
Puding diraja ini memang terkenal di Negeri Pahang. Ia juga dikenali sebagai makanan santapan untuk Kerabat Diraja Pahang ketika waktu dahulu. Hidangan ini merupakan antara pencuci mulut yang sedap, tambah-tambah lagi menikmatinya ketika sejuk. Puding diraja ini sangatlah sesuai untuk dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut yang istimewa. Bahan-bahan yang digunakan juga tidaklah merumitkan.

BAHAN-BAHAN YANG PERLU DISEDIAKAN:
Bahan Pisang:
- Pisang lemak manis – sesisir (belah 2)
- Marjerin – 1 sudu
Bahan Jala Emas:
- Gula – 1 cawan
- Air – 1 cawan
- Daun pandan – sehelai
- Kuning telur – 5 biji
Bahan Kastard:
- Susu cair – 1/2 tin
- Tepung kastard – 1/2 sudu teh
- Gula – 1/2 cawan (boleh gunakan lebihan air gula untuk buat jala emas dan tambahan lagi 1 sudu besar)
- Pewarna kuning telur
- Air – 1/2 cawan
- Esen vanilla
- Daun pandan
Bahan Hiasan:
- Gajus
- Kismis
- Prunes
- Ceri hijau
- Ceri merah
CARA BUAT PUDING DIRAJA:
Hidangan Pisang:
- Mula-mula pisang perlu digoreng dahulu dalam minyak yang dicampurkan marjerin.
- Goreng pisang sampai sekadar merah-merah. Kemudian ketepikan.

Jala Emas:
- Kemudian buat jala emas pula. Caranya, kacau kuning telur hingga rata, selepas itu tapiskan supaya lebih halus.
- Kemudian masukkan dalam piping bag.
- Dalam periuk, didihkan air bersama dengan gula dan juga daun pandan yang disimpulkan.
- Apabila sudah mendidih, keluarkan daun pandan.
- Picitkan kuning telur tadi secara melingkar dalam air rebusan ini dan biarkannya masak.
- Selepas itu angkat dan sejukkan.

Kuah Kastard:
- Masukkan kesemua bahan dalam periuk dan masakkan seketika sehingga pekat.
- Dalam bekas atau mangkuk, masukkan pisang dahulu di dasarnya.
- Kemudian masukkan jala emas melingkar di atas pisang.
- Susun bahan hiasan atau taburkan di atas jala emas.
- Akhir sekali, siramkan dengan kuah kastard.

Sebelum dihidangkan, sejukkan terlebih dahulu untuk rasa yang lebih sedap. Kuah kastard yang disejukkan itu juga akan menjadi lebih memekat.
Semoga perkongsian ini dapat memberi idea kepada anda dalam menyediakan hidangan yang melazatkan buat insan yang tersayang.
Kredit : portmakan.com