Israk Mikraj Ibrah Buat Wanita

Perkara pertama, kita perlu jadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan. Hal ini kerana peristiwa israk mikraj ini antaranya berkaitan dengan peristiwa rohani yang mana kita sebagai manusia biasa kadang kala susah hendak faham. Hanya individivu yang melaluinya sahaja yang lebih memahaminya.

Kedua, israk mikraj ini berkait dengan perkara ghaib. Perkara ini di luar batas akal biasa. Disebabkan perkara pertama dan kedua inilah, kita perlu al-quran dan hadis sebagai rujukan utama untuk dapatkan perincian.

Ketiga, kalau perasan setiap kali penulisan ilmiah sama ada di internet atau tidak terdapat banyak benda yang telah ditokok tambah mengenai peristiwa israk mikraj. Termasuklah, dalam kalangan orientalis yang banyak mencampur aduk sehingga makin mengelirukan serta cerita yang sebenar menjadi semakin tersasar. Jadi, para pembaca dikehendaki memilih laman sesawang yang diyakini kesahihannya sebelum membaca.

Dalam al-Quran, terdapat dua surah menceritakan peristiwa israk dan mikraj.

Pertama, Surah al-Israk ayat 1 menggambarkan proses Israk. Manakala, Surah An-Najmu ayat 13 hingga 18 menceritakan tentang proses Mikraj. (Boleh rujuk al-Quran surah al-Israk dan An-Najmu)

Masyhurnya, peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada 27 Rejab.

Proses memperjalankan Nabi Muhammad S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa berlangsung dalam 1 malam bergerak secara roh dan jasad untuk menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.

Proses yang berlaku juga, Rasulullah naik ke Sidratul Muntaha bertemu Allah S.W.T dan menerima perintah solat.

Apakah plot-plot penting israk dan mikraj secara ringkas

  1. Rasulullah S.A.W diperjalankan menaiki Buraq dengan batang tubuh baginda daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa diiringi oleh malaikat Jibril.
  2. Apabila baginda Rasulullah S.A.W sampai ke Baitul Maqdis, baginda menjadi imam kepada para Nabi lain.
  3. Baginda tambat Buraq di pintu masjid kemudian berlakulah peristiwa sidratul muntaha. Pintu langit terbuka satu-satu untuk memberi laluan kepada baginda Rasulullah S.A.W.
  4. Mula-mula Rasulullah S.A.W bertemu dengan Nabi Adam a.s dan baginda diakui oleh Nabi Adam a.s sebagai Rasul akhir zaman.
  5. Kemudian, di sebelah kanan, Rasulullah S.A.W diperlihatkan macam mana orang yang syahid. Di sebelah kiri pula, Rasulullah S.A.W diperlihatkan macam mana seksaan-seksaan kepada orang yang derhaka kepada Allah S.W.T.
  6. Naik ke langit kedua, baginda bertemu dengan Nabi Yahya a.s dan Nabi Isa a.s. Proses yang sama berlaku, kerana kedua-duanya memperakui kerasulan Rasulullah S.A.W.
  7. Kemudian, baginda naik pula ke langit ketiga, bertemu pula dengan Nabi Yusuf a.s. Baginda juga memperakui kerasulan Rasulullah S.A.W.
  8. Langit keempat, bertemu dengan Nabi Idris a.s sama juga prosesnya.
  9. Langit kelima, Rasulullah bertemu dengan Nabi Harun bin Imran a.s sama juga memperakui kerasulan Rasulullah S.A.W.
  10. Rasulullah S.A.W naik pula ke langit yang keenam, di sini baginda bertemu dengan Nabi Musa a.s.
  11. Kemudian setelah melepasi, Nabi Musa a.s pun menangis. Lalu ditanya kepada Nabi Musa a.s kenapa menangis. Baginda Nabi Musa a.s menjawab, baginda menangis kerana Umat Nabi Muhammad S.A.W lebih ramai yang akan memasuki syurga Allah S.W.T.
  12. Apabila naik ke langit ketujuh, Rasulullah S.A.W bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s.
  13. Peristiwa Sidratul Muntaha.
  14. Ke Baitul Makmur.
  15. Bertemu Allah S.W.T. Berlakulah dialog antara Allah S.W.T dan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Ketika inilah, Nabi Muhammad S.A.W menerima perintah ibadah Solat sebanyak 50 waktu.
  16. Rasulullah turun di langit keenam, Nabi Musa a.s menasihati Rasulullah S.A.W agar minta dekat Allah untuk hendak kurangkan bilangan solat. Akhirnya, tinggal 5 bilangan solat.

Ibadah-ibadah yang lain disebutkan dalam al-quran dan hadis dan diterangkan oleh Rasulullah S.A.W. Contohnya, Faraid, Zakat, Puasa dan lain-lain. Tetapi, perintah solat ini istimewanya diperintahkan khas dalam Israk dan Mikraj untuk berhubung direct dengan Allah S.W.T.

Sebab itu, solatlah jika ditimpa masalah. Solatlah jika masih lagi ada masalah dengan Allah dan manusia. Hal ini kerana, dengan mendirikan solat boleh mengubah banyak benda. Solat yang betul boleh mencegah diri kita dari melakukan perkara yang dimurkai Allah S.W.T.

Islam adalah agama yang praktikal dan realistik.

Beberapa ibrah dari peristiwa israk mikraj terutama buat Wanita

Pertama, sangat penting dalam kehidupan manusia untuk memperolehi perjalanan rohani. Ibrahnya kita ambil dari perjalanan Rasulullah S.A.W. Sepanjang baginda memperjuangkan islam, baginda didokong oleh isterinya yang tercinta Sayyidatina Khadijah r.a dan bapa saudara baginda Abu Talib.

Walaupun Rasulullah S.A.W menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi daripada kaumnya sendiri termasuk kaum kerabatnya sendiri, Allah izin baginda dilindungi oleh Khadijah r.a dan Abu Talib.

Buat kaum wanita sekalian, ibunda kita Sayyidatina Khadijah r.a merupakan ikon yang perlu kita contohi kerana kesetiaan dan dokongan tidak berbelah bahagi yang telah diberikan kepada Rasulullah S.A.W dalam memperjuangkan islam.

Di sini menunjukkan kita juga mempunyai amanah dan satu tugasan yang besar dalam memastikan dalam keluarga kita lahir pejuang-pejuang agama Allah. InsyaAllah dengan kekuatan anak-anak kita, Islam akan terus bangkit pada masa akan datang.

Pentingnya keluarga dalam mendokong dan menyokong gerak kerja memperjuangkan agama Allah dalam bidang kepakaran masing-masing.

Setelah Sayyidatina Khadijah r.a dan Abu Talib telah wafat, tahun tersebut telah menjadi tahun kesedihan Rasulullah S.A.W. Jadi, Allah memujuk Rasulullah S.A.W dengan perjalanan rohani dan fizikal iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Kepentingan musafir antara satu bentuk perjalanan rohani demi mengembalikan kekuatan dan semangat baru dalam diri. Ujian yang dihadapi oleh susuk tubuh baginda Rasulullah S.A.W sebelum ini adalah satu bentuk proses tarbiah.

Hikmah disebalik itu, kebesaran dan betul jalan yang dilalui supaya kita terus istiqamah, dapat semangat untuk berjuang. Perjalanan memuliakan dan mengangkat martabat Rasulullah S.A.W.

Kedua, cara orang islam berhibur.

Ketiga, hakikat kebesaran Allah. Sebenarnya kita terlalu kerdil. Semua dikawal oleh Allah S.W.T.

Keempat, besarnya Ibadah solat. Jika kita mahukan anak yang baik, jagalah ibadah solat. Rasulullah S.A.W juga setiap kali hendak melakukan sesuatu, ataupun berdepan dengan sesuatu, Rasulullah S.A.W sentiasa akan mendirikan solat. Jika kita mahu memohon sesuatu dengan Allah, kita kena sabar dan solat. Solat ini juga susah kecuali orang yang kusyuk. Cuba fikirkan bagaimana mahu memastikan kita dan seisi keluarga dapat melaksanakan solat yang kusyuk.

Kelima, kepentingan masjid Nabawi, Masjidil Aqsa dan Masjidil Haram. Ketiga-ketiga ini adalah perjalanan wajib buat orang islam yang berkemampuan. Masjid sangat penting dalam membina kekuatan umat islam. Masjid juga adalah pusat penyebaran takwa dan dakwah yang hebat. Jadi, tolonglah hidupkan pusat-pusat islam, dan masjid tempat masing-masing.

Keenam, Israk mikraj peringatan buat Wanita. Rasulullah S.A.W melihat dalam neraka kebanyakannya adalah orang fakir jiwa, dan agama. Bila menjadi fakir di sini juga bermaksud orang yang tidak mahu menerima kebenaran, tidak mahu mempraktikkan islam, kecenderungan untuk memperbaiki diri juga rendah dan mudah menjadi hamba dunia. Kebanyakan penghuni neraka juga adalah wanita. Buat wanita, banyakkan istighfar dan bersedekah. Selain itu, kena jaga hubungan dengan suami. Maksud wanita kurang akal dan kurang agama bukan bermaksud mahu merendahkan wanita. Nabi Muhammad S.A.W pesan pada kita sedemikian kerana tugas dan tanggungjawab kita sangat besar. Kekuatan keluarga terletak kepada kebijaksanaan wanita.

Semoga artikel kali ini memberi inspirasi buat kita semua terutama dalam berperanan mendidik dan melahirkan pejuang-pejuang agama Allah. InsyaAllah. Semoga bermanfaat.

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Rujukan: Ustazah Asmak Husin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *