Belaian Agung Buat Sang Hawa Millenial

BELAIAN 17: TAK MAMPU JANGAN NIKAH


Ibn Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berwasiat kepada para pemuda:

يا يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّه له وِجَاءٌ

Wahai sekalian pemuda! Sesiapa yang mampu maka kahwinlah. Sesungguhnya ia lebih menjaga mata dan memelihara kemaluan. Namun yang tak mampu maka berpuasalah. Sesungguhnya ia pelindung.

[HR Bukhari & Muslim]


✳KEMAMPUAN

Gambar Hiasan : Google

Selain dari kriteria calon pasangan, perlu lihat juga pada kemampuan diri untuk berkahwin. Perkara ini lebih dikhususkan kepada lelaki kerana tanggungjawab utama memberi nafkah adalah kepada kaum Adam.

Walaubagaimanapun, perubahan gaya hidup di era moden memaksa tanggungjawab ini dikongsi antara lelaki dan wanita. Tidaklah salah, tetapi perkara ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kerukunan rumahtangga.

Rumahtangga ibarat sebuah organisasi. Suami dan ayah sebagai ketua keluarga. Ketua pemegang tanggungjawab terbesar dalam organisasi. Bila orang bawah memikul tanggungjawab sama besar atau lebih besar dari orang atas, kepatuhan dan disiplin dalam organisasi akan terencat. Bila isteri menyumbang nafkah sama banyak atau lebih banyak dari suami, perkara sama akan berlaku.

Apatah lagi kalau bebanan tugas mengurus rutin rumahtangga dipundakkan atas bahu isteri sahaja. Pemberontakan boleh berlaku.


✳NAFKAH

Gambar Hiasan : Google


Solusinya, pastikan nafkah keperluan utama keluarga ditanggung oleh suami sekurang-kurangnya pada kadar minima iaitu:
(Zahir)

  1. Makan minum: Sekurang-kurangnya makanan wajib 3 kali sehari merangkumi 3 makro nurient yang diperlukan tubuh setiap ahli keluarga.
  2. Tempat tinggal: Sekurang-kurangnya rumah sewa yang cukup untuk berteduh dari cuaca dan berlindung dari bahaya mengikut saiz keluarga.
  3. Pakaian: Sekurang-kurangnya cukup untuk menutup aurat dan memberi perlindungan cuaca seharian setiap ahli keluarga.
  4. Kesihatan: Bergantung kepada kondisi kesihatan setiap ahli keluarga.
    (Batin)
  5. Agama: Ilmu dan kelengkapan sekurang-kurangnya cukup untuk menunaikan fardu ain.
  6. Kasih sayang: Sekurang-kurangnya mereka tak cari orang lain mengharapkan kasih sayang seorang suami dan ayah.
  7. Seks: Mengikut tahap kepuasan pasangan.

Kalau boleh jangan babitkan isteri untuk tanggung 7 ini. Melainkan kalau nak lebih dari tahap minima. Nak makan fine dining, nak duduk rumah agam, nak ikut fesyen terkini atau nak sambung PhD. Itu boleh runding lain. Tapi, tetap akan ada kesan dalam kerukunan rumahtangga.

Gambar Hiasan : Google


Selain dari 7 ini, terpulang kepada isteri untuk membantu atau tidak. Tidak perlu letak syarat dan tidak jadi wajib bagi suami selain 7 ini.
Duit isteri adalah ekslusif milik mereka. Jika tiada sebarang perjanjian lain, suami tak ada hak makan satu sen pun tanpa izin isteri.
Isteri memang ada tanggungjawab yang akan dipersoal Allah daripada duit mereka. Tapi bukan nafkah.
Isteri bukan tak boleh bantu. Tapi jangan sampai ambil tanggungjawab suami melainkan darurat. Lebih baik isteri bantu dari sudut mengingatkan suami tentang hak mereka yang belum cukup dari 7 nafkah di atas.


✳KENAPA ORANG MUDA?

Gambar Hiasan : Google


Nabi pesan khusus pada orang muda kerana biasanya nafsu seks memuncak pada usia muda. Tiada cara lain untuk melampiaskan nafsu selain bersekududukan. Nak bersekedudukan, kena nikah dulu. Rujuk belaian lepas.

Kalau tak mampu cari nafkah untuk nikah, nabi suruh puasa dulu. Dalam hadis lain Nabi kata syaitan menghasut manusia melalui pembuluh darah. Puasa dapat menyempitkan pembuluh darah, lalu menyukarkan laluan syaitan menggoda manusia.


Puasa bukan solusi kekal. Ia sekadar solusi jangka pendek bagi menurunkan nafsu. Macam mana pun kena usaha juga biar berkemampuan untuk nikah. Mampu 7 nafkah zahir dan batin.


✳NIKAH GANTUNG ELAK ZINA

Gambar Hiasan : Google


Satu lagi solusi yang ditawarkan ulama’ disebut sebagai nikah misyar atau nikah khitbah. Nikah yang diubahsuai pada sudut nafkah. Misyar dan khitbah ada perbezaan dari sudut definisi, tatacara dan hukum. Tetapi konsepnya lebih kurang.

Antaranya konsepnya, pasangan bersetuju untuk berkahwin tetapi suami tidak memberi keseluruhan nafkah.
Contohnya perjanjian dibuat dengan ibubapa isteri untuk terus menanggung anak mereka. Sebaiknya diletakkan syarat perjanjian itu bertempoh sehingga suami dapat mencari sumber pendapatan atau dapat selesaikan masalah yang menghalang nafkah ditunaikan.

Gambar Hiasan : Pinterest


Solusi ini diberikan bagi menyelesaikan masalah sosial anak-anak muda yang masih belajar. Suasana di alam kampus sangat mendorong kepada ikhtilat yang merangsang gelora nafsu sehingga tak tahan. Daripada terjebak ke lembah zina, lebih baik nikah gantung.


Solusi ini juga bersifat segera dan mendesak. Tetapi ia bukanlah solusi jangka masa panjang. Macam mana pun, kena kembali kepada konsep asal juga; nafkah wajib ke atas suami.


✳NAFKAH TOPUP UNTUK KECANTIKAN

Gambar Hiasan : Pinterest


Selain jaga kemaluan dari zina, nikah juga bagi menjaga mata dari melihat yang haram pada jantina berlainan. Tetapi secara fitrahnya, manusia memang bernafsu untuk mencuci mata dengan melihat kepada lain jantina. Nikah hanya menghalalkan mata dan kemaluan terhadap isteri, tetapi tidak mampu menghapuskan gelora nafsu terhadap orang lain.

Kalau nak elak, kena sentiasa menjaga penampilan dihadapan pasangan. Biar nampak segak, jelita dan seksi walaupun di dalam bilik. Barulah pasangan kita tidak rasa hendak keluar cuci mata atau makan luar.
Kalau suami hendak isteri cantik, kena top up lagilah nafkah. Beri mereka duit tambahan untuk beli pakaian dan perhiasan.

Gambar Hiasan : Pinterest

Kalau tengok wanita lain di luar sana sampai terngiang-ngiang di memori, bawa memori itu ke butik lalu belilah busana sama seperti dalam memori itu pada isteri. InsyaAllah memori itu akan bertukar kepada yang halal.
Walaubagaimanapun, semuanya bergantung kepada tahap takwa. Sempurna setara mana pun pasangan kita, bila takwa nipis tetap akan terhasut untuk cari yang haram juga.

Bab membina ketahanan takwa ini, kena belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf. Antaranya banyak berpuasa. Khasiat puasa sebagai pengekang nafsu ni bukan mujarab ketika bujang sahaja. Syaitan tetap akan menghasut walaupun sudah bergelar suami isteri orang. Sentiasa sempitkan laluan syaitan dengan berpuasa.

Semoga bermanfaat.

#AiS

#AiSBelaianAgung

#AiSDakwah

#AiSFikrah

Sumber rujukan
(Alang Ibn Shukrimun)

Artikel lain di Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *