Maksud Ummahatul mukminin
Maksud Model ummahatul mukminin adalah satu penanda aras agar dapat dijadikan panduan buat wanita.
Pertama, ummahatul mukminin ini terdiri daripada wanita solehah yang tidak kira menceburkan diri di dalam walau apa sahaja bidang. Sayyidatina Khadijah r.a mungkin dalam bidang keusahawanan. Bidang keilmuan pula seperti Sayyidatina Aisyah r.a. Bidang kebajikan seperti Sayyidatina Hafsah r.a dan sebagainya. Mereka ini sentiasa menampilkan kesolehan dalam bidang dan aspek masing-masing.
Sebagai wanita muda, sangat penting kita meletakkan penanda aras untuk menjadi wanita solehah. Cuma cabaran kita pada hari ini adalah untuk menterjemahkan akhlak solehah dalam zaman yang terbuka dan mencabar seperti sekarang.
Kedua, ummahatul mukminin adalah wanita yang sangat bijaksana. Susuk tubuh Sayyidatina Khadijah r,a bukan sahaja usahawan yang berjaya. Malah, beliau juga menyokong setiap perjuangan Rasulullah S.A.W dan mengawal jentera di bawahnya. Manakala. Sayyidatina Aisyah r.a, sampai umur tua beliau terlibat dengan politik. Jadi, ibrah di sini, kita semua sebagai wanita muda hendaklah rajin mencari ilmu. Wanita perlu menguasai dan mengetahui isu semasa kerana tugas mencorakkan anak-anak dan generasi adalah tanggungjawab kita. Kalau kita sendiri blur tentang isu semasa, macam mana kita hendak melahirkan generasi yang berjaya.
Ketiga, Ummahatul mukminin ini terdiri daripada wanita yang fleksibel, tahan lasak, sentiasa ke depan.
Keempat, Ummahatul mukminin mempunyai sifat prihatin. Prihatin di sini bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi yang banyak menggerakkan kerja-kerja kebajikan pada zaman Rasulullah S.A.W di Madinah itu adalah ummahatul mukminin. Wanita muda perlu banyak berbakti dan aktif menyertai masyarakat. Maksudnya, keperluan untuk bergaul dengan manusia barulah kita akan tahu apa yang sedang berlaku, peroleh nasihat dan bermacam-macam lagi.
Kelima pula yang paling penting adalah wanita sejahtera. Model ummahatul mukminin terdiri daripada wanita yang seimbang dan sejahtera. Mereka ini pandai menyeimbangkan antara tugasan hakiki sebagai pemimpin dalam rumah tangga dan dalam masa yang sama seimbang ilmu dunia akhirat. Kemudian, boleh adapt dengan multiple job yang mereka terpaksa pegang dan tahu bila masa mereka perlu mengganti atau bila mana mereka perlu berebut dengan lelaki untuk peroleh pahala dan ganjaran ibadat yang terbaik dan sebagainya.
Sangat penting bagi wanita muda pada hari ini telusuri sejarah dan sirah para ummahatul mukiminin. Kemudian, melibatkan diri dengan Jemaah dan kumpulan. Memang pekerjaan yang baik kita perlu lakukan secara beramai-ramai sebagai contoh dengan NGO untuk mengelakkan diri kita daripada terus terhanyut dan terleka. Semoga menjadi seorang wanita yang tersusun, kuat dan beragama sebagai perisai dan pelindung diri dalam mendepani zaman terbuka yang penuh fitnah ini.
Apa perbezaan antara adil, saksama, dan sama rata kepada semua pihak.
Allah S.W.T berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 97
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّنْ ذَكَرٍ اَوْ اُنْثٰى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهٗ حَيٰوةً طَيِّبَةًۚ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ اَجْرَهُمْ بِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ
Barangsiapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.
Dalam islam, Allah akan memberikan balasan selayaknya bergantung kepada setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang itu. Jadi, isu keadilan ditunjukkan di sini adalah tanpa mengira jantina.
Bila disebut keadilan dan wanita, sudah pasti isu yang sering kali dibangkitkan adalah isu rumahtangga. Antaranya, isu si isteri kena taat kepada suami seratus peratus dan katanya hukum hakam banyak memihak kepada lelaki.
Keadilan dari sudut pandang islam
Pertama, adil itu maksudnya persamaan hak dan keadilan kepada sifat dan fitrah manusia sama ada antara satu sama lain atau berkaitan dengan keadilan hakim dalam menguruskan kes. Maknanya, meletakkan keadilan itu mengikut sifat dan keperluannya. Wanita tidak diberikan tanggungjawab sebagaimana lelaki. Tetapi, sekiranya wanita mengambil alih tugas dan posisi lelaki tidak menjadi masalah selagi mana tidak bercanggah dalam islam. Sifat dan fitrah sangat memainkan peranan yang besar dalam konteks keadilan wanita dan lelaki.
Kedua, maksud adil adalah seimbang, harmoni dan kehidupan yang terbina atas prinsip-prinsip kehidupan yang seimbang. Bila kata seimbang, tidak semestinya dengan kadar sama. Lelaki melengkapi wanita. Wanita mungkin ada lebihnya kepada emosi yang membolehkan wanita itu mengasuh, mentarbiah dan ada visi dan misi. Manakala, lelaki pula lebih kepada akal. Contoh lain dalam rumahtangga adalah anak melengkapi ibu dan bapa. Suami melengkapi isteri tidak kira dalam konteks keluarga kecil atau besar.
Ketiga pula, penunaian hak kepada pemilik yang sepatutnya. Maknanya, adil terjadi bila mana kita menunaikan hak orang lain. Isi utama di sini adalah hak dan tanggungjawab. Contohnya, setiap orang sama ada lelaki ataupun wanita mempunyai hak dan tanggungjawab untuk dilaksanakan. Itulah yang dikatakan sebuah keadilan.
Keempat, keadilan melaksanakan aturan Allah. Dalam islam, adil itu bukan bermaksud adil semata-mata kepada manusia, tetapi adil berdasarkan maslahah dan apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T.
Bertentangan dengan perkataan keadilan adalah tidak sama.
Pandangan mengenai sebuah dakwaan bahawa undang-undang Syariah tidak adil buat wanita sebagai contoh dalam isu perkahwinan bawah umur yang dicanang bahawa perlindungan undang-undang Syariah terhadap perempuan islam bawah umur adalah lemah dibandingkan dengan hukuman sivil undang-undang bukan islam.
Tuduhan bahawa terdapat undang-undang Syariah tidak adil terhadap wanita adalah salah. Perkara ini merupakan satu tuduhan yang melulu dan tidak berpijak di atas asas ilmu dan yang dibuat secara rambang.
Perkahwinan di bawah umur yang sebenarnya sama ada islam atau bukan islam adalah sama-sama tidak dibenarkan di Malaysia. Tetapi mendapat pengecualian apabila telah mendapat kebenaran daripada beberapa autoriti baik dalam kalangan muslim mahupun bukan muslim.
Perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang islam, mereka memerlukan kebenaran daripada mahkamah Syariah dan ibu bapa. Manakala, bukan islam pula mereka perlu dapatkan kebenaran daripada ketua Menteri.
Bagi orang islam, uruskan keluarga terletak di bawah enakmen kekeluargaan islam. Bagi non muslim, urusan kekeluargaan terletak di bawah akta perbaharui undang-undang perkahwinan dan penceraian 1976 atau kita sebut Law refer act.
Enakmen kekeluargaan islam, undang-undang Syariah menetapkan had umur minimum perkahwinan orang islam adalah pada umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Semua ini berbeza mengkikut negeri dan kebanyakannya adalah sama.
Mengikut section 10 Law Refer Act ataupun untuk orang bukan islam, umur minimum untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun. Tetapi, kalau hendak kahwin juga di bawah had umur yang ditetapkan, mereka memerlukan kebenaran bertulis daripada ketua Menteri
Statistik menunjukkan, perkahwinan bawah umur pada tahun 2018 seramai 1856 terdiri daripada orang islam dan bukan islam. Negeri yang paling tinggi perkahwinan bawah umur melibatkan bukan islam adalah Pahang seramai 102 kes. Manakala, negeri yang paling tinggi perkahwinan bawah umur melibatkan muslim adalah di Sabah seramai 324 kes. Jadi, ia mengambil kira populasi islam adalah jauh lebih besar berbanding orang bukan islam di Malaysia.
Maka, perkahwinan dan bawah umur dalam kalangan orang islam atau bukan islam dalam peratusan merisaukan adalah sama sahaja. Sebagai contoh, keciciran dalam pendidikan, menjerumuskan perempuan bawah umur kepada domestic violence atau keganasan rumah tangga.
Apa yang lebih penting, faktor-faktor yang menjurus kepada perkahwinan bawah umur antaranya adalah:
- Faktor kemiskinan.
- Faktor kurang akses kepada pendidikan.
- Faktor kurang akses kepada kesihatan dan reproduktif.
- Norma sosial
- Undang-undang yang membenarkan perkahwinan bawah umur.
Jadi, faktor-faktor di atas yang perlu diberi tumpuan berbanding kepada kita menaikkan had umur perkahwinan.
Sama juga dengan perjalanan hukum undang-undang yang lain sama ada Syariah mahupun sivil, memerlukan pembuktian dan kekuatan kes untuk mahkamah memberi keputusan untuk memihak kepada pihak itu dan pihak ini. Jadi, tidak ada istilah mahkamah Syariah tidak adil terhadap wanita. Jika ada, ia adalah salah, tindakan melulu dan tidak berasaskan fakta.
Sekiranya berdepan dengan masalah, kepada siapa yang sesuai untuk dirujuk
Apa yang penting sekali adalah walau apa pun masalah yang menimpa, pastikan anda mendapat informasi yang tepat untuk menyelesaikan masalah itu. Informasi yang tepat ini berkait rapat dengan ilmu. Hal ini demikian kerana, ilmu ini akan mengangkat martabat wanita ke peringkat yang lebih tinggi serta boleh melindungi diri daripada menjadi mangsa kenaifan. Sebaik-baik contoh tauladan adalah ummahatul mukminin Aisyah r.a yang merupakan ikon ilmu buat semua golongan wanita.
Insya-Allah, dengan ilmu, kita akan dapat selesaikan banyak masalah. Kita akan mampu berdiri tegak dan profesional apabila kita mempunyai ilmu.
Sayyidatina Aisyah r.a merupakan isteri Rasulullah S.A.W yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W iaitu sebanyak 1210 hadis. Beliau juga merupakan tempat rujukan para sahabat r.a. yang besar dan bagi yang bertanyakan soalan berkaitan agama seperti fiqh, faraid dan perkara-perkara yang berkait dengan amalan Rasulullah S.A.W ketika berada di dalam rumah.
Urwah bin Zubair r.a menyatakan, ‘Aku tidak pernah melihat orang yang lebih faqih di dalam ilmu agama, perubatan dan syair berbanding Aisyah r.a’.
Isu semasa berkaitan wanita
Sekarang ini ramai wanita yang menjadi mangsa sindiket penipuan kesan daripada kurang cakna mengenai isu semasa. Sedangkan pihak polis sudah banyak kali memperingatkan rakyat terutama sekali wanita melalui platform media massa termasuklah bentuk iklan di kaca televisyen agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan ini.
Para wanita sekalian, kita perlu gunakan kelebihan media elektronik yang ada untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dan ambil tahu mengenai isu semasa.
Buat para wanita yang menjadi mangsa keganasan ataupun didera, anda boleh hubungi talian e-kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 15999 ataupun anda juga boleh terus laporkan kepada Polis ataupun kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jangan takut untuk dapatkan bantuan. Jangan serahkan kehidupan anda kepada kebinasaan.
- Cakna dengan informasi semasa.
- Tambahkan ilmu. Bukan hanya ilmu agama, tetapi ilmu berkenaan wanita dan menggunakan platform apa.
- Dapatkan bantuan daripada pihak berautori jika sekiranya anda menghadapi masalah-masalah yang melibatkan kezaliman.
Semoga bermanfaat.
Artikel disediakan oleh penulis wk.com
Rujukan: Majlis Wanita Islam YADIM