Kids Final

“Mama… dia perempuan ke lelaki?” Tanya si anak sulung sambil anak mata mengekori susuk tubuh itu.

” Kenapa muka dia macam lelaki?”

“Eh, suara dia macam lelaki la! Tapi dia pakai lipstik? Kenapa dia pakai skirt?”

Saya dan adik perempuan tanpa rasa bersalah menoleh ke arah lelaki perempuan itu. Kami ketawa. Entah kenapa kami ketawa. Mungkin keliru. Mungkin terasa pelik. Fitrahnya seperti ada yang tidak kena. Begitulah.

Bukan sekali kami bertemu dengan dia. Banyak kali. Berkali-kali juga mama menegur kami untuk tidak melihat si dia. Setiap kali itu jugalah sengatan jari-jemari mama hinggap di tangan atau kaki kami.

Gambar Hiasan: Majalah Solusi Edisi 119

Masyarakat Bermula Dengan Anak Kita

Apabila mengimbau memori, teringat pula zaman sekolah menengah 25 tahun yang lalu. Perempuan sesama perempuan yang mengaku saling bercinta antara satu sama lain, manakala zaman kolej ada kawan-kawan yang terdiri dari kelompok mak nyah. Hati tertanya-tanya,

” Apa yang lompang sebenarnya?”

Antara perkara penting yang perlu diajar kepada anak-anak agar mereka tidak terperangkap dalam kekacauan pemikiran dan kepercayaan berkaitan jantina dan gender ialah:

Perbezaan Biologi mengikut jantina

Anak-anak perlu diajar tentang perbezaan lelaki dan wanita dari sudut biologi dan kelebihan struktur tubuhnya seawal usia tiga tahun. Tidak cukup sekadar mengajar anak tentang fungsi dan perbezaan tubuh itu sendiri.

Tingkah Laku Androgini

Sifat ‘Androgini’ ini bermaksud sifat fitrah. Lelaki terkenal dengan sifat maskulinnya. Wanita pula terkenal dengan sifat femininnya. Antara pendidikan versi Androgini anak-anak gaya nabi:

a) Bermain anak patung

Tiada salah. Bahkan boleh sahaja anak lelaki bermain dengan anak patung. Cuma ibu ayah perlulah memilih jenis patung yang sesuai dengan fitrah anak-anak. Tunjukkan juga cara bermain seperti tiada istilah memijak, mencampak, membaling atau menumbuk walaupun anak lelaki yang bermain anak patung itu.

b) Aktiviti Memasak

Tidak salahpon anak lelaki suka dengan aktiviti memasak. Ajarkan mereka sama sepertimana kita ajar anak perempuan tentang adab memasak. Terangkan juga kepada mereka kelebihan orang yang memasakkan dan menghidangkan makanan yang halal kepada orang lain. Perlu jelas, lelaki yang handal memasak tidak hilang maskulinnya.

c) Silat dan Tae Kwan Do (Martial Arts)

Zaman kini, wanita juga ramai melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri. Selain itu, tidak dilupakan juga aktiviti-aktiviti lasak yang lain sama seperti apa yang diceburi para lelaki di luar sana. Peranan kita sebagai ibubapa untuk menjelaskan kepada mereka adab-adabnya. Bilakah waktunya? Apakah kepentingannya? Anak juga perlu tahu bahawa lasaknya dia bagai seorang lelaki maskulin dalam medan tempur sama sekali tidak menjadikannya seorang lelaki atau memberi dia signal bahawa dia perlu berpakaian sama seperti seorang lelaki untuk nampak sasa.

Bimbingan perlu sentiasa diberi agar sentiasa dapat menilai dan sedar perbezaan antara tanggungjawab, adab dan perkaitannya sama ada dengan gender atau berlainan jantina.

Sumber : freepik.com

Adab Berkomunikasi

Ibubapa adalah contoh tauladan yang paling memberi kesan kepada anak-anak. Bayangkan seawal usia bayi atau bangun dari tidur, karakter ibubapa akan lekat di ingatan anak-anak. Cara ibubapa berkomunikasi, respons terhadap minat, tingkah laku dan emosi akan memberi kesan kepada proses tumbesaran mereka.

Selain itu, anak perlu diajar untuk tidak hidup dalam budaya melatah, mengutuk ataupun bergurau dengan bahasa hukum gender. Saya berikan beberapa situasi yang mungkin juga sering dijadikan bahan jenaka:

Contoh:

“Apabila anak lelaki menangis, orang kata, “Ah, macam perempuan!” Orang lelaki tak menangis.”

Apabila anak lelaki mahu baju yang cantik-cantik, orang kata, “Kau ni dah macam perempuan!”

Apabila anak perempuan lantang suaranya, orang kata, “Kau tu perempuan. Ikut je!”

Nampak simple macam tidak ada apa-apa. Lama-lama akan menjadi barah jika tidak diubah dan dikawal.

Kaedah didikan yang terbaik adalah kaedah yang diguna oleh baginda Rasulullah SAW. Inshaa Allah.

Semoga bermanfaat.

……………….

…………………..

Artikel telah disunting oleh penulis wk.com. Artikel asal boleh didapati di Majalah Solusi Edisi 119

Penulis asal Nur Khairunnisa Iskandar selaku pengasas Abounur Kids.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *