuh dengan bebanan. Apabila situasi ini
berlaku maka akan muncullah pasangan ‘gila talak’ .

10. Mengungkit Kisah Lalu

Mengungkit kebaikan diri atau mengungkit kesalahan lampau pasangan? Yang mana
lebih teruk? Jawapan yang mudah adalah tiada kebaikan dengan mengungkit.
Mengungkit hanya membawa keburukan.Maka elakkan dan jauhkan diri daripada
berbuat demikian.

Ramai yang melihat mengungkit ini sebagai satu peringatan kepada pasangan.
Samada tentang kebaikan diri atau kesalahan pasangan. Tujuan supaya pasangan
sedar dan berubah.

Tetapi ramai yang lupa tentang kesan terhadap emosi, psikologi dan hati pasangan.
Bahkan kalau anda mengungkit kesalahan pasangan, anda juga terkesan dengan
memori tersebut.

Sebagai contoh apabila anda mengungkit tentang kesalahan pasangan, anda akan
ingat balik secara jelas momen atau keadaan sewaktu kesalahan itu berlaku atau
sewaktu anda tahu kesalahan tersebut berlaku.

Ingatan anda bukan hanya muncul secara visual dan auditori tetapi juga emosi dan
perasaan yang sama dapat anda rasakan kembali. Sakit hati, pedih, kecewa, sedih
dan pelbagai lagi emosi akan anda rasai semula.

Semakin banyak anda mengungkit maka semakin kerap anda merasakan kembali.

Maka dalam masa yang sama semakin kuat ingatan tersebut kerana asyik diulangulang.
Ini akan menyebabkan anda akan sentiasa curiga, tidak yakin kepada pasangan,
bersangka buruk dan segala persepsi yang berbentuk negatif.

Sedangkan kemungkinan pasangan anda sudah insaf dan mula berubah, tetapi
perubahan yang dilakukan tidak anda sedari kerana fikiran dan ingatan anda hanya
terfokus kepada kisah lampau. Bayangkan bentuk komunikasi yang terhasil daripada
banyaknya mengungkit. Ini juga menyebabkan pasangan anda putus asa untuk
berubah dan membiarkan sahaja.

11. Suka Membanding-bandingkan

Tiada orang yang suka apbila dibanding-dibandingkan. Ini kerana pasangan kita
kebiasaanya akan membandingkan kita dengan orang yang lebih baik daripada kita.
Manakala kita pula suka membandingkan diri kita dengan orang yang lebih banyak
kekurangan berbanding dengan diri kita.

Pasangan biasanya suka membandingkan anda dengan orang lain bertujuan supaya
anda berusaha dan berubah menjadi seperti mana contoh bandingan yang diberikan
oleh pasangan anda.

Tetapi dalam tidak sedar sebenarnya perbandingan ini juga melukakan hati anda
sekiranya perbandingan ini dilakukan secara tidak berhati-hati. Apabila salah
caranya anda akan merasakan bahawa anda terlalu banyak kelemahan di mata
pasangan anda.

Ini akan menimbulkan syak wasangka bahawa pasangan anda lebih menyukai orang
lain berbanding dengan diri anda sendiri.

Perbandingan juga meyebabkan anda merasakan pasangan anda menerima anda
bukan seadanya. Menyebabkan anda terpaksa menjadi orang lain. Ini pastinya
bukan sesuatu yang selesa untuk dilakukan oleh sesiapa pun.

Perasaan tidak selesa dan rimas ini akan menyumbang kepada rosaknya komunikasi
yang akhirnya membawa kepada keruntuhan rumahtangga.

12. Sindir-menyindir

Sindiran ini adalah merupakan ekspresi dalam bentuk komunikasi emosi marah,
geram, sedih dan kecewa. Dalam bahasa yang mudah ianya adalah ekspresi emosi
yang negatif.

Ramai dikalangan suka menyindir pasangan berbanding berterus terang. Menyindir
pada mereka lebih mudah dan tidak menyakitkan wal hal terkadang ada pasangan
yang lebih suka berterus terang berbanding dengan menyindir.

Mesej dalam sindiran biasanya tidak jelas dan mempunyai maksud yang pelbagai.
Kalau mesejnya jelas, penerima pula akan sakit hati dengan sindiran lalu terus
melupakan mesej sebenar. Ingatan hanya tertumpu kepada sakit hati terhadap
sindiran.

Niat menyampaikan teguran dalam gurauan mungkin menjadi pendorong kepada
sesetengah pasangan berbuat sindiran. Tetapi kesan sampingan juga mesti diteliti
dan diambil kira.

Adalah lebih baik berterus terang dan membuat teguran secara jelas, matang dan
penuh kasih sayang. Pasangan anda bukan orang luar tetapi adalah ahli keluarga
yang mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap anda secara rasmi. Maka sebab
itu sebarang isu yang timbul perlu diselesaikan dengan jelas bukan dalam bentuk
sindiran.

Penutup

Sebelum kita melihat apakah komunikasi berkesan, adalah lebih penting untuk
memperbetulkan kesilapan dan kesalahan terlebih dahulu. Ini kerana secara
psikologinya pasangan kita akan lebih mengingati kesalahan kita yang besar
berbanding dengan kebaikan kita yang besar.

Gambar Hiasan : Google

Oleh yang demikian fokus memperbaiki kelemahan dan kesalahan adalah lebih
utama sebelum kita memikirkan tentang cara yang terbaik dalam komunikasi
rumahtangga.

Tiada hal yang mudah dalam rumahtangga melainkan semuanya memerlukan
kesungguhan, komitmen dan halatuju yang jelas dalam mengemudi dan melayari
rumahtangga.

Kesilapan itu normal, kesalahan itu fitrah dan kelemahan itu biasa sebagai seorang
manusia. Yang hebat dan luar biasanya seseorang itu apabila mendepani
kelemahan dan kesalahan pasangan, ia memilih untuk menjadi pengubah,
perangsang kepada perubahan, motivator kepada pasangan untuk mengubah diri
menjadi lebih baik.

Pasti ganjaran yang sangat besar atas kesabaran, kesyukuran, ketahanan dalam
melalui proses merubah diri untuk merubah pasangan. Dengan kekuatan ikhtiar yang
disandarkan kepada kekuatan doa dan tawakkal, insyaAllah Allah akan bantu
memberikan jalan keluar kepada segala kemelut yang anda hadapi.

Saya bermohon pada Allah untuk membantu anda, Allah permudahkan segala
kesulitan yang anda hadapi, Allah berikan bantuan dari pelbagai bentuk, Allah
berikan jalan keluar, Allah lapangkan hati anda, Allah tenangkan jiwa anda, Allah
kuatkan semangat dan motivasi anda untuk terus berusaha. Moga Allah limpahkan
juga cinta dan kasih sayangNya kepada anda atas usaha memperbaiki rumah
tangga kerana Allah.

Artikel asal seperti di link berikut:

Ebook 12 Kesilapan komunikasi dalam rumahtangga

FB Page Fadzli Aziz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *