Ustazah Maryam

Puan Hajah Mariam binti Omar atau lebih dikenali sebagai Ustazah Mariam dilahirkan pada 6 November 1948 di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.  Beliau berkongsi hidup bersama Encik Mohamad Lazim bin Haji Awang dan dikurniakan lima orang cahaya mata, iaitu empat  orang perempuan dan seorang lelaki.

Ustazah Mariam medapat pendidikan awal di Sek. Keb. Kubang Kerian pada tahun 1957 dan seterusnya ke Madrasah Ar-Rahmah Kenali pada tahun 1963-1967, dan meneruskan pengajian ke Sek. Men. Agama Arab Maahad Muhammadi (P) Jalan Merbau Kota Bharu dari tahun 1968-1970.  Sesudah tamat pengajian di peringkat menengah, beliau menyambung pengajian ke Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dari tahun 1971-1973. Bersemangat tinggi untuk menjadi wanita berilmu, Ustazah Mariam kemudiannya menyambung pengajian ke timur tengah di Universiti Al-Azhar dari tahun 1974-1976 dalam jurusan Syariat Syu’bah Fiqh dan Usul.

Sepulangnya dari Universiti Al-Azhar, beliau mula berkhidmat sebagai guru penolong di Sek. Men. Agama Arab Maahad Muhammadi (P) Jalan Merbau dari tahun 1976-1990.  Pada tahun 1991, beliau dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah yang sama. Pada tahun 1999, Ustazah Mariam menjadi wanita Kelantan pertama dilantik sebagai Mudirah untuk sekolah di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK), iaitu di Sek. Men. Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) Pasir Pekan  sehingga bersara pada tahun 2004.

Walau bergelar seorang armalah, beliau tidak mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik anak-anaknya. Kini keempat-empat anak perempuannya telah berjaya menamatkan pengajian di menara gading dalam pelbagai bidang, manakala anak lelaki beliau adalah insan istimewa kelainan upaya yang sekarang berusia 26 tahun. Bukan mudah untuk membesarkan kelima-lima anak seorang diri, tapi wanita ini berjiwa kental dan terus menjadikan ujian ini sebagai peneguh semangat.

Pada tahun 1996, beliau telah menerima anugerah bintang Ahli Kelantan oleh DYMM Sultan Ismail Petra, dan seterusnya jasa beliau sebagai pendidik terus diiktiraf apabila menerima anugerah Tokoh Pendidik YIK 2006,Tokoh Ilmuan Muslimat pada 2014 dan Tokoh Alumni Mahaad Muhammadi 2016.

Sungguhpun telah lama bersara sebagai guru, Ustazah Mariam masih meneruskan khidmat bakti sebagai muallimah pendidik anak bangsa. Beliau kini menjadi pendakwah bebas dan dalam masa yang sama adalah tenaga pengajar Halaqat DUN Kota Lama. Tidak mengenal erti penat walau usianya sudah menginjak senja, beliau masih aktif mengajar di Kuliah Fiqh Wanita di tiga parlimen, iaitu di Kuala Krai, Kota Bharu dan Kubang Kerian dua kali setiap bulan. Beliau juga memenuhi jemputan mengajar di masjid-masjid jika ada permintaan.

Mengajar di kelas-kelas pengajian masjid seakan sudah sebati dengan dirinya. Beliau telah mula mengajar walaupun sebelum menuntut ilmu di Mesir lagi. Kini walau sudah lebih 40 tahun mengajar, beliau tidak pernah mengenal erti jemu menabur ilmu bermanfaat untuk dijadikan bekalan akhirat nanti. Semoga ketokohan beliau dapat dijadikan inspirasi untuk generasi muda masa kini dalam mengharungi ujian hidup dan tidak menjadikan cabaran sebagai alasan untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *